Followers

Tuesday, December 22, 2009

Sifat Amanah

Perkataan amanah bermaksud kejujuran, kepercayaan. Dengan kata-kata lain, ia bererti : menyampai atau melaksanakan mandat atau tugas menurut kebenaran atau lunas-lunas yang digariskan tanpa menyeleweng atau mengikut kehendak selera sendiri. Ia adalah sifat kedua yang wajib ada pada setiap para rasul selepas sifit Sidiq (benar)

Rasulullah saw pernah bersabda yang bermaksud :
" Sembahyang itu amanah, wuduk itu suatu amanah, timbangan itu suatu amanah dan sukatan itu suatu amanah. Dan beberapa perkara termasuk amanah dan yang paling berat ialah pertaruhan."
Hadis Riwayat Ahmad dan al-Baihaqi

" Amanah itu suatu kekayaan" .

Hadis ini bermaksud bahawa keadaan seseorang itu apabila dia dikenal dengan sifat amanah, maka ramailah orang yang akan membuat hubungan dengannya dan di kala itu dia akan menjadi senang dan kaya.

" Amanah itu menarikkan rezeki, sedangkan khianat itu menarikkan kepapaan".
Dalam hadis sepakat Imam al-Bukhari dan Muslim, Rasulullah menyifatkan orang yang tiada amanh itu sebagai munafiq.

Amanah itu sangat besar ertinya dalam perusahaan dan perniagaan, di mana dengan wujud amanahlah maka sesuatu perniagaan atau syarikat (firma) mula dilancarkan dan dengan amanah juga maka dia boleh bertahan lama dan seterusnya maju dan berjaya.

Seterusnya, marilah kita sama-sama mengambil pengajaran daripada sebuah hadis al-Qudsi di mana Rasulullah saw bersabda :
Maksudnya, Allah telah berfirman: " Aku menjadi (orang) ketiga pada dua orang yang bersyarikat selama salah seorangnya tidak berkhianat. Maka apabila seorangnya berkhianat, maka Aku pun keluar daripada keduanya ( tidak akan lagi membantunya )."

Muadz bin Jabal r.a memberitakan Nabi saw pernah bersabda yang bermaksud :
" Sesungguhnya sebagus-bagus usaha itu ialah usaha para peniaga (usahawan) dimana, Apabila bercakap mereka tidak berdusta, apabila mereka diamanahkan, mereka tidak khianati, apabila mereka berjanji, mereka tidak mungkiri, apabila mereka membeli, mereka tidak mencela (barangan, sebagai helah menurunkan harga ) apabila mereka menjual, mereka tidaklah memuji, apabila mereka menanggung hutang, mereka tidak menangguh (untuk membayarnya), dan apabila mereka memberi hutang, mereka tidak menyusahkan (menagih kekerasan )."
Hadis Riwayat al-Baihaqi dan as-Sayuti dalam al-Jami'asshaghir.


Tuesday, December 1, 2009

Mengenali Sifat Siddiq (Benar)

Benar adalah suatu sifat yang mulia yang menghiasi akhlak seseorang yang beriman kepada Allah dan kepada perkara-perkara yang ghaib. Ia merupakan sifat pertama yang wajib dimiliki para Nabi dan Rasul yang dikirim tuhan ke alam dunia ini bagi membawa wahyu dan agamanya yang suci murni di mana ia disebut siddiq, amanah, tabligh (menyampaikan), fatanah (kebijaksanaan).

Sebenarnya kita umat Islam telah pun mengenali dan mempelajari sifat-sifat ini sejak di bangku sekolah lagi, akan tetapi antara kita yang lemah tidak dapat mengamalkan sifat benar ini sepenuhnya. Mungkin terdapat salah faham tentang hal ini dengan mengatakan hanya para Nabi dan Rasul sahaja yang wajib atau perlu memiliki sifat-sifat ini. Manakala orang lain (umatnya) tidak perlu.

Sebenarnya, selain tabligh (menyampaikan ajaran Ilahi), tiga sifat itu adalah perlu dimiliki umatnya dalam melaksanakan ajaran Islam dan menghayati kehidupan di dunia ini.

Disamping itu, ada pula orang yang berkata :

" Benar itu adalah perhiasan para wali (kekasih Allah)''

" Iman itu asasnya ialah benar, sedang kepuraan itu asasnya dusta (bohong), maka tidaklah akan bersua antara dusta dan iman melainkan salah satunya mengusir yang lain."

Benar itu mempunyai 5 martabatnya iaitu :-
1. Benar pada kata-kata atau ucapan
2. Benar pada niat dan kehendak (menurut syarak)
3. Benar pada melaksanakan cita-cita (selari dengan keredhaan Allah)
4. Benar pada amalan (zahir dan batin mengikut syarak)
5. Benar pada merealisasikan kemuliaan amalan agama seluruhnya. Inilah martabat tertinggi seperti benar pada sifat takut, harap, membesarkan Allah, benar pada zuhud (hidup sederhana), redha, kasih, tawakal dan sebagainya.

Justeru, kita mendapati Saidatina Aisyah r.a pernah bertanya Nabi saw dengan pertanyaan yang bermaksud : " Apakah sifat yang dapat dikenali seseorang mukmin (yang beriman) ?

Rasulullah saw menjawab yang bermaksud :
" Ialah dengan ketetapan (ketenangan) hatinya, kelunakan pertuturannya dan kebenaran ucapannya."

Kebenaran yang sebenarnya sungguh dapat membuahkan kesan yang berfaedah sampai ke akhirat, sebagaimana sabda Nabi saw yang bermaksud :
" Siapa memohon pada Allah SWT akan mati syahid dengan benar (sungguh-sungguh), maka Allah akan menyampaikan dia kepada kedudukan para syuhada, sekalipun dia mati di atas hamparannya (dirumah)."