Followers

Thursday, June 11, 2009

Islam Agama Keadilan Untuk Semua

Agama Islam adalah agama yang diredhai Allah sebagaimana firmannya,

ان الدين عند الله الاسلم

Artinya, Sesunguhnya agama yang mendapat keredhaan Allah adalah Agama Islam

Maka, selain daripada Islam samada agama samawi seperti agama Kristian dan Yahudi ataupun agama Wasani yang melakukan penyembahan kepada berhala dan patung adalah tidak mendapat restu dan keredhaan Allah. Golongan ini digelar sebagai golongan kafir atau golongan yang engkar dengan Allah swt.


Oleh kerana agama Islam yang kita anuti ini adalah agama daripada Allah yang maha kuasa dan maha mengetahui, justeru itu tidak hairanlah bagi yang mahu berfikir dan mengambil iktibar daripadanya, bahawasanya Islam adalah agama yang cukup sempurna yakni syumul dalam apa jua aspek kehidupan manusia samada dunia mahupun akhirat .


Islam datang dengan membawa tamadun istimewa yang menghubungkan antara bumi dan langit , antara dunia dan akhirat, antara akal dan hati serta menyatukan antara kepentingan peribadi dan masyarakat.


Islam adalah tamadun yang membangunkan ilmu , memajukan reka cipta material disamping menitik beratkan ketinggian rohani dan akhlak Islam bukannya seperti lain- lain tamadhun yang memakmurkan dunia dengan meruntuhkan akhirat, tetapi Islam membawa keseimbangan dan kesempurnaan di dalam kehidupan .


Islam bukannya Agama yang menolak kemajuaan Islam, juga bukannya agama yang melawani fitrah kejadian manusia. Oleh kerana itulah Islam menentang hidup bersendirian tanpa berkahwin sebagaimana para padri dan rahib kristian yang memandang perkahwinan adalah sesuatu yang menjijikkan maka perkahwinan tidak sesuai bagi mereka para paderi- paderi.

Sabda Rasulullah saw لا رهبانية فى الاسلام Ertinya, Tiada konsep menyendiri di dalam Islam


Terdapat segelintir dari kalangan umat Islam sendiri yang beranggapan salah tentang Islam yang bagi mereka, jika mengikut Islam yang berlandaskan al-Quran dan Hadis, maka mundurlah negara kita. Walhal al-Quran sendiri menyuruh umatnya bertebaran mencari rezeki sesudah solat jumaat dan Rasululah menasihati umatnya agar menjadikan pekerjaan sebagai salah satu cabang ibadah .


Bagi mereka lagi, jika Islam memerintah kita semua tidak ada peluang lagi untuk berhibur dan melakukan aktiviti sukan, sedangkan Rasulullah sendiri pernah berlumba lari bersama isteri baginda dan pada waktu yang lain Rasulullah melakukan aktiviti renang bersama sahabat baginda.


Adapun nyanyian yang bebas daripada unsur maksiat seperti arak dan pergaulan lelaki dan perempuan, dan pakaian yang tidak mendedahkan aurat serta senikata yang tidak membawa maksud lucah adalah dibenarkan. Sebagaimana peristiwa yang berlaku kepada Aisah yang melihat nyanyian dan Rasulullah tidak membantahnya. Malahan di majlis perkahwinan disunatkan memainkan alat-alat bunyian sebagai tanda kegembiraaan dan salah satu bentuk perkhabaran kepada orang ramai bahawa kedua- dua mempelai ini adalah pasangan yang sah.

Sabda rasululah saw,

اعلنوا هذا النكاح واجعلواه فى المساجد واضربوا عليه الدفوق

Artinya : Maklumkanlaah perkahwinan dan jadikanlah ia di dalam masjid, pukullah gendang dan rebana di hari perkahwinan . Hadis riwayat Ahmad dan Tarmizi .


Kita juga ditakut- takutkan oleh musuh - musuh Islam, jika sekiranya hukum Islam dilaksanakan di negara kita, maka ramailah rakyat jelata yang kudung tangannya. Ini menyebabkaan ekonomi negara meleset kerana ramai yang tidak dapat melakukan aktiviti pekerjaan akibat kudung tangannya. Insaflah.. dan bertaubatlah jika ada yang berfikiran sedemikian.Tidakkah Islam itu Agama keselamatan, sesuai dengan nama Islam itu sendiri daripada kalimah اسلم yang berarti selamat.


Islam tidak mengajar kepada penganutnya menghukum secara membuta tuli tanpa usul periksa. Islam menolak pemerintahan diktator atau kuku besi dan Islam tidak memenjarakan seseorang tanpa memberi ruang kepadanya untuk membela diri di mahkamah. Maka kerana itulah Islam menolak sebarang bentuk penganiayaan tanpa memberi hak kepada tertuduh untuk membela diri.


Islam menyediakan sistem mahkamah yang adil, hakim yang berwibawa dan bertaqwa. Dia tidak rela dirinya diperkotak katikkan dan tidak ada yang menakutkan dia melainkan Allah swt. Islam juga meletakkan syarat yang ketat bagi pihak yang mendakwa agar mendatangkan saksi dan saksi pula hendaklah daripada mereka yang boleh dipercayai dan soleh. Jika wujudnya keraguan dalam proses penghakiman, hukuman boleh digugurkan sebagaimana sabda Rasulullah saw,

ادرءو ا الحدود با لشبها ت

Artinya, Tertolaklah sesuatu hukuman dengan sebab adanya kesamaran..


Maka fahamlah kita, jika seseorang itu tidak bersalah maka tidak ada yang perlu ditakutkan kerana sistem Islam itu menyediakan keadilan untuk semua. Mahkamah Islam menyediakan keadilan untuk semua tanpa memilih samada kaya ataupun miskin, berpangkat ataupun tidak, akan mendapat pembelaan yang seadil- adilnya melalui mahkamaah Islam .


Yang sebenarnya, undang- undang hudud dan qisas lebih kepada bersifat menakutkan dan menggerunkan kepada pelaku-pelaku jenayah. Mereka yang bercita- cita untuk melakukan jenayah akan berfikir berulang kali untuk melakukan jenayah kerana gerun kepada undang- undang Islam. Allah swt menurunkan junjungan besar kita sebagai rahmat kepada sekelian alam dan kita disuruh mengikut segenap aspek kehidupan baginda, barulah kehidupan dunia ini beroleh kemakmuran .


Ibnu qayyum aljauzi dalam mentafsirkan ayat al-Quran yang berbunyi ,

وما ارسلناك الا رحمة للعالمين Ertinya, Tidak kami mengutuskan engkau wahai Muhammad melainkan menjadi rahmat kepada sekelian alam .


Beliau mengatakan sekelian alam mendapat rahmat dengan utusan baginda saw. Bagi mereka yang mengikut ajarannya akan mendapat kebahagiaan dunia dan akhirat. Adapun mereka yang memeranginya lalu mati, maka kematiannya adalah lebih baik daripada kehidupan yang menambahkan lagi seksa dan azab di akhirat kelak.


Adapun orang- orang kafir yang taat di bawah pemerintahan kerajaan Islam, maka mereka akan mendapat pemeliharaan dan hak- hak mereka. Dan adapun golongan munafik, iaitu mereka yang menyembunyikan kekufuran dan menzahirkan keimanan mereka akan terpelihara darah , nyawa dan kehormatan. Di akhirat kelak, adalah urusan Allah untuk menyeksa mereka dengan sekeras-keras azab.


Demikianlah, keadilan yang sangat dititik beratkan di dalam Islam. Ulama terkenal Syeikh Ibnu Taimiyah di dalam huraian beliau tentang keadilan, beliau mengatakan sesungguhnya Allah akan mengekalkan negara kafir yang adil dan menghapuskan negara Islam yang melakukan kezaliman .


Yakinlah dan percayalah, janji Allah pasti akan berlaku. Keadilaan dan kemakmuran akan memenuhi setiap ruang dunia. Ianya pasti berlaku sebagaimana firman Allah swt didalam Al- quran,


وعد الله الذين امنوا منكم وعملو ا الصالحات ليستخلفنهم فى الرض كما استخلف الذين من قبلهم

وليمكنن لهم دينهم الذي ارتضى لهم وليبدلنهم من بعد خوفهم امنا


Maksudnya : Dan Allah telah berjanji kepada orang beriman di antara kamu dan beramal soleh bahawa dia sesungguhnya akan menjadikan mereka berkuasa di bumi sebagaimana dia telah menjadikan orang yang sebelum mereka berkuasa di bumi dan dia sesungguhnya akan meneguhkan bagi mereka agama yang diredhainya untuk mereka dan Allah benar- benar akan menukarkan kedudukan mereka sesudah berada di dalam ketakutan, menjadi aman sentosa . Mereka tetap menyembahKu dengan tidak menyekutukan Aku dengan segala sesuatu . Surah AN – Nur 54-55


FirmanNya lagi,

واذا حكمتم بين الناس ان تحكموا بالعدل

Ertinya,Apabila kamu menghukum di antara manusia, hendaklah kamu menghukum dengan adil Surah an- nisa : 58

No comments:

Post a Comment