Followers

Friday, September 24, 2010

Hadis Berkaitan Doa Dan Janji Allah


Rasulullah saw bersabda, bermaksud :
Pasti diterima doamu itu selama tidak gopoh, yakni kamu berkata : Aku telah berdoa dan tidak diterima..

Anas ra. berkata yang bermaksud :
Tiada seorang berdoa, melainkan pasti diterima oleh Allah doanya, atau dihindarkan daripadanya bahaya, atau diampunkan sebahagian dosanya, selama ia tidak berdoa untuk sesuatu yang berdosa, atau untuk memutus hubungan silaturrahim..

Jangan Ragu dengan janji Allah

Abu Hurairah ra berkata: Bersabda Rasulullah saw, Allah berfirman yang bermaksud :
Apabila Aku menguji hambaKu yang beriman,kemudian ia tidak mengeluh kepada pengunjung-pengunjungku, maka Aku lepaskan ia dari ikatanKu dan Aku gantikan baginya daging dan darah yang lebih baik dari yang asal, dan ia boleh memperbaharui amal, sebab yang lalu telah diampuni semua.

Diriwayatkan: Allah telah menurunkan wahyu kepada salah seorangNabi saw. "Aku telah menurunkan bala (ujian) kepada seorang hamba, maka ia berdoa, dan tetap Aku tunda permintaannya, akhirnya ia mengeluh, maka Aku berkata kepadanya: "Hambaku, bagaimana Aku akan melepaskan daripadamu rahmat yang justeru bala itu mengandungi rahmatKu.

Abul Hasan berkata : Janganlah yang menjadi tujuan dari doamu itu tercapainya hajat keperluanmu, maka jika demikian bererti terhijab dari Allah, tetapi harus tujuandoa untuk bermunajat berbisik-bisik kepada (dengan) Allah yang memeliharamu, menciptakan dirimu. Dan bala bencana yang memaksakan engkau berdoa kepada Allah itu, lebih baik daripada menerima nikmat, kesenangan yang melupakan kepada Allah dan menjauhkan daripadaNya..

Thursday, September 2, 2010

Golongan Yang Selamat

Hadis berkaitan Peristiwa Akhir Zaman

Maksudnya : Daripada 'Auf bin Malik ra berkata, Rasululullah saw bersabda : "Umat Yahudi telah berpecahbelah menjadi tujuh puluh satu golongan, maka hanya satu golongan sahaja yang masuk syurga dan yang tujuh puluh lagi akan masuk neraka. Umat Nasrani telah berpecah belah menjadi tujuh puluh dua golongan, maka tujuh puluh satu golongan masuk neraka dan hanya satu golongan sahaja yang masuk syurga. Demi Tuhan yang diriku di dalam kekuasaanNya, umatku akan berpecahbelah menjadi tujuh puluh tiga golongan, hanya satu golongan sahaja yang masuk syurga dan tujuh puluh dua lagi akan masuk neraka. Sahabat bertanya, : "Golongan mana yang selamat ? "
Nabi saw menjawab, "Mereka adalah Jamaah". (Golongan Ahli Sunnah Wal Jamaah)
Riwayat Ibnu Majah.

Keterangan

Yang dimaksudkan dengan Jamaah yang selamat ini ialah golongan yang tetap berpegang teguh dengan al-Quran dan as-Sunnah dan juga pendirian sahabat-sahabat dan salafussoleh, ataupun yang diistilahkan oleh para ulama dengan golongan "Ahli sunnah WalJamaah." Selain golongan ini adalah sesat dan akan menjadi penghuni neraka..


Ekonomi Meningkat, Orang Perempuan Bekerja dan Kemudahan Alatulis

Ertinya: Daripada Abdullah bin Ma'sud ra berkata, Rasulullah saw telah bersabda , "Sesungguhnya apabila kiamat sudah hampir tiba 1)Orang hanya memberi salam kepada orang yang dikenali sahaja. 2) Perniagaan akan bertambah maju sehingga orang perempuan membantu suaminya berniaga. 3) Banyak orang memutuskan silaturrahim (hubungan kekeluargaan) 4) Banyak saksi palsu 5) Orang suka menyembunyikan penyaksian yang benar 6) Dan akan banyak kemudahan alatulis . Hadis Riwayat Ahmad

Keterangan
Di akhir zaman orang hanya akan memberi salam pada sahabat yang telah ia kenali sahaja bukan seperti yang dituntut dalam agama supaya kita mengucapkan salam kepada semua orang Islam samada yang kita kenali atau tidak. Keadaan ini menunjukkan bahawa hubungan kemesraan di kalangan kaum muslimin sudah amat berkurangan.

Begitu pula cara hidup di akhir zaman mendorong orang perempuan untuk bekerja di luar rumah terutama dalam perniagaan. Perempuan itu akan dijadikan daya tarikan pelanggan atau oleh kerana kos kehidupan yang tinggi sehingga gaji suami tidak cukup untuk memenuhi keseluruhan keperluan keluarga. Maka, terpaksa si isteri juga bekerja. Maka keadaan ini akan mengakibatkan kerenggangan hubungan kekeluargaan. Isteri tidak lagi taat kepada suami kerana dia juga banyak memiliki wang dan mungkin lebih banyak daripada wang suaminya. manakala, anak-anak pula menjadi mangsa kehilangan kasih sayang ibubapa kerana mereka hanya menyerahkannya pada orang gaji. (Pembantu rumah sahaja)

Begitu pula di akhir zaman akan wujud kecanggihan alat tulis dan bahan bercetak dan media massa termasuk alat komputer, internet dan lain-lain lagi. Alat-alat ini semestinya digunakan untuk mengangkat martabat manusia. Namun, apa yang berlaku ialah sebaliknya. Segala alat-alat yang canggih itu telah banyak digunakan untuk pembohongan dan memutarbelitkan kenyataan dan mencemarkan martabat insan itu sendiri.