Followers

Friday, July 23, 2010

Ujian Dahsyat Terhadap Iman

Maksud Hadis..
Daripada Abu Hurairah r.a bahawasanya Rasulullah saw bersabda, "Bersegeralah kamu beramal sebelum menemui fitnah (ujian berat terhadap iman ) seumpama malam yang sangat gelap. Seseorang yang masih beriman di waktu pagi, kemudian di waktu petang dia sudah menjadi kafir, atau seseorang yang masih beriman di waktu petang, kemudian pada esok harinya ia sudah menjadi kafir. Ia telah menjual agamanya dengan sedikit dari mata benda dunia."
Hadis Riwayat Muslim

Keterangan..
Hadis ini menerangkan kepada kita betapa dahsyat dan hebatnya ujian terhadap iman seseorang di akhir zaman. Seseorang yang beriman di waktu pagi, tiba-tiba dia menjadi kafir di waktu petang. Begitu pula dengan seseorang yang masih beriman di waktu petang, tiba-tiba pada esok paginya telah menjadi kafir. Begitu pantas dan cepat perubahan berlaku. Iman yang begitu mahal boleh gugur di dalam godaan satu malam atau satu hari sahaja,sehingga ramai orang yang menggadaikan imannya kerana hanya hendak mendapatkan sedikit dari harta benda dunia. Dunia lebih dicintai di sisi mereka daripada iman. Dan menurut riwayat Ibnu Majah, beliau menambahkan, kecuali orang yang hatinya dihidupkan Allah swt dengan Ilmu.."
Mudah-mudahan Allah swt menjadikan kita di antara orang yang berilmu dan mengamalkan ilmunya, sehingga dengan itu Allah swt akan menyelamatkan iman kita dari ujian yang dahsyat ini.. Wallahua'lam..

Monday, July 5, 2010

Golongan Yang Selamat

Ini adalah sambungan Hadis Berkaitan Peristiwa Akhir Zaman..

Maksud Hadis :
Daripada 'Auf bin Malik r.a berkata: Rasulullah saw bersabda, Umat Yahudi telah berpecahbelah menjadi tujuh puluh satu golongan, maka hanya satu golongan sahaja yang masuk syurga dan yang tujuh puluh lagi akan masuk neraka. Umat Nasrani telah berpecahbelah menjadi tujuh puluh dua golongan, maka tujuh puluh satu golongan masuk neraka dan hanya satu golongan sahaja yang masuk syurga. Demi Tuhan, yang diriku di dalam kekuasaanNya, umatku akan berpecahbelah menjadi tujuh puluh tiga golongan, hanya satu golongan sahaja yang masuk syurga dan tujuh puluh dua lagi akan masuk neraka. Sahabat bertanya, "Golongan mana yang selamat ?" Nabi Muhammad saw menjawab, "Mereka adalah Jamaah." (Golongan Ahlussunnah WalJamaah.")
Hadis Riwayat Ibnu Majah

Keterangan..
Yang dimaksudkan dengan jamaah yang selamat ini ialah golongan yang tetap berpegang teguh dengan al-Quran dan as-Sunnah dan juga dengan pendirian sahabat-sahabat dan salafussoleh, atau pun diistilahkan oleh para ulama dengan golongan "Ahlus Sunnah Wal Jamaah. selain dari golongan ini adalah sesat dan akan menjadi penghuni neraka..

Hadis yang seterusnya ialah,

Bermegah-megah Dengan Masjid

Maksudnya, Dari Anas bin Malik ra bahawasanya Rasulullah saw bersabda: " Tidak berlaku (terjadi) hari Qiamat sehingga umat ku bermegah-megah (dengan binaan) masjid."
Hadis Riwayat Abu Daud

Keterangan.
Di antara tanda hampirnya hari Qiamat ialah, umat Islam berbangga dan bermegah-megah dengan masjid yang mereka bina. Masing-masing negara berbangga dan merasa megah dengan bangunan masjid. Perhatian mereka hanya kepada keindahan masjid sahaja, tidak kepada pengisian masjid dengan ibadat dan solat berjamaah. Banyak masjid-masjid yang indah, besar dan cantik, tetapi yang datang bersembahyang di dalamnya hanya segelintir manusia sahaja.