Followers

Thursday, July 23, 2009

Wanita Dalam Islam

Allah swt menciptakan manusia berpasangan, lelaki dan perempuan. Bermula daripada datuk dan nenek yang satu iaitu Adam dan Hawa. Tanpa adanya Adam tidak wujudnya kita pada hari ini, dan begitu juga tanpa adanya Hawa sudah pasti manusia tidak ada.


Pada zaman Jahiliah dahulu kala, manusia menjadikan wanita serendah rendah darjat. Mereka kaum yang lemah ini hanyalah layak sebagai satu bahan untuk memenuhkan nafsu syahwat lelaki sahaja Perbuatan yang amat kejam dengan menanam bayi perempuan secara hidup-hidup merupakan amalan kebiasaan masyarakat jahiliah pada waktu itu. Allah swt merakamkan perbuatan keji mereka itu dengan firmannya,

واذا بشر احدهم بالانثى ظل وجهه مسودا وهو كظيم

Artinya : Apabila diberitahu pada seseorang daripada mereka dengan kelahiran anak perempuan, maka menjadi pucatlah wajah mereka.

Maka, Islam datang membawa sinar cahaya serta berita gembira bagi kaum hawa, apabila hak mereka sebagai manusia dihormati dan dilindungi tanpa adanya sikap double standrad (berat sebelah). Al- quran menghormati wanita sebagai manusia, anak perempuan, isteri, sebagai ibu, bahkan sebagai salah seorang anggota masyarakat yang perlu dihormati hak mereka. Dan Rasulullah saw bersabda yang maksudnya, Wanita adalah saudara bagi lelaki. Perempuan juga mempunyai peluang yang sama rata sebagaimana lelaki dalam mencapai keredoan Allah swt.


Firman Allah dalam Al-Quranul qarim menyatakan , Sesungguhnya lelaki dan perempuan yang muslim, lelaki dan perempuan yang mukmin, lelaki dan perempuan yang tetap dalam ketaatan , lelaki dan perempuan yang benar, lelaki dan perempuan yang sabar, lelaki dan perempuan yang khusyuk , lelaki dan perempuan yang bersedekah, lelaki dan perempuan yang berpuasa , lelaki dan perempuan yang memelihara kehormatannya, lelaki dan perempuan yang banyak menyebut nama Allah, Allah telah menyediakan bagi mereka keampunan dan pahala yang besar( Al- ahzab 35)

Renungkanlah bersama, bagaimana Allah swt merangkaikan kedua-dua golongan lelaki dan perempuan dalam suatu ayat yang panjang sebagai penghargaan kepada kedua golongan ini yang melaksanakan tuntutan sebagai seorang hamba yang soleh dan solehah.

Di dalam al-quran ada satu surah yang dinamakan an-Nisa, artinya perempuan. Dan surah an-Nisa adalah surah yang kedua panjang selepas surah al-Baqarah, iaitu sebanyak 176 ayat. Di dalamnya banyak menceritakan hukum yang berkaitan dengan wanita seperti poligami, pembahagian harta pusaka , anak yatim, dan perempuan yang di haramkan berkahwin.

Manakala dalam surah yang lain juga, Allah memeberi pengiktirafan kedua-dua golongan ini dengan firmannya,

من عمل صالحا من ذكر او انثى وهو مؤمن فلنحيينهم حياة طيبة ولنجزينهم اجرهم باحسن ما كا نوا يعملون

Artinya :- Barang siapa beramal dengan amalan yang soleh daripada lelaki atau perempuan, walhal dia dalam keadaan beriman, maka kami ( Allah ) akan memberi penghidupan yang baik dan kami akan membalasnya akan pahala mereka dengan lebih baik daripada sesuatu yang mereka amalkan-

an-Nahli 97

Sebagaimana kita tahu, kedudukan anak perempuan di zaman Jahiliah amatlah menyedihkan. Maka kelangsungan daripada itu, Rasulullah saw memberi khabar gembira kepada ibu bapa yang mendapat anak perempuan dengan sabdanya,


من عال جاريتين حتى تبلغا جاء يوم القيامة وانا وهو ( وضم اصابعه)


Artinya:- Sesiapa yang memelihara dua orang anak perempuan hingga keduanya mencapai usia baligh, maka orang tersebut akan datang pada hari qiamat dalam keadaan Aku dan dia (seperti dua jari ini). Riwayat Muslim

Wanita juga dipanggil seorang ibu. Islam telah meletakkan kedudukan ibu lebih tinggi berbanding ayah, Dalam surah Lukman misalnya, Allah menegaskan dengan firmanNya, Dan kami perintahkan kepada manusia berbuat baik kepada kedua orang ibu bapanya. Ibunya telah mengandungkannya dalam keadaan lemah yang bertambah-tambah dan menyusukannya selama dua tahun. Bersyukurlah kepada Ku dan kepada kedua ibu bapa engkau. Hanya kepada Aku, akan dikembalikan- Surah Luqman - 14


Pada suatu ketika, Rasulullah saw pernah ditanya, Wahai Rasulullah, siapakah di antara manusia yang paling berhak untuk aku berbuat baik kepadanya? Rasulullah saw menjawab Ibumu . Kemudian siapa ? Rasulullah menjawab Ibu mu orang itu bertanya lagi kemudian siapa ? jawabnya lagi Ibumu kata Rasulullah saw, kemudian siapa tanya orang itu lagi? Kemudian ayahmu. Jawab Rasulullah saw – Bukhari dan Muslim.


Islam amat menghormati hak seorang ibu. Pernah berlaku di zaman Rasulullah saw, seorang lelaki datang berjumpa Rasulullah saw, " Ya Rasululah, saya ingin ikut berperang dan saya ingin meminta nasihat anda". Baginda Rasululah saw bertanya, " Apakah kamu masih mempunyai seorang ibu?" Lelaki itu menjawab, "Ya". Rasululah saw bersabda, Jangan tinggalkan dia, kerana syurga di bawah tapak kaki ibu. Dalam melakukan kebaikan kepada ibu, Islam tidak meletakkan syarat kepada ibu yang Islam sahaja, malahan ibu yang bukan Islam juga, hendaklah seorang anak tersebut berbuat baik kepadanya.


Dan jika sekiranya berlaku perceraian diantara pasangan suami isteri, maka hak penjagaan seorang anak hendaklah diserahkan kepada seorang Ibu. Disebabkan ibunyalah yang terlebih layak dalam mendidik dan memelihara anak tersebut berbanding dengan ayahnya. Malahan kasih sayang anak, secara lumrahnya, lebih hampir kepada pihak ibu. Kecualilah jika ibu tersebut mempunyai sifat-sifat yang di anggap negatif dari sudut agamanya, seperti berkelakuan tidak senonoh atau seorang yang amat jahil dengan hukum Agama. Maka hak penjagaan ke atas anak tersebut hendaklah diserahkan kepada pihak bapa. Maka selayaknyalah seorang Ibu menerima ungkapan ini, Tangan yang menghayun buaian dapat menggoncang sebuah dunia. Apa tidaknya, bermula daripada dalam kandungan, hinggalah dewasa tugas seorang ibu dalam memelihara kesihatan anak dan memberi pendidikan tidak ada tolok bandingnya .

Dalam kita bersemangat untuk memperjuangkan hak wanita, janganlah pula berlebih-lebihan pula, sehingga meletakkan kaum Hawa itu sama kedudukannya dengan kaum Adam. Walhal Allah menjadikan lelaki sesuai dengan sifat lelakinya dan perempuan sesuai dengan sifat wanitanya. Samada dari sudut tubuh badan, cara berpakaian, pergaulan dan hukum-hakam seperti hak wanita dalam pembahagian harta pusaka. Adalah selayaknya, perempuan mendapat separuh daripada lelaki dalam pembahagian harta pusaka kerana tangung-jawab lelaki dalam menyara keluarga, sedangkan perempuan menerima nafkah daripada suaminya .

Dalam menutup aurat pula adalah kerana aurat perempuan, lebih seni dan menarik minat berbanding dengan aurat lelaki, dan begitu juga dari segi kekuataan, lelaki lebih kuat berbanding wanita. Maka tidak layaklah perempuan melakukan bidang kerja atau pergaulan yang tidak layak dengan sifat kewanitaannya.


Ini tidak bermakna perempuan hanya layak tinggal di rumah semata-mata tanpa melakukan aktiviti yang berfaedah dari sudut akhirat mahupun dunia. Di zaman Rasulullah saw contohnya, seorang Sohabiah Ummu Athiyah berkata, Aku mengikuti tujuh ekspedisi jihad bersama Rasulullah saw. Aku akan menolong para pejuang dengan menyediakan perbekalan, membuat makanan bagi mereka dan merawat orang-orang yang terluka. Malahan Anas meriwayatkan katanya, menjadi penyebab kemenangan peperangan Uhud. Kisah Aisyah dan Ummu Salim menyingsing lengan baju mereka, untuk mengambil air di atas kulit yang ada pada mereka untuk memberikan kepada tentera. Maka dengan hadis ini, tertolaklah mereka yang mengatakan hanya wanita- wanita tua sahaja yang layak ke medan perang. kerana Saidanatina Aisyah pada masa itu berumur belasan tahun.


Dalam hukum perceraian pula, Islam meletakkan kuasa talak ditangan suami, kerana suami lebih layak dan mampu menahan perasaan berbanding wanita. Ini tidak berarti wanita tidak ada hak dalam menuntut keadilan. Mereka dibenarkan Khuluk, yakni tebus tolak dan meminta Faskh jika mereka merasakan hak – hak mereka sebagai isteri tidak ditunaikan.

Janganlah kita termakan hasutan dan terpedaya dengan satu golongan yang dinamakan gerakan mereka dengan nama Sister In Islam ( SIS ). Mereka ini kononnya kuat memperjuangkan hak golongan wanita, namun tujuan mereka jauh tersasar daripada kehendak Islam yang sebenar. Mereka mengharamkan poligami dan memperkenalkan monogami. Mereka juga membenarkan mana-mana orang Islam untuk menukar agama mereka dengan alasan hak kemanusiaan dan kebebasan beragama.


Kita hendaklah berhati-hati dengan golongan sedemikian dan semestinya kita perlu menambahkan pengetahuan beragama kita. Dengan itu, kita lebih mengetahui mana yang sebenar dan mana yang menyeleweng.

Kaum suami pula, perlulah sedar tangungjawab yang telah mereka pikul sebagai suami. Mereka telah menerima amanah untuk memelihara dan menjaga isteri mereka sebagai amanah yang telah mereka persetujui semasa akad nikah dahulunya. Mereka yang terbaik disisi Allah swt adalah mereka yang menggauli isterinya dengan cara yang baik. Sebagaimana sabda junjungan Rasulullah bersabda,


اكمل المؤمنين ايمانا احسنهم خلقا وخباركم خياركم لنسائهم- الترمزى

Artinya ;- Yang paling sempurna keimanan seorang mukmin ialah, yang terbaik akhlaknya dan yang terpilih di antara kamu ialah yang terbaik di kalangan isterinya.- Riwayat Muslim

Wanita solehah adalah kunci kebahagian bagi sebuah bahtera rumah tangga. Sebagaimana sabda junjungan, Mahukah engkau, aku beritahu harta apa yang paling berharga bagi suami ? Dia adalah isteri yang solehah. Jika suami memandang isterinya, dia menyenangkan. Jika suami memberi perintah, dia menuruti dan jika suaminya jauh darinya, dia menjaga kehormatan suami - riwayat Abu Daud

Dan sabda Baginda lagi, Dunia adalah perhiasan dan sebaik- baik perhiasan adalah wanita solehah - Riwayat Muslim



Saturday, July 18, 2009

Thursday, July 16, 2009

MUSIBAH YANG MEMBAWA NIKMAT

4 Musibah yang membawa nikmat iaitu:-

Umar berkata, " Demi Allah, tidaklah aku ditimpa musibah, melainkan di dalamnya aku rasakan nikmat Allah, iaitu apabila;

1. Musibah itu terjadi bukan pada agamaku

2. Musibah tersebut tidak lebih berat daripada musibah yang telah menimpa diriku

3. Musibah tersebut tidak menghalangi aku untuk mendapat keredaan Allah

4. Musibah, yang darinya aku boleh mengharapkan pahala Allah.

Thursday, July 9, 2009

PERPADUAN DALAM ISLAM


Usaha pertama Baginda Rasulullah saw untuk membina masyarakat di Madinah, ialah dengan mendirikan masjid sebagai asas perpaduan. Seterusnya Baginda mempersatukan dua golongan yang telah beratus tahun bermusuhan sesama sendiri iaitu golongan Khaus dan Khazraj, lalu dikenali golongan ini sebagai Ansar. Seterusnya Baginda mempersatukan golongan yang datang daripada mekah yang diberi nama golongan Muhajirin. Hasilnya, terbentuklah satu masyarakat yang bersatu padu yang disatukan dengan ikataan ukwah Islamiah bercirikan kehendak Allah dan Rasul. Sebagaimana firmanNya ;

انما المؤمنون اخوة فاصلحوا بين اخويكم

Artinya, Sesunguhnya orang- orang Mukmin itu bersaudara maka perbaiklah diantara saudara kamu .


Islam adalah agama yang mendapat keredhaan Allah dan penuh dengan hikmah dan keberkatan.Sebagai contoh, perasaan bukanlah sessuatu yang boleh ditukar dengan wang ringgit dan harta kekayaan. Namun apabila hati manusia tersebut diikat dengan Islam dan iman, ianya akan tertambat dan berpaut menjadi satu. Ini merupakan kurniaan yang besar daripada tuhan kepada hambanya yang beriman sahaja.


Mari kita sama-sama fikirkan, kita mempunyai seorang kawan baik yang bukan Islam dan mengajak ke rumahnya untuk menjamu selera. Sudah pasti kita menolaknya. Tetapi jika dia seorang Islam, tentu tidak menjadi masalah kepada kita. Ini menunjukkan Islam menjadi titik tolak perhubungan sesama manusia. Dan Allah swt menceritakan pautan hati di kalangan Islam adalah dengan kurniaan Allah yang maha besar sebagaimana firmanNya;

و الف بين قلوبهم لو انفقت ما فى الارض جميعا ما الفت بين قلوبهم لكن الله الف بينهم انه عزيز حكيم

Artinya, Dan yang mempersatukan hati mereka. Walaupun kamu membelanjakaan semua harta kekayaan yang berada dibumi , nescaya kamu tidak dapat mempersatukan hati mereka, akan tetapi Allah telah mempersatukan hati mereka. Sesunguhnya dia maha perkasa lagi maha bijaksana . Al- Anfal 63


Peribahasa yang biasa kita dengar, Bersatu Teguh Bercerai Roboh merupakan ungkapan ke arah perpaduan. Hadis Nabi tidak terkecuali dalam memupuk dan menggalakkan umat Islam agar menghayati nilai-nilai perpaduan seperti kasih-sayang, hormat menghormati, dan bertolak ansur sesama Islam.


Sebagaimana hadis yang masyhur kita dengar, لا يؤمن احدكم حتى يحب لاخيه ما يحب لنفسه

Arinya :- Tidak beriman seseorang kamu dengan iman yang sempurna, sehinggalah ia kasih kepada saudaranya sebagaimana ia kasih kepada dirinya sendiri.


Maka dengan penerangan Hadis dan Al-Quran tersebut fahamlah kita, perpaduan termasuk dalam urusan agama dan amat dituntut di dalam Islam. Manakala sifat yang suka kepada permusuhan dan perbalahan sesama Islam, amatlah di benci Allah dan Rasulnya. Sebagaimana maksud daripada sabda junjungan manusia iaitu, Yang paling Allah benci ialah yang keras kepala dalam perbalahan ( Riwayat bukhari dan muslim )


Firman Allah swt ini menunjukkan kepada kita supaya menghulurkan perdamaian jika pihak musuh ingin berbuat demikian.

وان جنحوا للسلم فاجنح لها وتوكل على الله انه هو السميع العليم-الانفال 61

Maksudnya : Dan jika pihak musuh cenderung kepada perdamaian, maka engkau juga hendaklah cenderung kepadanya serta bertawakallah kepada Allah. Sesungguhnya dia maha mendengar lagi maha mengetahui – al- anfal 61


Manusia yang memusuhi perpaduan adalah mereka yang telah memasuki perangkap syaitan dan kuncu- kuncunya. Perasaan dendam dan taksub tidak mengira tempat menjerumuskan seseorang ke kancah permusuhan dan perpecahan. Musuh-musuh Islam samaada yang boleh dilihat oleh mata seperti orang- orang kafir ataupun yang tidak dapat dilihat oleh mata kasar iaitulah syaitan, amat suka jika umat Islam berpecah-belah dan bercakaran sesama sendiri. Sebagaimana firman Allah swt,

وقل لعبادى يقولوا التى هى احسن ان الشيطان ينزغ بينهم ان الشيطان كان للانسان عدوا مبينا- الاسراء 53

Artinya Dan katakanlah kepada hamba- hambaku, hendaklah mereka mengucapkan perkataan yang lebih baik ( benar ) sesungguhnya syaitan itu menimbulkan perselisihan di antara mereka . Sesunguhnya syaitan itu musuh yang nyata bagi kamu - Al-Israk ayat 53


Untuk memupuk perpaduan sekalipun, bukannya mudah. Namun adalah sesuatu yang tidak mustahil, tidak semestinya pada sudut politik sahaja. Banyak sudut lain atau perkara yang menjadi persamaan di antara kita umat Islam.


Langkah pertama untuk kita memupuk semangat perpaduan ialah, Kedua-dua pihak perlu mengikhlaskan diri kerana menuntut keredhaan Allah, Bukannya ada agenda tersembunyi untuk mendapatkan sesuatu kepentingan samada politik atau lainnya. Dan Insyaallah, niat yang murni akan membuka jalan yang positif.


Langkah kedua, mengkurangkan polemik berpolitik. Kedua-dua pihak hendaklah menjuruskan ke arah isu kepentingan bersama, seperti isu agama. Contohnya isu hak penjagaaan anak, apabila salah seorang ibu bapa yang bukan Islam memeluk Islam, maka hendaklah hak penjagaan anak tersebut diserahkan kepada ibu bapa yang Islam. Begitu juga isu murtad. Kedua-dua pihak boleh mengambil pendekatn bersama. Tidak kurang juga isu hak keistimewaan bumiputra yang boleh merapatkan jurang perpecahan.


Langkah ketiga, pihak yang berkuasa memegang tampuk pemerintah hendaklah mengurangkan tekanan kepada pihak yang satu lagi dan tidak menganak-tirikan golongan yang satu lagi samada dari sudut politik mahupun ekonomi.


Langkah keempat, setiap individu muslim hendaklah melihat sesuatu perkara dengan neraca fikiran, berlapang dada dan tidak menggunakaan sentimen kepartian semata- mata. Di samping itu individu muslim hendaklah berada di atas ikatan 'makasidul syariyyah' yang mengajak kita melakukan pengislahan dan menjauhkan kerosakan.


Islam menetang sebarang bentuk assabiah iaitu semangat perkauman dan menyokong kumpulannya dengan melulu tanpa berfikiran waras. Jika dahulu, assabiah boleh diertikan taksub kepada kaum sendiri, bangsa sendiri, atau kumpulan sendiri. Dan assabiah boleh diertikan juga, mereka yang melulu dan mengunakan sentimen kepartian semata- mata tanpa menilik kepada kesan jangka panjang sesuatu masalah yang dihadapi.


Rasulullah saw bersabda, bukanlah dari kalangan kami sesiapa yang menyeru kepaada assobiah, bukan dari golongan kami mereka yang berpegang atas asobiah, dan bukan dari golongan kami, sesiapa yang mati atas dasar assobiah( Abu Daud)


Jika orang Islam bersatu, tidak ada golongan lain samaada bukan Islam ataupun Islam yang rugi dan terpinggir, kerana umat Islam telah tersohor sebagai manusia yang baik dari dahulu hinggalah sekarang. Terkadang, mereka sanggup melepaskan hak mereka untuk kebaikan bersama. Tetapi, jika umat Islam berpecah, pasti ada golongan yang 'menangguk di air yang keruh' untuk mengambil kesempatan diatas kelemahan kita.


Ibnu Kasir di dalam kitabnya 'binayah wannihayat' menceritakan sejarah peperangan Jamal di antara Saidina Ali dan Aisyah. Punca perbalahannya ialah, pembunuhan Saidina Othman. Apabila ada tanda perdamaian di antara kedua pihak ini, golongan yang telah melakukan pembunuhan terhadap Saidina Osman membuat tipu helah dengan melakukan penyerangan pada malam hari di kedua–dua belah tentera ini. Maka di sangkakan pembelotan telah berlaku di kalangan tentera Saidina Ali, dan begitu juga Aisyah. Akhirnya, berlakulah peperangan yang memakan korban yang tinggi di kalangan umat Islam sendiri. Pada hakikatnya, Abdullah bin Saba dan kumpulannya ingin menyembunyikan bahawa sebenarnya, merekalah yang membunuh Saidina Osman. Tetapi dengan helah yang licik, mereka terselamat daripada hukuman.


Rasulullah ada bersabda yang maksudnya secara umum demikian, Janganlah kamu bersangatan membenci seseorang kerana mungkin suatu masa nanti ia akan menjadi sahabat kamu dan janganlah kamu melampau mengasihi seseorang kerana kemungkinan suatu hari kelak ia menjadi musuh kamu . Oleh itu, sama-samalah kita merenungkan sesuatu yang amat tingi nilainya disi Allah dan penghidupan kita.