Followers

Friday, August 12, 2011

Ramadhan dari sudut kehambaan

Ibadat yang kita lakukan samaada puasa atau lain daripada puasa sememangnya ada mengandungi hikmah tertentu, yang membawa kepada kebaikan duniawi dan ukhrawi kepada manusia dan sememangnya kita yakin Allah swt tidak menjadikan sesuatu perkara dalam keadaan kosong dan hampa daripada kebaikan. Ini dinyatakan dalam al-quran sendiri sebagaimana firmanNya yang bermaksud :

(Iaitu) orang-orang Yang menyebut dan mengingati Allah semasa mereka berdiri dan duduk dan semasa mereka berbaring mengiring, dan mereka pula memikirkan tentang kejadian langit dan bumi (sambil berkata): "Wahai Tuhan kami! tidaklah Engkau menjadikan benda-benda ini Dengan sia-sia, Maha suci engkau, maka peliharalah Kami dari azab neraka.

Demikianlah ibadat puasa yang telah masuk hari kedua belas ianya penuh dengan hikmah kebaikan samaada dari sudut kesihatan yang mana sains sendiri yakni para doktor mengiktiraf lapar adalah salah satu jalah terbaik bagi manusia untuk beroleh ganjaran kesihatan

Dari sudut kemasyarakatan pula puasa mendidik semangat bantu membantu dalam menghulurkan makanan, juga infak kepada golongan fakir miskin dan mereka yang memerlukan. Ini dibuktikan oleh sabda junjungan besar kita Rasulullah saw dalam hadis mafhumnya, "Adalah sifat dermawan nabi pada bulan puasa seperti angin yang bertiup , sebagai tamsilan dermawan Rasulullah saw pada bulan Ramadhan lebih hebat berbanding bulan- bulan yang lain.

Puasa juga melahirkan jalinan perasaan sesama manusia , di antara miskin dan kaya. Juga hikmah puasa kita dapat merasakan penderitaan mereka yang ketandusan makanan seperti yang terbaru saudara seagama kita di Somalia, bukan sahaja ujian kemarau dan ribut juga peperangan saudara yang melanda di negara mereka menimbulkan keinsafan nikmatnya kehidupan kita ini.

Namun demikian, selain daripada hikmah puasa yang teramat banyak tersebut, ada perkara lain yang sangat penting kita titik beratkan iaitu sifat taabud kita dalam mengerjakan sesutu ibadah. Taabud atau ubudiah bermakna KEHAMBAAN, dan inilah kedudukan bagi kita seorang insan yang bertuhankan Allah taala yang maha agung, sifat ubudiah lahir dengan sebab kita kenal siapa diri kita yang dhaif dan lemah lantas kehasilannya kita dapat mengenali pencipta kita yang maha agung,yakni Allah swt sabda Rasulullah saw

من عرف نفسه فقد عرف ربه

Artinya: Barang siapa mengenali siapakah dirinya ia akan mengenali tuhannya

Ini bermakna, mereka yang benar-benar sampai kepada hakikah makrifah kepada Allah menjunjung dan melakukan suruhan dan perintah Allah adalah di atas dasar ianya adalah perintah Allah , bukan kerana ganjaran pahala semata – mata dan juga bukan kerana takutkan neraka semata – mata tetapi, adalah kerana kita sebagai hamba Allah dan sewajarnya sebagai hamba hendaklah taat kepada yang dihambakan yakni Allah swt disamping menjiwai sifat kehambaan dalam menjalani ibadat puasa. Matlamat mencari keredhaan daripada Allah swt hendaklah disemat kuat di sanubari kita.

Ulama salaf telah mengungkapkan kata- kata berikut:

الاحترام خير من العبادة

Ertinya ; penghormatan itu lebih baik yakni berharga berbanding ibadat

Maksudnya, mereka yang menjunjung perintah Allah dengan penuh penghormatan semata- mata mengharap keredhaan Allah adalah lebih baik daripada melakukan ibadah.

Dan apa yang kita faham, penghormatan hanya akan lahir bagi mereka yang kenal maksud hakikat kehambaan semata- mata kepada Allah, hanya mereka yang kenal dirinya dan zat yang maha agung barulah penghormatan kepada. Allah itu terbit dan dirasai dengan sebenar- benarnya.

Para sahabat r.a telah membuktikan sifat kehambaan yang murni, apabila turunnya sesuatu ayat al- quran samaada berbentuk tegahan atau perintah. Mereka akan melakukannya tanpa perlu berdolak- dalih atau mempersoalkannya apakah hikmahnya jika kami melakukan atau meningalkan maksud ayat tersebut? Ini sesuai dengan perintah Allah swt dalam al- quran yang bermaksud:

z

Rasulullah telah beriman kepada apa Yang diturunkan kepadanya dari Tuhannya, dan juga orang-orang Yang beriman; semuanya beriman kepada Allah, dan Malaikat-malaikatNya, dan Kitab-kitabNya, dan Rasul-rasulNya. (Mereka berkata): "Kami tidak membezakan antara seorang Dengan Yang lain Rasul-rasulnya". mereka berkata lagi: Kami dengar dan Kami taat (Kami pohonkan) keampunanMu Wahai Tuhan kami, dan kepadamu jualah tempat kembali".

Saidina Abu Bakar yang dikenal dengan gelaran As siddik kerana ia membenarkan peristiwa Israk Mikraj yang berlaku di luar logik aqal. Saidina Abu Bakar tidak bertanya dan bersoal- jawab kepada Rasulullah saw untuk menyakinkan dirinya, tetapi beliau terus beriman dengan sepenuh hati terhadap peristiwa tersebut.

Puasa yang disertai dengan sifat kehambaan dan keimanan serta mematuhi displin yang ditetapkan oleh Allah dan Rasul sahaja boleh menjadikan ia sebuah madrsasah latihah yang membuahkan kehasilan taqwa, sedangkan taqwa adalah kehasilah daripada puasa yang diterima Allah.

Untuk melayakkan seseorang diterima sebagai penuntut Ramdhan, sudah tentu dengan asas keimanan, tauhid yang murni dan sifat kehambaan. Ertinya perkara pertama yang perlu bagi peserta Ramdhan ialah persediaan keimanan yang syumul, merasai dan memahami sifat kehambaan dan mematuhi displin semasa latihan di kem Ramadhan, maka taqwa yang di anugerahkan Allah adalah sijil lulus bagi seorang peserta kem ramdhan setelah mereka memenuhi syarat- syarat seperti di atas.

Jika kita misalkan sebuah kereta aksesori yang cantik seperti lampu sport dan ring sport tidak akan membawa apa – apa erti kereta tersebut jika kereta tersebut tiada mempunyai enjin dan minyak. Demikian juga mereka yang menyambut Ramadhan tanpa kefahaman tuntutan iman dan erti kehambaaan, cuma sekadar mengharap hikmah puasa dan ganjaran sematamata adalah seperti sebuah kereta yang cantik tetapi malangnya tanpa enjin dan minyak

Dengan adanya persediaan rohani seperti yang dinyatakan diatas puasa kita akan menjadi ibadat dan tidaklah menjadi adat seperti kebanyakan masyarakat kita lakukan contohnya kita cuma hadir ke masjid pada malam-malam tertentu sahaja seperti malam jumaat dengan yasin dan air tawarnya, Nisfu Syaaban dengan yasin tiga kalinya dan tarawih bagi bulan puasa sahaja. Ada juga yang tidak pernah bersolat, atau solat jarang-jarang tetapi berpuasa penuh, hadir ke bazar Ramadhan dengan pakaian menjolok mata. Bagi mereka, puasa akan menambah kesyahduan syawal yang akan mereka sambut, tetapi bukan kerana sikap seorang hamba yang menjunjung perintah tuhannya.

Allah swt mewajibkan kita berpuasa dengan ayat wahai orang yang beriman ini menbawa erti puasa yang sebenar adalah bagi mereka yang menghayati konsep iman. Allah menyembunyikan namanya dengan mengunakan lafaz عليكم الصيام كتب

Tidak dengan lafaz كتب الله عليكم الصيام membawa maksud kefarduan puasa bagi orang yang beriman tidak perlu di persoalkan lagi semestinya daripada perintah Allah aza wajalla Dan Allah mengakhiri ayat puasa tersebut dengan lafaz لعلكم تتقون

Sebagai isyarat natijah daripada puasa adalah sifat taqwa. Kerana pentingnya Iman dalam melaksanakan ibadat puasa maka Rasulullah saw bersabda:

من صام رمضان ايمانا واحتسابا غفر له ما تقدم من ذنبه

Ertinya : Sesiapa yang berpuasa Ramadhan dalam keadaan iman dan mengharap-harap ganjaran daripadaAllah swt, neccaya diampun baginya dosa terdahulu –riwayat Bukhary

Iman melahirkan amal, namun amal tanpa iman adalah sia – sia. Demikian juga mereka yang beriman tetapi tidak beramal adalah seperti pokok yang tidak berbuah, dan mereka yang beramal tetapi tidak beriman seperti pokok yang berbuah tetapi kesemuanya buruk dan membusuk.

Hadis nabi yang diriwayat kan oleh imam muslim mengatakan iman ada 73 cabang hinga 79 cabang, namun demikian iman jika kita umpamakan iman mempunyai jasad, jasad iman hanya satu jika rosak iman tersebut tidak ada gantinya , kerana itulah mereka yang membenarkan kitab al- quran dan menolak kitab yang lain dianggap sebagai tidak beriman dengan al- quran. Demikian juga sebaliknya beriman dengan taurat, tetapi menolak al- quran pada hakikatnya mereka pada masa yang sama menolak ajaran taurat juga.

Kefarduan puasa difardukan setelah dua tahun Rasul SAW berhijrah di madinah. Pada masa itu para sahabat r.a yang merupakan generasi terbaik di sepanjang zaman. Jiwa dan rohani mereka telah penuh dengan keimanan. Mereka bukanlah semata-mata hebat dengan melaksankan puasa, tetapi keimanan dan sifat kehambaan memenuhi ruang jiwa mereka. Rasulullah saw dalam memberi komen tentang Saidina Abu Bakar yang sangat kuat imannya. Rasulallah saw bersabda yang maksudnya, " Tiadalah kelebihan Abu Bakar kerana banyak berpuasa dan solat, tetapi kerana siir yang ada didalam hatinya ( siir yang dimaksudkan ialah keimanan yang mantap)

Ayat Al- Quran yang mewajibkan berpuasa berada pada nombor 183, tetapi ayat yang mewajibkan qisas berada pada ayat 178 , ertinya lebih dahulu daripada ayat mewajibkan puasa , kalau kita mahu diiktiraf sebagai orang yang beriman dengan kefarduan puasa, kita juga hendaklah mengiktiraf kefarduan qisas. Jika kita tidak mengiktiraf kefarduan qisas secara langsung sebenarnya kita tidak mengiktiraf kefarduan puasa juga. Kerana persoalan iman adalah satu persoalannya, apakah puasa orang yang tidak beriman diterima ALLAH ? Kerana syarat sah puasa adalah beriman, sedangkan sebagaimana di terangkan di atas tadi, iman hanya satu jika rosak maka yang lain juga menjadi rosak.

Pentingnya iman dalam melaksanakan sesuatu ibadat dapat digambarkan daripada hadis berikut:

كنا مع النبي ص نحن فتيان حزاورة فتعلمنا الايمان قبل ان نتعلم القران ثم تعلمنا القران فازددنا به ايمانا

Adalah kami bersama nabi saw, pada masa itu kamu muda belia kami belajar memahami iman sebelum kami belajar al- quran kemudian barulah kami belajar al- quran, maka Allah menambah dengan sebab al- quran akan iman kami.

Dan sebagai penutupnya saya berpesan kepada jiwa saya yang dhaif ini juga kepada saudara- saudara agar kita menghayati Ramadhan dalam erti kata yang sebenar dengan penuh keimanan dan bersifat kehambaan kerana Allah swt.

Allah swt meletakkan asas utama penciptaan manusia adalah untuk menghambakan diri kepada Allh swt semata- mata sebagaimana firmannya:

وما خلقت الجن والانسان الا ليعبدون

Dan tidak aku jadikan jin dan manusia melainkan supaya mereka beribadat kepada ku

Abdullah bin Abbas mentafsirkan makna liyakbudun dengan arti liyakrifun( supaya mereka mengenali aku)ayat Al- Quran ini membuktikan tujuan utama penciptaan manusia dan pentingnya menghayati konsep ubudiah dalam setiap amalan kita..

Tuesday, August 2, 2011

Pengertian رمضان


( Keredhaan Allah ر – رضوان الله (

( Keampunan Allah ) اللة م – مغفرة

( Jaminan Allah ) ض – ضمان الله

( Kejinakan Allah ) ا – الفة الله

( Anugerah / nikmat ) ن – نعمة الله


· Keredhaan Allah , bagi orang yang taat

· Keampunan Allah , bagi orang yang maksiat

· Jaminan Allah, bagi bagi orang yang bertakwa

· Kejinakan Allah bagi orang yang tawakal

· Nikmat / anugerah Allah bagi orang yang benar

رمضان , رمض ertinya membakar – iaitu menghapuskan dosa-dosa orang yang berpuasa dan beribadah pada bulan Ramadhan

Ramadhan ertinya bulan mendapatkan keredhaan Allah dan keampunan bagi hambaNya. Orang yang mendapat keredhaan dan keampunan Allah berarti memberi jaminan (kerana ibadahnya pada bulan mulia dengan penuh taat dan takwa ) mendapat syurga anugerah Allah bagi hambanya yang benar-benar melakukan ibadah keranaNya pada bulan Ramadhan yang mulia ini dengan ganjaran pahala sehingga seribu kali ganda dan keampunan yang banyak sekali , teristimewa pada malam LailatulQadar..


Wednesday, July 20, 2011

MUSUH SABAR

SABAR ITU SEBAHAGIAN DARIPADA IMAN..

Sabar itu ialah ketika seseorang itu mampu menahan kesusahan atau masalah yang menimpanya. Jika tidak mampu lagi untu bertahan, maka pasti ada musuh yang ingin melesapkan sifat sabar dalam diri seseorang itu. Apakah musuh-musuh kepada sabar itu?..

1. Tergesa-gesa

Allah berfirman yang bermaksud : " Manusia telah dijadikan (bertabiat) tergesa-gesa."
(Surah al-Anbiya' 21:37)

Sekiranya apa yang dihajati lambat ditunaikan, maka hilanglah kesabarannya. Itulah tabiat semulajadi manusia . Selalu ingin memetik buah sebelum buah itu masak dan tanpa bersungguh-sungguh menanam pohon buah tersebut.

2. Putus asa

Allah berfirman yang bermaksud, " Dan janganlah kamu berputus asa daripada rahmat Allah. Sesungguhnya tidak berputus asa daripada rahmat Allah melainkan golongan yang kafir."
(Surah Yusuf 12: 87)

3. Marah

Islam tidak pernah menyuruh umatnya membasmi sifat marah secara menyeluruh. Marah masih diperlukan pada saat-saat tertentu seperti ketika Islam dihina atau digugat. Hakikatnya kini, manusia sebaliknya marah tidak bertempat. Mereka hanya marah apabila kepentingan diri tergugat, bukan kepentingan agama digugat..

Jika ketiga-tiga "musuh" sabar di atas masih ada dalam diri kita, maka amat susahlah untuk memupuk sifat sabar. Halaulah musuh tersebut jauh-jauh, nanti sabar akan melekat.. sama-samalah kita semaikan sifat sabar dalam diri agar diri kita mampu bertahan dan kuat untuk beribadah, lebih-lebih lagi ketika bulan Ramdahan al-mubarak yang bakal menjelma nanti.. InsyaAllah..

Kita juga harus tahu dalam Islam, sabar itu terbahagi kepada tiga :

1) Sabar dalam menunaikan perintah Allah.
2) Sabar dalam meninggalkan larangan Allah.
3) Sabar dalam menghadapi musibah (ujian) daripada Allah.

Justeru, jika seseorang itu mampu bersifat sabar (ketika kesusahan menimpa fizikal dan rohaninya), maka dia akan memiliki 2 keindahan. Pertama, keindahan fizikal dan kedua keindahan rohani.

Sabar itu bererti "menahan". Jika kita mampu menahan diri ketika melakukan ketaatan, meninggalkan kemaksiatan dan menahan diri ketika ditimpa musibah, nescaya akan semakin indahlah wajah dan akhlak kita.. InsyaAllah..

Sunday, July 10, 2011

3 GOLONGAN MANUSIA

MANUSIA dibahagikan kepada tiga golongan iaitu :-

1) Hidup demi dunia semata-mata.

Allah swt berfirman yang bermaksud, " Dan tentu mereka akan mengatakan pula hidup adalah kehidupan kita di dunia ini sahaja,dan kita sekali-kali tidak akan dibangkitkan. Surah al-An'am 6:29

Golongan ini ialah golongan yang kufur dengan nikmat Allah dan mengingkari hari kebangkitan.

2. Golongan yang percaya kewujudan akhirat namun,.

Namun mereka tidak berusaha ke arah mencapai kebahagiaan 'di sana'.
Mereka selamba bersuka ria dan berhibur di dunia tanpa berusaha gigih untuk menggapai kebahagiaan di akhirat.

3. Golongan yang menganggap dunia ini ladang akhirat.

Mereka menanam di sini untuk menuai di akhirat kelak.

Allah berfirman yang bermaksud,: "Dan tiadalah kehidupan dunia ini, selain daripada main-main dan senda gurau belaka. Dan sesungguhya, kampung akhirat itu lebih baik bagi orang yang bertakwa. Maka tidakkah kamu memahaminya? Surah Al-An'am 6: 32

DI MANA AGAKNYA KITA?

TEPUK DADA TANYA IMAN...

Monday, June 27, 2011

Apakah Tanda Seseorang Mendapat Taufiq Daripada Allah SWT ?

Bersyukurlah bagi seseorang yang mendapat taufiq daripada Allah.

Tanda bagi orang yang mendapat Taufiq itu ada 3 :

1. Mudah mengerjakan amal kebaikan, padahal ia tidak ada niat dan bukan tujuannya..

2. Berusaha untuk berbuat maksiat, tetapi selalu terhindar daripadanya..

3. Selalu terbuka baginya keperluan dan hajat kepada Allah Taala.


Berdoa dan minta dijauhkan daripada tergolong di kalangan orang yang dihinakan oleh Allah swt

Adapun, tanda seseorang yang dihinakan oleh Allah itu ada 3

1. Sukar melakukan ibadat/ taat, padahal ia sudah berusaha sungguh-sungguh.

2. Mudah terjerumus ke dalam maksiat, padahal ia berusaha menghindarkannya.

3. Tertutupnya pintu berhajat kepada Allah, sehingga merasa tidak perlu berdoa dalam segala
hal..

Untuk mendapat taufiq daripada Allah, dan menghindari diri kita daripada mendapat kehinaan Allah swt, sama-samalah kita menjaga akhlak dan mendapat didikan Islam yang sempurna..
Dan jauhilah orang-orang yang akan menjerumuskan kita ke arah maksiat dan kehinaan..

Rasulullah saw bersabda yang bermaksud..

" Tuhan telah mendidik saya sebaik-baik didikan dan menyuruhku melakukan akhlak yang sebaik-baiknya.."

" Ambillah hati mereka dengan suka memaafkan, dan anjurkan perbuatan-perbuatan baik dan mudah. Dan abaikanlah orang-orang yang masih bodoh ( jangan dituntut) mereka yang masih bodoh itu.."

Ibrahim bin Adhamr.a berkata: " Seseorang tidak akan mencapai darjat orang salihin, sehingga melalui 6 rintangan .. :

1. Menutup pintu kemuliaan, membuka pintu kehinaan.

2. Menutup pintu nikmat, membuka pintu kesukaran.

3. Menutup pintu istirehat, membuka pintu perjuangan.

4. Menutup pintu tidur, membuka pintu jaga.

5. Menutup pintu kekayaan, membuka pintu kemiskinan.

6. Menutup pintu harapan, membuka pintu bersiap menghadapi maut..

Thursday, June 9, 2011

Kriteria Terbaik Memilih Kawan Anak-Anak Kita

Di akhirat nanti, Allah swt akan bertanya kepada ibu-bapa akan tanggungjawab mereka terhadap anak-anak. Adakah ibu bapa telah mengenalkan anak-anak kepada Allah? Adakah didikan agama secukupnya telah diberikan? Adakah anak sudah diasuh dengan ibadah yang fardu dan wajib? Adakah anak-anak sudah dibentuk dengan acuan akhlak yang mulia ?
Ibu bapa mesti memerhatikan peribadi dan perkembangan anak, termasuklah siapa kawan-kawan mereka. Anak-anak perlu diberi garis panduan dan tunjuk ajar dengan siapa mereka perlu berkawan.
Sabda Rasulullah saw yang bermaksud : " Seseorang itu mengikut agama (cara hidup) sahabatnya, maka hendaklah setiap daripada kamu terlebih dahulu memerhatikan siapa yang dipilih sebagai sahabatmu." (Riwayat Abu Daud, al-Tirmizi dan al-Baihaqi)

Akhlak itu penting dalam pergaulan seseorang. Akhlak umpama bunga yang wangi. Sesiapa yang memiliki akhlak yang mulia akan menyebarkan keharuman kepada orang yang berada berhampiran dengannya..

Kriteria Terbaik memilih kawan anak-anak kita..

1. Bijak dan Berakal

Berakal bermaksud bijak iaitu boleh berfikir dengan baik. Galakkan anak-anak mencari kawan yang bijak dan berfikir dulu sebelum bertindak. Misalnya jika kita membuat kesilapan, mereka yang akan menegur. Jika kita terlupa sesuatu, mereka yang akan mengingatkan dan menasihati. Memang sukar sebenarnya mencari kawan-kawan yang bijak, namun memadai jika daripada kalangan kawan-kawan itu ada sikap untuk memperbaiki diri. Ini berbeza jika anak-anak berkawan dengan orang yang jahil, terutamanya jahil dalam sudut agama. Mungkin kerana tidak tahu atau kurang ilmu, mereka akan berdiam diri jika tersilap dan akan membuat andaian sendiri..

2. Berakhlak baik

Seseorang yang berakhlak baik akan menjaga hubungannya dengan Allah swt dan menjaga hubungan sesama manusia. Maksudnya, kawan-kawan anak kita ini mestilah tidak lalai daripada menunaikan solat fardu dan ibadahnya lainnya serta berakhlak baik dalam pergaulan dan menjaga adab ketika berinteraksi seperti bercakap lemah lembut, menjaga hati orang lain, mudah menolong orang lain yang dalam kesusahan dan tidak mudah bersangka buruk dengan orang lain..
Bagi anak-anak yang masih kecil, seawal usia 4 atau 5 tahun, kita boleh mengingatkan dengan konsep yang menjadi fitrah manusia, kita katakan pada mereka ini, "Jika kita tak mahu orang lain berbuat tidak baik kepada kita, kita juga jangan berbuat begitu kepada orang lain. Allah swt suka orang yang berbuat baik kepada orang lain..

3. Memiliki Peribadi Soleh dan Solehah

Bagi menilai samada mereka soleh atau tidak, lihatlah bagaimana sikap mereka dengan ibu-bapa. Adakah mereka hormat atau sering mendatangkan masalah? Atau mereka mendengar kata ataupun berkeras jika ibu-bapa menegurnya atau memberi pandangan?
Disamping itu juga adakah kawan anak kita itu menghormati dan memuliakan orang yang lebih tua? Sekiranya anak-anak ini bersikap kurang hormat kepada orang yang lebih tua, ibu-bapalah yang perlu memberi tunjuk ajar nilai-nilai murni yang perlu diamalkan oleh anak-anak kita..

Kesolehan tidak boleh diwarisi sekalipun seseorang itu anak kepada ustaz atau guru agama.
Antara kaedah membentuk anak yang soleh ialah ibu-bapa perlu mendampingi anak-anak dan menjadi pendengar setia sekiranya mereka mengadu masalah dan ibu-bapalah yang mampu menasihati dan menyelesaikan masalah.. Ambil tahu dan ambil beratlah apa yang dilakukan oleh anak-anak itu terutamanya jika mereka berjauhan daripada kita. Jika kebaikan yang dilakukan, berilah pujian dan bersyukurlah atas kebaikan mereka.
Apabila anak-anak ada masalah dengan kawan-kawannya, ibu bapa perlulah memberi bimbingan cara menghadapinya dengan kesabaran, bukan mengajarnya supaya menjadi seorang yang sombong, membenci atau berani melawan dan sebagainya..

Apa yang penting, usahakanlah agar anak-anak kita menjadi seorang yang baik. Kelak mereka ini menjadi mutiara untuk kita di dunia, lebih-lebih lagi di akhirat. InsyaAllah...


Sumber Rujukan Majalah Solusi bil 31

Wednesday, May 25, 2011

Mutiara Kata Dan Hadis

Mutiara kata dan Hadis di bawah berkisar Kebahagiaan, Kehidupan dan kekeluargaan memberi keinsafan dan pengajaran buat diri sendiri ..

Nasihat sepanjang Zaman

Barangsiapa merasa cukup dengan apa yang telah diberikan Allah, maka dia kaya.

Barangsiapa suka memandang harta orang lain, dia akan mati miskin.

Barangsiapa tidak redha (tidak rela) dengan apa yang telah diberikan Allah kepadanya, maka dia telah menentang keputusanNya (qadha’Nya)

Barangsiapa memandang remeh kesalahannya, maka dia akan memandang besar kesalahan orang lain.

Barangsiapa memandang besar kesalahannya, maka dia akan memandang remeh kesalahan orang lain.

Barangsiapa membuka aib orang lain, maka aib keturunannya akan tersingkap.

Barangsiapa menggali lubang untuk mencelakakan saudaranya, maka dia sendiri akan terjerumus ke dalamnya.

Barangsiapa bergaul dengan ulama, maka dia akan dimuliakan.

Barangsiapa memasuki tempat-tempat biasa dikunjungi orang-orang bodoh, maka dia akan direndahkan.

Dan barangsiapa memasuki tempat-tempat kemaksiatan, maka dia akan dituduh berbuat maksiat.


** Rasulullah (saw) bersabda : Kebaikan yang paling cepat memperoleh ganjaran pahala ialah kebajikan dan silaturahim. Dan kejahatan yang paling cepat mendapat hukuman ialah kezaliman dan memutuskan hubungan kekeluargaan.

(Hadith Riyawat Ibnu Majah)


** Ali bin Abi Thalib r.a berkata: Bukanlah kebaikan itu dengan banyaknya harta dan anak, tetapi dengan banyaknya ilmu, besarnya kesabaran, mengungguli orang lain dalam ibadahnya, apabila berbuat kebaikan dia bersyukur, dan bila berbuat salah (dosa) dia beristighfar kepada Allah.

Keluarga Bahagia..

Bahagiakanlah keluarga kita sebelum membahagiakan orang lain.

Kesolehan keluarga menjadi penentu bagi tegaknya sesuatu bangsa yang aman, makmur dan sejahtera.

Sebahagian dari kesempurnaan kebahagiaan di dunia adalah memiliki keluarga yang bahagia.

Ciri orang yang mencintai keluarganya adalah dia selalu bersabar dalam mendidik akhlak dan keimanan keluarganya.

Seorang yang bekerja keras untuk menunaikan tanggung jawab kepada keluarganya adalah bukti kasihnya kepada keluarganya.

Tingginya darjat suami ditentukan oleh perjuangannya menjadi pemimpin rumah tangga, sehingga dituntut menjadi teladan yang baik bagi keluarga yang dipimpinnya.

Sesungguhnya keluarga itu tempatnya yang aman dan selesa dalam berkongsi suka dan duka.

Kasih sayang yang terjalin diantara anak dan ibubapa mampu melahirkan sikap jujur dan terbuka.

Kekuatan cinta yang tulus mampu menggerakkan lisan untuk senantiasa berterima kasih kepada pasangan, anak ataupun ibubapanya.

Mencintai keluarga adalah amanah bagi setiap manusia.

Pecinta keluarga tidak akan membiarkan dalam rumahnya berlaku keburukan dan kemaksiatan.

Anak-anak lebih memerlukan contoh dan keteladanan dari kedua ibu-bapa mereka daripada celaan dan kekerasan.

Kehidupan kita akan berubah apabila dimulai dengan perubahan diri, keluarga dan persekitaran.

Mahkota orang tua adalah anak cucunya dan kehormatan anak-anak adalah kerana nenek moyang mereka.

Apabila setiap ahli keluarga saling mencintai, menyayangi, dan saling mengalah, nescaya seluruh masyarakat akan menjadi baik, aman dan damai.

Keharmonian keluarga terletak pada sikap tanggungjawab dan terbangunnya komunikasi yang sihat diantara ahli keluarga.

Komunikasi dalam keluarga akan senantiasa terpelihara selama komunikasi dengan Allah pun tetap terjaga.

Keluarga yang dekat dengan Allah akan menjadi keluarga yang layak ditolong olehNya dalam setiap urusannya.

Rasul saw bersabda, paling dekat dengan ku kedudukannya kelak pada hari kiamat adalah orang yang paling baik akhlaknya dan sebaik-baik kamu ialah yang paling baik terhadap keluarganya.

Barangsiapa bersusah payah mencari nafkah untuk keluarganya, maka dia adalah seumpama seorang mujahid dijalan Allah.

Warisan termahal dan terbaik dari diri kita untuk keluarga, keturunan, dan masyarakat adalah keindahan akhlak kita.

Allah mencintai orang-orang yang selalu berjuang memperbaiki diri, keluarga dan masyarakat.

Cintailah suami atau isteri kita dengan memuliakan ibubapa dan keluarganya.

Bagaimana kita bersikap kepada anak-anak kita, begitu pulalah mereka akan bersikap kepada kita. Maka berikan sikap yang terbaik kepada mereka

Jika Allah cinta kepada sebuah keluarga, maka salah satu cirinya ialah keluarga itu dibukakan hati untuk ilmu agama.

Kebahagiaan sesuatu keluarga bukanlah diukur dari segi mata-benda, tapi sejauh mana keta’atan keluarga kepada Allah.

Ibadah seorang ibu adalah modal bagi lahirnya anak-anak yang soleh yang akan menjadi benteng bagi ibubapanya kelak di akhirat.


* Allah mencintai orang-orang yang selalu berjuang memperbaiki diri, keluarga dan masyarakat.


Peliharalah ukhuwah Islamiah yang berlandaskan akidah tauhid yang benar dan kukuh . Pertikaian, persengketaan, dan permusuhan antara umat Islam akan melenyapkan kekuatan dan kewibawaan kita serta mengakibatkan kegagalan.


* Kepuasan hidup itu bukan terletak pada apa yang kita perolehi tetapi kepuasan itu adalah ketika kita mampu memberi kepada orang lain.

Rasul saw bersabda, paling dekat dengan ku kedudukannya kelak pada hari kiamat adalah orang yang paling baik akhlaknya, dan sebaik-baik kamu ialah yang paling baik terhadap keluarganya.

Setitik airmata ibu yang tumpah dari perbuatanmu samalah pedihnya seperti sebutir peluru yang menembusi dadamu..


Hasil Rujukan dan banyak menarik di sini :
http://permatakata.wordpress.com
http://tazkirah.wordpress.com