Followers

Saturday, August 29, 2009

Kelebihan Bersedekah

Maksud Hadis Nabi Muhammad saw:
Sesiapa yang memberi makan untuk berbuka puasa kepada orang yang berpuasa, dia akan memperolehi pahala puasa orang itu tanpa mengurangkan sedikit pun pahala orang yang berpuasa itu.
( Hadis Riwayat AtTirmizi)

Maksud Sabda Rasulullah SAW :

Apabila mati seseorang Anak Adam, Maka terputuslah segala amalannya melainkan 3 perkara

1. Sedekah jariah
2. Ilmu yang memberikan manfaat
3. Anak soleh yang sentiasa mendoakannya..

(Hadis Riwayat Muslim)

Thursday, August 27, 2009

Pemurah Kunci Kekayaan



Pemurah Kunci Kekayaan

Pemurahlah, engkau tidak papa
Bersedekahlah selalu
Engkau tidak akan disia-sia
Jadikanlah pemurah itu budaya hidupmu
Engkau akan dekat dengan Tuhan
Dengan manusia, dengan Syurga
Jauh dengan Neraka
Bakhli, jauh dengan Tuhan
Jauh dengan manusia, jauh dengan Syurga
Dekat dengan Neraka

Pemurah itu menghilangkan hangat kubur
Penaung di Mahsyar
Penutup aurat di akhirat.

Orang Pemurah selalunya di hujung umurnya dapat hidayah
Orang bakhil walaupun ahli ibadah, selalunya su'ul khatimah

Pemurahlah, ia akan menambah rezeki, menambah harta,
memajukan negara, pembersih jiwa
Membuang ego, dan disukai Allah.

Bila pemurah sudah hilang di dalam kehidupan
Datanglah kemurkaan Allah
Akibatnya, akan ditimpa bermacam bala petaka
Di antaranya Allah akan timpakan papa kedana
Saudagar akan muflis
Orang kaya kehilangan harta
Pemerintah dan pentadbir pening kepala
Orang awam turut menderita
Orang jahat mengambil kesempatan
Huru-hara pun bermaharajalela

Untuk memulihkan semula kestabilan
Jauhkanlah dosa
Hidupkan kembali sifat pemurah
Hingga ia jadi budaya

Hasil tulisan dan kenangan :
Rumah Curahan Kasih Sayang Ikhwan, Temerloh

Friday, August 21, 2009

Racun dan Penawar...

Jika HARTA adalah RACUN,
ZAKATlah PENAWARnya.

Jika UMUR adalah DOSA,
maka TAQWA dan TAUBAT ubatnya.

Jika seluruh BULAN adalah NODA,
maka RAMADHAN adalah PEMUTIHNYA....

Sambutlah Ramadhan dengan penuh kesucian hati dan Ketaqwaan

Thursday, August 20, 2009

Saturday, August 15, 2009

Menyambut Ketibaan Ramadhan

Selang beberapa hari lagi umat Islam akan menyambut Ramadhan Al-Mubarak. Bulan yang penuh dengan keberkatan dan kurniaan yang tidak terhingga dari yang Maha Esa kepada umat junjungan besar kita Nabi Muhammad saw.

Masa begitu cepat berlalu, kini Ramadhan muncul kembali. Bagi golongan orang-orang yang soleh, Ramadhan ditunggu dengan penuh rindu dan kegembiraan, sepertimana kekasih yang akan bertemu setelah setahun menghilang. Dan kita sewajarnya merasa sedemikian juga sekalipun tidak sepenuhnya.

Marilah kita kuatkan semangat dan azam agar puasa kita pada tahun ini lebih baik daripada yang sebelumnya. Di samping itu juga, keikhlasan dan harapan yang tingi agar Ramadhan pada tahun ini benar-benar menjadikan kita mukmin yang bertaqwa hasil daripada madrasah Ramadhan yang akan kita lalui nanti.

Disamping itu juga, Ramadhan yang akan kita raikan memerlukan penghayatan. Ianya sebagai satu ibadah yang menghimpunkan hubungan kita dengan Allah swt. Dengan mengikhlaskan puasa kita semata-mata keranaNya , kita bersolat tarawikh keranaNya dan ibadat puasa juga menyingkap hubungan kita sesama manusia. Natijah daripada menahan lapar dan dahaga, kita dapat berkongsi rasa kesusahan orang lain yang lebih susah dari kita. Maka terbitlah rasa bersyukur dengan apa yang ada.

Amalan bersedekah di bulan puasa juga adalah contoh ibadat yang memperhubungkan manusia dengan manusia yang lain. Janganlah hendaknya puasa hanya menjadi adat atau kebiasaan sahaja. Ini kerap berlaku di kalangan kita pada awal Ramadhan, masjid dan surau penuh sesak. Apabila pertengahan dan akhir puasa menjadi lengang. Jika puasa yang akan kita lakukan adalah ibadat bukannya adat, nescaya keadaan menjadi sebaliknya iaitu pertengahan puasa dan akhir puasa, kehadiran jemaah makin bertambah ...


Puasa merupakan salah satu daripada Rukun Islam yang lima perkara. Rukun merupakan teras bagi sesuatu binaan. Disamping Rukun Islam, kita ada satu lagi Rukun yang perlu kita umat Islam patuhi, iaitu yang dipanggil Rukun Iman. Kedua-dua rukun atau teras ini, saling memerlukan di antara satu sama lain. Ianya tidak boleh dipisahkan. Jika sekiranya seseorang hanya mengamalkan Rukun Islam tanpa percaya kepada Rukun Iman, maka tidak sah Islamnya disisi Allah. Begitu juga dengan hanya percaya kepada Rukun Iman tanpa Rukun Islam, seseorang itu masih belum menjadi seorang yang beriman dan Islam .

Begitu jugalah setiap satu daripada Rukun Islam yang lima perkara dan Rukun Iman yang enam perkara adalah menjadi kewajipan kita menerimanya dengan sepenuh keyakinan tanpa was- was. Jika sekiranya kita menolak satu bahagian sahaja daripada Rukun Iman, contohnya tidak percaya kepada kitab maka, seluruh bahagian yang lain seperti Percaya Kepada Allah dan Malaikat akan turut tertolak dan terjejas keimanan kita.

Soal agama, lebih- lebih lagi perkara asas Rukun Iman dan Islam tidak boleh disamakan dengan perkara dunia. Adapun perkara dunia jika seseorang menjalani ujian bertulis contohnya, jika lima soalan yang dijawab tetapi kita berjaya menjawab empat daripadanya dan hanya satu yang salah, maka kita dianggap lulus dan cemerlang. Tetapi dalam Islam, jika empat daripada Rukun Islam kita terima. Satu daripadanya, kita tolak maka kita dianggap oleh Allah swt seorang yang gagal dan tidak lulus dalam ujiannya. Dengan itu, kita bukan tergolong daripada orang Islam.

Begitu juga ibadat puasa yang akan kita jalani nanti, ianya merupakan kefardhuan yang dituntut oleh Allah bagi hambanya yang beragama Islam, beraqal dan baligh. Ianya merupakan ibadat yang dikategorikan sebagai bentuk tinggalkan seperti meninggalkan makan, minum dan apa sahaja yang ditegah semasa kita berpuasa sedangkan pada masa yang lain atau bukan bulan puasa, ianya adalah dibenarkan.

Adapun ibadat seperti Solat dan Haji, ianya termasuk dalam ibadat yang perlu kita buat, sepertimana Solat ianya merupakan beberapa gerakan yang dipanggil Rukun Fekliah dan juga bacaan yang perlu dibaca yang dinamakan ia Rukun Qauliah. Firman Allah swt dalam al-quranul qarim,


يا ايها الذين امنوا كتب عليكم الصيام كما كتب على الذين من قبلكم لعلكم تتقون-183 البقرة

Artinya : Wahai segala orang yang beriman diwajibkan keatas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan ke atas umat sebelum kamu mudah- mudahan kamu termasuk dalam golongan orang yang bertaqwa Surah al-Baqarah ayat 18 .


Kemudian mari kita bersama merenung ayat daripada surah yang sama juga yang berbunyi,

يا ايها الذين امنوا كتب عليكم القصاص فى القتلى الحر بالحر والعبد بالعبد والانثى بالانثى فمن

عفى له من اخيه شىء فاتباع بالمعروف واداء اليه باحسان

Artinya : Wahai segala orang yang beriman, diwajibkan keatas kamu hukum qisas pada pembunuhan, orang merdeka dengan orang merdeka, hamba dengan hamba, wanita dengan wanita. Maka barang siapa yang mendapat satu pemaafan daripada saudaranya hendaklah yang memaafkan mengikut dengan baik dan mereka yang diberi kemaafan membayar diat .

Surah al- Baqarah ayat 178


Lihatlah tuntutan daripada ayat Allah di atas kefardhuan untuk melaksanakan Hukum Qisas, didahulukan daripada tuntutan kefardhuan melaksanakan ibadat puasa, ini kerana kemaslahatan umat dan ketenteraman masyarakat dengan tertegaknya hukum Islam lebih Allah utamakan daripada ibadat yang berkaitan dengan individu sepeti ibadat puasa .

Persoalannya, mengapakah sesetengah umat Islam yang beriman dengan ayat al-Quran yang mewajibkan puasa di Bulan Ramadhan, tetapi tidak beriman dengan kewajipan tuntutan menegakkan Hukum Islam seperti Qisas ?. Adakah dibolehkan kita beriman dengan sebahagian ayat al- Quran dan engkar dengan sebahagiannya yang lain ? Sedangkan jika seseorang menolak salah satu Rukun Iman atau Islam, maka yang lainnya akan tertolak juga . Ataupun mereka ini termasuk di dalam golongan yang dinyatakan Allah di dalam kitab sucinya,


افتؤمنون ببعض الكتاب وتكفرون ببعض

Artinya ; Adakah kamu beriman dengan sebahagia kitab dan kamu engkar dengan sebahagian yang lain?


Inilah perkara utama yang perlu bagi seseorang untuk memasuki latihan Ramadhan iaitu, penyucian jiwa raga dan pemikiran daripada unsur-unsur yang boleh merosakkan keIslaman atau Aqidah. Perlunya penyucian Aqidah dan persepsi kita terhadap Islam itu sendiri, kerana Islam itu mempunyai rantaian yang tidak boleh dipisahkan dan dinafikan diantara satu sama yang lainnya. Janganlah kita menguraikan simpulan Islam tersebut kerana dibimbangkan nanti, kita bersungguh dalam memelihara sah dan menjauhkan perkara yang membatalkan puasa, tetapi tanpa disedari mengabaikan tuntutan Islam yang lain seperti menerima hukum qisas, menyebabkan puasa turut sekali terlerai daripada simpulannya. Dan kita bermohon kepada Alah tidak termasuk di dalam golongan yang Allah tidak terima ibadat puasanya sebagaimana sabdanya كم من صائم ليس من صومه الا الجوع والعطش

Ertinya, Berapa ramai yang berpuasa tiadalah daripada puasanya itu melainkan lapar dan dahaga sahaja (artinya tidak diterima Allah swt) Riwayat Nasa'i dan Ibnu Majah


Selain daripada persediaan rohani seperti yang dinyatakan di atas, kita juga memerlukan persedian dari sudut jasmani. Kita hendaklah memastikan kesihatan badan berada dalam keadaan baik agar kita dapat berpuasa penuh sebulan pada tahun ini tanpa keuzuran . Begitu juga, kita hendaklah menyudahkan urusan duniawi sebelum kita memasuki Ramadhan al-Mubarak nanti. Ini bertujuan agar urusan ibadat kita di bulan Ramadhan tidak diganggu oleh urusan duniawi .

Masyarakat kita khususnya menjadi kebiasaan apabila masuknya bulan Ramadhan mulalah pada masa itu sibuk mencari baju raya untuk anak- anak, sibuk juga untuk menghias rumah dan berbagai-bagai lagi urusan duniawi yang sepatutnya boleh diselesaikan sebelum Ramadhan.

Bersihkan diri daripada dosa dengan Allah mahupun manusia. Banyakkan Istighfar dan taubat, pulangkan hak manusia jika terambil dan memohon maaf kepadanya. Mudah – mudahan dengan kurniaan Alah kita beroleh kejayan daripada latihan Ramadhan yang akan kita tempuhi nanti. Dan marilah kita sama-sama menghisab atau muhasabah diri kita, adakah Ramadhan tahun lalu kita beroleh kejayaan .

Dan ketahuilah, kejayaan latihan Ramadhan tidak seperti kejayan dunia yang boleh dinilai dengan sijil dan anugerah berupa wang ringgit dan sebagainya. Tetapi kejayaannya, dinilai melalui perubahan diri seseorang yang semakin tekun dan tunduk mengabdikan diri kepada Allah swt .

Anggaplah Ramadhan pada tahun ini adalah Ramadhan yang terakhir bagi kita. Apabila ajal datang menjemput, sudah tentu tidak bertemu lagi Ramadhan yang akan datang. Sama-samalah kita amati kata-kata hikmah sebagai bekalan Ramadhan pada tahun ini,


واعمل لدنياك كانك تعيش ابدا واعمل للاخرتك كانك تموت غدا


Artinya : Bekerjalah kamu bagi duniamu seolah –olahnya kamu hidup selama-lamanya dan beribadatlah bagi akhirat kamu seolah-olahnya kamu mati esok hari.





Monday, August 3, 2009

SISTEM EKONOMI ISLAM PENYELESAIAN MASALAH MASA KINI

Islam bukan sahaja agama yang membicarakan soal ibadat khususi sahaja sepeti solat dan puasa, tetapi Islam juga mengambil berat soal mengatur kehidupan manusia di dunia ini. Tentang bagaimanakah untuk mengurus kewangan dan melakukan aktiviti perniagaan agar tidak terlibat dengan perkara yang diharamkan agama. Kerana itulah khutbah pada hari ini ingin mengajak semua menghayati satu tajuk yang berjodol Sistem Ekonomi Islam Penyelesaian Masalah Masa Kini .

Seperti yang kita maklum, ekonomi dunia pada hari ini berada pada keadaan yang tidak menentu. Ianya bermula daripada rentenan peristiwa bangkrapnya dua sistem kewangan yang terbesar di Amerika Syarikat yang mana akhirnya menyebabkaan dolar dan pasaran saham di Amerika mengalami kegawatan, seterusnya berjangkit ke seluruh dunia dan tidak terkecuali negara kita Malaysia .

Perkara penting yang perlu kita sedari dan mengambil pelajaran daripada peristiwa ini ialah, runtuhnya dan terbongkarnya akan kelemahan sistem kapitalisma yang dicipta oleh Barat, lalu diguna pakai kebanyakan negara di dunia termasuklah negara kita Malaysia. Dari segi sejarahnya, sistem kapitalisma ini baru berumur 150 tahun dan ianya diasaskan oleh seorang Inggeris yang bernama Adam Smith. Sistem kapitalis sebenarnya penuh dengan kezaliman dan penindasan. Ianya satu sistem yang cenderong untuk mengumpul kekayaan individu atau sesebuah syarikat.

Prinsip mereka ialah untuk mengumpul kekayaan sebanyak mungkin, maka berlakulah penindasan yang kaya bertambah kaya dan yang miskin bertambah miskin. Jika kita renung kembali krisis subprima yang berlaku di Amerika Syarikat apabila pihak bank memberi pinjaman sewenang- wenangnya kepada individu ataupun syarikat samada mereka mampu mahupun tidak mampu. Tambahan pula, peminjam dikenakan interest ataupun bunga yang tinggi, akhirnya menyebabkan si peminjam tidak dapat melunaskan hutang mereka dan pihak bank menanggung kerugian yang besar akibat daripada terlalu ramainya yang tidak dapat membayar hutang kepada bank.


Bukan itu sahaja, keburukan sistem ekonomi kapiatlis yang berasakan pemikiran manusia yang tamak haloba ini juga tidak mempunyai daya tahan yang kuat sebagaimana sistem ekonomi Islam yang berasaskan wahyu Ilahi yang Maha Agung. Ianya mudah tergugat oleh berita – berita angin yang pastinya tidak benar yang kita namakan sekarang dengan istilah spekulasi. Allah swt berfirman didalam Al-Qurannul Karim,


يا ايها الذين امنوا اذا جاءك فاسق بنباء فتبينوا ان تصيبوا قوماا بجهالة فتصبحوا على ما فعلتم نادمين- الحجرات 6-


Artinya : Wahai segala orang yang beriman, apabila datang kepada engkau berita pada orang kafir maka periksalah supaya tidak ditimpa suatu musibah kepada suatu kaum tanpa mengetahui keadaan sebenarnya yang menyebabkan kamu menyesal dikemudian hari. al- hujurat ayat 6


Sistem ekonomi dunia juga berkisar dan bergantung hayat dengan Dolar Amerika yang sedia kita maklum adalah sebuah negara ibu segala kejahatan dan kerosakan. Apabila lemahnya dolar Amerika dan pasaran saham Wall Streat, maka tempiasnya pasti dirasai oleh negara-negara di dunia lain. Jalan penyelesaian yang terbaik ialah kembali kepada dinar wang emas yang sudah tentu mampu menghadapi sistem kapitalis yang dipenuhi oleh penyagak mata wang dan meraka yang tidak berhati perut membina kekayaan dengan memeras keringat rakyat miskin. Sistem riba misalnya, secara jelas diharamkan di dalam Islam kerana ianya ternyata menzalimi pihak peminjam. Allah swt berfirman didalam Al- Quran


الذيين ياكلون الربوا لا يقومون الا كما يقوم الذى يتخبطه الشيطان من المس ذالك بانهم قالوانما البيع مثل الربوا واحل الله البيع وحرم الربوا فمن جاءه موعظة من ربه فانتهى فله ما سلف وامره الى الله ومن عاد فاولئك اصحاب النار هم فيها خالدون- 275


Artinya orang- orang yang memakan riba tidak dapat berdiri, melainkan seperti berdirinya orang yang dirasuk syaitan lantaran penyakit gila. Keadaan sedemikian adalah disebabkan mereka berkata, Sesunguhnya berjual beli itu sama dengan riba, padahal Allah telah menghalalkan jual beli dan mengharamkan riba. Orang-orang yang telah sampai larangan tuhan lalu terus berhenti dari mengambil riba maka baginya apa yang telah diambilnya dahulu dan urusannya terserah kepada Allah, dan mereka yang kembali mengambil riba maka orang itu adalah penghuni neraka dan mereka kekal didalamnya.


Dan salah satu sisitem kapitalisma ialah menswastakan kepentingan perkara asas. Bagi rakyat jelata yang sepatutnya, perkara asas ini adalah tanggung-jawab kerajaan dalam memberi perkhidmatannya kepada masyarakat, namun telah disalah gunakan dan ianya bertukar kepada perniagaan untuk keuntungan peribadi lalu diserahkanlah untuk menguruskannya kepada kroni- kroni mereka dan anak beranak. Perkara asas yang dimaksudkan di sini ialah seperti Air , Elektrik,Pos dan Telekom begitu juga Hospital

Adalah dimaklumkan perkara asas hak rakyat dan tidak sayugianya ianya dirompak oleh mana- mana pihak .


Manakala Islam pula membina asas berekonomi berlandaskan Agama, menjaga kepentingan penjual dan pembeli matlamatnya adalah untuk mendapatkan redha dan kasih sayang Allah. Aktiviti perniagaan dianggap beribadah dan ianya tidak melalaikan seorang hamba daripada mengingati pencipta yang Maha Agung. Firman Allah taala,


رجال لا تلهيهم تجارة ولا بيع عن ذكر الله

Artinya, Lelaki-lelaki yang tidak melalaikan mereka oleh perniagaan dan jual beli daripada menyebut Allah Taala.


Kegiatan ekonomi Islam merupakan jalan untuk mencapai taqwa, melahirkan akhlak yang mulia ini adalah tuntutan tuhan. Kalau dalam sistem ekonomi kapitalis tujuannya semata – mata duit, tetapi dalam ekonomi Islam, modalnya adalah taqwa. Uuntuk mencapai taqwa dalam Islam, berekonomi adalah untuk memperbesar dan memperluaskan syariat Allah. Ekonomi diangap jihad dan ibadah, oleh itu ia tidak boleh terkeluar daripada landasan syariat. Begitu jugalah ibadat khususi sepeti solat, puasa dan lainnya tidak boleh diabaikan. Hasil daripada ekonomi yang berlandaskan syarak inilah, lahirnya masyarakat berkasih sayang dan bertimbang rasa.

Maka dengan itu, premis ekonomi Islam yang berasaskan taqwa adalah pusat bina insan yang cukup praktikal dan menguntungkan dunia dan akhirat. Maka wujudlah masyarakat yang saling hormat menghormati di antara pengguna dan pengeluar atau peniaga, maka lenyaplah unsur negatif seumpama zalim ,

mencekik darah, dan hasad. Natijahnya, sebagaimana firman Allah Taala,


بلدة طيبة ورب غفور

artinya, negeri yang baik dan mendapat keampunan tuhan


Ekonomi Islam juga mewujudnya suasana kekeluargaan. Pengurus seperti ayah dan ketua keluarga, manakala penyelia seperti abang dan kakak, manakala pekerja pula seumpama anak-anak yang semestinya dijaga hak- hak mereka. Baik berhubung perkara duniawi, mahupun ukhrawi seperti mengerjakan solat, puasa dan pendidikan Fardu Ain khusus untuk pekerja mereka. Pelangan yang berkunjung ke premis mereka seumpama tetamu yang bertandang ke rumah kita. Datangnya membawa rahmat, pulangnya menghapuskan dosa.


Manakala keuntungan menurut Ekonomi Islam hendaklah dipulangkan semula sebahagiannya kepada masyarakat yang memerlukan, yang kita namakan sebagai Zakat Perniagaan. Disamping itu juga, Islam mengalakkan bagi yang dikurniakan lebihan rezeki, agar bersedekah dan berbelanja kepada ahli keluarga , masyarakat dan golongan yang memerlukan. Artinya, keuntungan yang dinikmati oleh sesebuah syarikat atau individu hendaklah dipulangkan sebahagiannya kepada masyarakat yang memerlukan agar wujud kesaksamaan dan keseimbangan dalam masyarakat.


Islam menggariskan sistem ekonomi yang sangat adil dan saksama, ianya tidak sebagaimana sistem riba yang sangat menzolimi peminjam, contohnya Sistem Aqad Mudharabah , Syarikah dan Rahnu merupakan diantara sistem yang sangat terkenal pada ketika ini. Malahan keterlibatan Non Muslim dalam mengguna pakai sistem yang berasakan Islam ini lebih ramai, daripada umat Islam itu sendiri. Khususnya di negara kita Malaysia, keruntuhan ekonomi kapitalis yang diterajui Amerika mengandungi hikmah disebaliknya. Ianya memberi ruang sistem ekonomi Islam mengambil tempat dan menerajui dunia agar menggunakan sistem Islam, sekali gus mengangkat martabat Agama Islam itu sendiri sebagai Addin yang sebenar dan diredoi Allah.


Mudah mudahan dengan perlaksanaan Sistem Islam yang adil dan diuruskan pula oleh hamba-hambanya yang bertaqwa, kesejahteraan umat akan terjalin dan tidaklah kekayaan sesebuah negara hanya untuk golongan tertentu sahaja sebagaimana firmanNya,


كى لا يكون دولة بين اغنياء منكم

Artinya, Supaya tidaklah kekayaan berlegar dikalangan orang kaya diantara kamu –surah alhasr -7