Followers

Wednesday, July 20, 2011

MUSUH SABAR

SABAR ITU SEBAHAGIAN DARIPADA IMAN..

Sabar itu ialah ketika seseorang itu mampu menahan kesusahan atau masalah yang menimpanya. Jika tidak mampu lagi untu bertahan, maka pasti ada musuh yang ingin melesapkan sifat sabar dalam diri seseorang itu. Apakah musuh-musuh kepada sabar itu?..

1. Tergesa-gesa

Allah berfirman yang bermaksud : " Manusia telah dijadikan (bertabiat) tergesa-gesa."
(Surah al-Anbiya' 21:37)

Sekiranya apa yang dihajati lambat ditunaikan, maka hilanglah kesabarannya. Itulah tabiat semulajadi manusia . Selalu ingin memetik buah sebelum buah itu masak dan tanpa bersungguh-sungguh menanam pohon buah tersebut.

2. Putus asa

Allah berfirman yang bermaksud, " Dan janganlah kamu berputus asa daripada rahmat Allah. Sesungguhnya tidak berputus asa daripada rahmat Allah melainkan golongan yang kafir."
(Surah Yusuf 12: 87)

3. Marah

Islam tidak pernah menyuruh umatnya membasmi sifat marah secara menyeluruh. Marah masih diperlukan pada saat-saat tertentu seperti ketika Islam dihina atau digugat. Hakikatnya kini, manusia sebaliknya marah tidak bertempat. Mereka hanya marah apabila kepentingan diri tergugat, bukan kepentingan agama digugat..

Jika ketiga-tiga "musuh" sabar di atas masih ada dalam diri kita, maka amat susahlah untuk memupuk sifat sabar. Halaulah musuh tersebut jauh-jauh, nanti sabar akan melekat.. sama-samalah kita semaikan sifat sabar dalam diri agar diri kita mampu bertahan dan kuat untuk beribadah, lebih-lebih lagi ketika bulan Ramdahan al-mubarak yang bakal menjelma nanti.. InsyaAllah..

Kita juga harus tahu dalam Islam, sabar itu terbahagi kepada tiga :

1) Sabar dalam menunaikan perintah Allah.
2) Sabar dalam meninggalkan larangan Allah.
3) Sabar dalam menghadapi musibah (ujian) daripada Allah.

Justeru, jika seseorang itu mampu bersifat sabar (ketika kesusahan menimpa fizikal dan rohaninya), maka dia akan memiliki 2 keindahan. Pertama, keindahan fizikal dan kedua keindahan rohani.

Sabar itu bererti "menahan". Jika kita mampu menahan diri ketika melakukan ketaatan, meninggalkan kemaksiatan dan menahan diri ketika ditimpa musibah, nescaya akan semakin indahlah wajah dan akhlak kita.. InsyaAllah..

Sunday, July 10, 2011

3 GOLONGAN MANUSIA

MANUSIA dibahagikan kepada tiga golongan iaitu :-

1) Hidup demi dunia semata-mata.

Allah swt berfirman yang bermaksud, " Dan tentu mereka akan mengatakan pula hidup adalah kehidupan kita di dunia ini sahaja,dan kita sekali-kali tidak akan dibangkitkan. Surah al-An'am 6:29

Golongan ini ialah golongan yang kufur dengan nikmat Allah dan mengingkari hari kebangkitan.

2. Golongan yang percaya kewujudan akhirat namun,.

Namun mereka tidak berusaha ke arah mencapai kebahagiaan 'di sana'.
Mereka selamba bersuka ria dan berhibur di dunia tanpa berusaha gigih untuk menggapai kebahagiaan di akhirat.

3. Golongan yang menganggap dunia ini ladang akhirat.

Mereka menanam di sini untuk menuai di akhirat kelak.

Allah berfirman yang bermaksud,: "Dan tiadalah kehidupan dunia ini, selain daripada main-main dan senda gurau belaka. Dan sesungguhya, kampung akhirat itu lebih baik bagi orang yang bertakwa. Maka tidakkah kamu memahaminya? Surah Al-An'am 6: 32

DI MANA AGAKNYA KITA?

TEPUK DADA TANYA IMAN...

Monday, June 27, 2011

Apakah Tanda Seseorang Mendapat Taufiq Daripada Allah SWT ?

Bersyukurlah bagi seseorang yang mendapat taufiq daripada Allah.

Tanda bagi orang yang mendapat Taufiq itu ada 3 :

1. Mudah mengerjakan amal kebaikan, padahal ia tidak ada niat dan bukan tujuannya..

2. Berusaha untuk berbuat maksiat, tetapi selalu terhindar daripadanya..

3. Selalu terbuka baginya keperluan dan hajat kepada Allah Taala.


Berdoa dan minta dijauhkan daripada tergolong di kalangan orang yang dihinakan oleh Allah swt

Adapun, tanda seseorang yang dihinakan oleh Allah itu ada 3

1. Sukar melakukan ibadat/ taat, padahal ia sudah berusaha sungguh-sungguh.

2. Mudah terjerumus ke dalam maksiat, padahal ia berusaha menghindarkannya.

3. Tertutupnya pintu berhajat kepada Allah, sehingga merasa tidak perlu berdoa dalam segala
hal..

Untuk mendapat taufiq daripada Allah, dan menghindari diri kita daripada mendapat kehinaan Allah swt, sama-samalah kita menjaga akhlak dan mendapat didikan Islam yang sempurna..
Dan jauhilah orang-orang yang akan menjerumuskan kita ke arah maksiat dan kehinaan..

Rasulullah saw bersabda yang bermaksud..

" Tuhan telah mendidik saya sebaik-baik didikan dan menyuruhku melakukan akhlak yang sebaik-baiknya.."

" Ambillah hati mereka dengan suka memaafkan, dan anjurkan perbuatan-perbuatan baik dan mudah. Dan abaikanlah orang-orang yang masih bodoh ( jangan dituntut) mereka yang masih bodoh itu.."

Ibrahim bin Adhamr.a berkata: " Seseorang tidak akan mencapai darjat orang salihin, sehingga melalui 6 rintangan .. :

1. Menutup pintu kemuliaan, membuka pintu kehinaan.

2. Menutup pintu nikmat, membuka pintu kesukaran.

3. Menutup pintu istirehat, membuka pintu perjuangan.

4. Menutup pintu tidur, membuka pintu jaga.

5. Menutup pintu kekayaan, membuka pintu kemiskinan.

6. Menutup pintu harapan, membuka pintu bersiap menghadapi maut..

Thursday, June 9, 2011

Kriteria Terbaik Memilih Kawan Anak-Anak Kita

Di akhirat nanti, Allah swt akan bertanya kepada ibu-bapa akan tanggungjawab mereka terhadap anak-anak. Adakah ibu bapa telah mengenalkan anak-anak kepada Allah? Adakah didikan agama secukupnya telah diberikan? Adakah anak sudah diasuh dengan ibadah yang fardu dan wajib? Adakah anak-anak sudah dibentuk dengan acuan akhlak yang mulia ?
Ibu bapa mesti memerhatikan peribadi dan perkembangan anak, termasuklah siapa kawan-kawan mereka. Anak-anak perlu diberi garis panduan dan tunjuk ajar dengan siapa mereka perlu berkawan.
Sabda Rasulullah saw yang bermaksud : " Seseorang itu mengikut agama (cara hidup) sahabatnya, maka hendaklah setiap daripada kamu terlebih dahulu memerhatikan siapa yang dipilih sebagai sahabatmu." (Riwayat Abu Daud, al-Tirmizi dan al-Baihaqi)

Akhlak itu penting dalam pergaulan seseorang. Akhlak umpama bunga yang wangi. Sesiapa yang memiliki akhlak yang mulia akan menyebarkan keharuman kepada orang yang berada berhampiran dengannya..

Kriteria Terbaik memilih kawan anak-anak kita..

1. Bijak dan Berakal

Berakal bermaksud bijak iaitu boleh berfikir dengan baik. Galakkan anak-anak mencari kawan yang bijak dan berfikir dulu sebelum bertindak. Misalnya jika kita membuat kesilapan, mereka yang akan menegur. Jika kita terlupa sesuatu, mereka yang akan mengingatkan dan menasihati. Memang sukar sebenarnya mencari kawan-kawan yang bijak, namun memadai jika daripada kalangan kawan-kawan itu ada sikap untuk memperbaiki diri. Ini berbeza jika anak-anak berkawan dengan orang yang jahil, terutamanya jahil dalam sudut agama. Mungkin kerana tidak tahu atau kurang ilmu, mereka akan berdiam diri jika tersilap dan akan membuat andaian sendiri..

2. Berakhlak baik

Seseorang yang berakhlak baik akan menjaga hubungannya dengan Allah swt dan menjaga hubungan sesama manusia. Maksudnya, kawan-kawan anak kita ini mestilah tidak lalai daripada menunaikan solat fardu dan ibadahnya lainnya serta berakhlak baik dalam pergaulan dan menjaga adab ketika berinteraksi seperti bercakap lemah lembut, menjaga hati orang lain, mudah menolong orang lain yang dalam kesusahan dan tidak mudah bersangka buruk dengan orang lain..
Bagi anak-anak yang masih kecil, seawal usia 4 atau 5 tahun, kita boleh mengingatkan dengan konsep yang menjadi fitrah manusia, kita katakan pada mereka ini, "Jika kita tak mahu orang lain berbuat tidak baik kepada kita, kita juga jangan berbuat begitu kepada orang lain. Allah swt suka orang yang berbuat baik kepada orang lain..

3. Memiliki Peribadi Soleh dan Solehah

Bagi menilai samada mereka soleh atau tidak, lihatlah bagaimana sikap mereka dengan ibu-bapa. Adakah mereka hormat atau sering mendatangkan masalah? Atau mereka mendengar kata ataupun berkeras jika ibu-bapa menegurnya atau memberi pandangan?
Disamping itu juga adakah kawan anak kita itu menghormati dan memuliakan orang yang lebih tua? Sekiranya anak-anak ini bersikap kurang hormat kepada orang yang lebih tua, ibu-bapalah yang perlu memberi tunjuk ajar nilai-nilai murni yang perlu diamalkan oleh anak-anak kita..

Kesolehan tidak boleh diwarisi sekalipun seseorang itu anak kepada ustaz atau guru agama.
Antara kaedah membentuk anak yang soleh ialah ibu-bapa perlu mendampingi anak-anak dan menjadi pendengar setia sekiranya mereka mengadu masalah dan ibu-bapalah yang mampu menasihati dan menyelesaikan masalah.. Ambil tahu dan ambil beratlah apa yang dilakukan oleh anak-anak itu terutamanya jika mereka berjauhan daripada kita. Jika kebaikan yang dilakukan, berilah pujian dan bersyukurlah atas kebaikan mereka.
Apabila anak-anak ada masalah dengan kawan-kawannya, ibu bapa perlulah memberi bimbingan cara menghadapinya dengan kesabaran, bukan mengajarnya supaya menjadi seorang yang sombong, membenci atau berani melawan dan sebagainya..

Apa yang penting, usahakanlah agar anak-anak kita menjadi seorang yang baik. Kelak mereka ini menjadi mutiara untuk kita di dunia, lebih-lebih lagi di akhirat. InsyaAllah...


Sumber Rujukan Majalah Solusi bil 31

Wednesday, May 25, 2011

Mutiara Kata Dan Hadis

Mutiara kata dan Hadis di bawah berkisar Kebahagiaan, Kehidupan dan kekeluargaan memberi keinsafan dan pengajaran buat diri sendiri ..

Nasihat sepanjang Zaman

Barangsiapa merasa cukup dengan apa yang telah diberikan Allah, maka dia kaya.

Barangsiapa suka memandang harta orang lain, dia akan mati miskin.

Barangsiapa tidak redha (tidak rela) dengan apa yang telah diberikan Allah kepadanya, maka dia telah menentang keputusanNya (qadha’Nya)

Barangsiapa memandang remeh kesalahannya, maka dia akan memandang besar kesalahan orang lain.

Barangsiapa memandang besar kesalahannya, maka dia akan memandang remeh kesalahan orang lain.

Barangsiapa membuka aib orang lain, maka aib keturunannya akan tersingkap.

Barangsiapa menggali lubang untuk mencelakakan saudaranya, maka dia sendiri akan terjerumus ke dalamnya.

Barangsiapa bergaul dengan ulama, maka dia akan dimuliakan.

Barangsiapa memasuki tempat-tempat biasa dikunjungi orang-orang bodoh, maka dia akan direndahkan.

Dan barangsiapa memasuki tempat-tempat kemaksiatan, maka dia akan dituduh berbuat maksiat.


** Rasulullah (saw) bersabda : Kebaikan yang paling cepat memperoleh ganjaran pahala ialah kebajikan dan silaturahim. Dan kejahatan yang paling cepat mendapat hukuman ialah kezaliman dan memutuskan hubungan kekeluargaan.

(Hadith Riyawat Ibnu Majah)


** Ali bin Abi Thalib r.a berkata: Bukanlah kebaikan itu dengan banyaknya harta dan anak, tetapi dengan banyaknya ilmu, besarnya kesabaran, mengungguli orang lain dalam ibadahnya, apabila berbuat kebaikan dia bersyukur, dan bila berbuat salah (dosa) dia beristighfar kepada Allah.

Keluarga Bahagia..

Bahagiakanlah keluarga kita sebelum membahagiakan orang lain.

Kesolehan keluarga menjadi penentu bagi tegaknya sesuatu bangsa yang aman, makmur dan sejahtera.

Sebahagian dari kesempurnaan kebahagiaan di dunia adalah memiliki keluarga yang bahagia.

Ciri orang yang mencintai keluarganya adalah dia selalu bersabar dalam mendidik akhlak dan keimanan keluarganya.

Seorang yang bekerja keras untuk menunaikan tanggung jawab kepada keluarganya adalah bukti kasihnya kepada keluarganya.

Tingginya darjat suami ditentukan oleh perjuangannya menjadi pemimpin rumah tangga, sehingga dituntut menjadi teladan yang baik bagi keluarga yang dipimpinnya.

Sesungguhnya keluarga itu tempatnya yang aman dan selesa dalam berkongsi suka dan duka.

Kasih sayang yang terjalin diantara anak dan ibubapa mampu melahirkan sikap jujur dan terbuka.

Kekuatan cinta yang tulus mampu menggerakkan lisan untuk senantiasa berterima kasih kepada pasangan, anak ataupun ibubapanya.

Mencintai keluarga adalah amanah bagi setiap manusia.

Pecinta keluarga tidak akan membiarkan dalam rumahnya berlaku keburukan dan kemaksiatan.

Anak-anak lebih memerlukan contoh dan keteladanan dari kedua ibu-bapa mereka daripada celaan dan kekerasan.

Kehidupan kita akan berubah apabila dimulai dengan perubahan diri, keluarga dan persekitaran.

Mahkota orang tua adalah anak cucunya dan kehormatan anak-anak adalah kerana nenek moyang mereka.

Apabila setiap ahli keluarga saling mencintai, menyayangi, dan saling mengalah, nescaya seluruh masyarakat akan menjadi baik, aman dan damai.

Keharmonian keluarga terletak pada sikap tanggungjawab dan terbangunnya komunikasi yang sihat diantara ahli keluarga.

Komunikasi dalam keluarga akan senantiasa terpelihara selama komunikasi dengan Allah pun tetap terjaga.

Keluarga yang dekat dengan Allah akan menjadi keluarga yang layak ditolong olehNya dalam setiap urusannya.

Rasul saw bersabda, paling dekat dengan ku kedudukannya kelak pada hari kiamat adalah orang yang paling baik akhlaknya dan sebaik-baik kamu ialah yang paling baik terhadap keluarganya.

Barangsiapa bersusah payah mencari nafkah untuk keluarganya, maka dia adalah seumpama seorang mujahid dijalan Allah.

Warisan termahal dan terbaik dari diri kita untuk keluarga, keturunan, dan masyarakat adalah keindahan akhlak kita.

Allah mencintai orang-orang yang selalu berjuang memperbaiki diri, keluarga dan masyarakat.

Cintailah suami atau isteri kita dengan memuliakan ibubapa dan keluarganya.

Bagaimana kita bersikap kepada anak-anak kita, begitu pulalah mereka akan bersikap kepada kita. Maka berikan sikap yang terbaik kepada mereka

Jika Allah cinta kepada sebuah keluarga, maka salah satu cirinya ialah keluarga itu dibukakan hati untuk ilmu agama.

Kebahagiaan sesuatu keluarga bukanlah diukur dari segi mata-benda, tapi sejauh mana keta’atan keluarga kepada Allah.

Ibadah seorang ibu adalah modal bagi lahirnya anak-anak yang soleh yang akan menjadi benteng bagi ibubapanya kelak di akhirat.


* Allah mencintai orang-orang yang selalu berjuang memperbaiki diri, keluarga dan masyarakat.


Peliharalah ukhuwah Islamiah yang berlandaskan akidah tauhid yang benar dan kukuh . Pertikaian, persengketaan, dan permusuhan antara umat Islam akan melenyapkan kekuatan dan kewibawaan kita serta mengakibatkan kegagalan.


* Kepuasan hidup itu bukan terletak pada apa yang kita perolehi tetapi kepuasan itu adalah ketika kita mampu memberi kepada orang lain.

Rasul saw bersabda, paling dekat dengan ku kedudukannya kelak pada hari kiamat adalah orang yang paling baik akhlaknya, dan sebaik-baik kamu ialah yang paling baik terhadap keluarganya.

Setitik airmata ibu yang tumpah dari perbuatanmu samalah pedihnya seperti sebutir peluru yang menembusi dadamu..


Hasil Rujukan dan banyak menarik di sini :
http://permatakata.wordpress.com
http://tazkirah.wordpress.com

Monday, May 9, 2011

12 Wajah di Padang Mahsyar

Pada Hari Kiamat, umat Islam dikumpulkan berbaris-baris menjadi 12 barisan dengan membawa amalan mereka sendiri.. Maka telah dinyatakan oleh Rasulullah saw keadaan di Padang Mahsyar nanti, lalu digambarkan 12 barisan berkenaan iaitu :-

1. Diiringi dari kubur dengan tidak bertangan dan tidak berkaki.

Keadaan ini dijelaskan melalui satu seruan dari sisi Allah SWT : " Mereka itu adalah orang-orang yang ketika hidupnya menyakiti hati jiran, maka ini balasannya, dan tempat kembali mereka adalah neraka.."

2. Diiringi dari kubur dalam keadaan berbentuk babi hutan.

Datanglah suara dari sisi Allah yang berfirman : " Mereka itu adalah orang yang ketika hidupnya meringankan solat, maka inilah balasannya, dan tempat kembalinya adalah neraka.."

3. Mereka datang dalam bentuk keldai, sedangkan perut mereka penuh dengan ular dan kala jengking.

Allah swt menjelaskan : " Mereka ini adalah orang yang enggan membayar zakat, maka inilah balasannya, dan tempat kembali mereka adalah neraka.."

4. Diiringi dari kubur dengan keadaan darah seperti pancutan, keluar daripada mulut mereka.

Allah swt menegaskan : " Mereka ini adalah orang yang berdusta di dalam jual beli, maka inilah balasannya, dan tempat mereka adalah neraka.."

5. Diiringi dari kubur dengan bau busuk daripada bau bangkai. Ketika itu Allah swt menurunkan angin sehingga bau busuk itu mengganggu ketenteraman di Padang Mahsyar.

Allah swt menegaskan. " Mereka ini adalah orang yang menyembunyikan perlakuan derhaka takut diketahui manusia, tetapi tidak pula rasa takut kepada Allah swt, maka inilah balasannya, dan tempat kembali mereka adalah neraka.."

6. Diiringi dari kubur dengan keadaan kepala mereka terputus daripada badan.

Allah swt berfirman: " Mereka adalah orang yang menjadi saksi palsu, maka inilah balasannya, dan tempat kembal mereka adalah neraka.."

7. Diiringi dari kubur tanpa mempunyai lidah dan dari mulut mereka mengalir keluar nanah dan darah.

Allah menegaskan : " Mereka itu adalah orang yang enggan memeberi kesaksian dia atas kebenaran, maka inilah balasannya, dan tempat kembali mereka adalah neraka."

8. Diiringi dari kubur dalam keadaan terbalik dengan kepala ke bawah dan kaki ke atas.

Allah swt berfirman : " Mereka adalah orang yang berzina, maka inilah balasannya, dan tempat
kembali mereka adalah neraka.."

9. Diiringi dari kubur dengan berwajah hitam gelap dan bermata biru, sementara dalam diri mereka penuh dengan api yang bernyala.

Allah swt menyatakan : "Mereka itu adalah orang yang makan harta anak yatim dengan cara haram, maka inilah balasannya, dan tempat kembali mereka adalah neraka.."

10. Diiringi dari kubur dalam keadaan tubuh mereka penuh dengan sopak dan kusta.

Allah swt berfirman : " Mereka adalah orang yang derhaka kepada kedua-ibubapanya, maka inilah balasannya, dan tempat kembali mereka adalah neraka.."

11. Diiringi dari kubur dengan berkeadaan buta, gigi memanjang sepeti tanduk lembu jantan, bibir melebar sampai ke dada dan lidah terjulur memanjang sampai ke perut dan keluar berbagai-bagai kotoran.

Allah swt menegaskan : " Mereka adalah orang yang minum arak, maka inilah balasannya, dan tempat kembali mereka adalah neraka.."

12. Diiringi dari kubur dengan wajah yang bersinar-sinar laksana bulan purnama. Mereka melalui titian sirat sperti kilat.

Maka, datanglah suara dari sisi Allah Yang Maha Pengasih menegaskan : " Mereka adalah orang yang beramal soleh dan banyak melakukan kebaikan. Mereka menjauhi perbuatan derhaka, mereka memelihara soalat lima waktu, ketika meninggal dunia mereka sempat bertaubat, maka inilah balasannya, dan tempat kembali mereka adalah syurga, mendapat keampunan, kasih sayang dan keredhaan Allah yang Maha Pengasih dan Penyayang.."


Rujukan : Majalah ANIS (Februari 2011)

Friday, April 15, 2011

Bersederhana Dalam Membenci

Apakah garis panduan cinta dan benci yang mesti kita turuti sebagai seorang muslim?

Islam melarang kita melampau dalam mencintai dan membenci sehingga membutakan mata kita daripada melihat kebenaran..

Apabila kebencian seseorang melampaui batas, hatinya akan dipenuhi pelbagai sangkaan buruk setiap kali melihat orang yang dibenci itu melakukan atau mengucapkan sesuatu. Mereka ini sukar percaya bahawa ia mampu berbuat baik, bahkan mampu berniat baik!

Bagi orang yang berlebihan dalam membenci ini, sanggup membuka aib dan keburukan seseorang yang lain hanya untuk menutup mata semua orang daripada melihat kebaikan orang yang dibenci nya itu..

Bagi orang yang mempunyai sifat benci yang melampaui ini akan merosakkan diri sendiri.
Oleh sebab itu, al-Hassan al-Basri berkata: " Bersederhanalah dalam mencintai, dan tidak melampaui dalam membenci. Sungguh ramai orang yang binasa kerana berlebihan dalam mencintai. Dan sungguh ramai orang yang binasa kerana berlebihan dalam membenci.
(riwayat al-Baihaqi)

Sayidina Ali bin Abi Talib pernah berkata: "Cintailah kekasihmu sekadarnya sahaja, siapa tahu ia akan menjadi musuhmu suatu hari nanti. Dan bencilah musuhmu sekadarnya sahaja, siapa tahu ia akan menjadi kekasihmu suatu hari nanti."

Bagaimana menjadi seorang yang bersederhana dalam menciantai dan membenci ?

Kita boleh mulai dengan memikirkan kembali sebab kebencian yang kita rasakan terhadap seseorang. Adakah kita membenci kerana ikut-ikutan, membenci tanpa sebab (tidak tahu puncanya) atau kerana ucapan atau perbuatan seseorang itu yang pernah melukai perasaan kita..?

Sekiranya kita "membenci tanpa sebab", ini tentu sahaja sangat jauh daripada keadilan. Ini kerana, dia membenci setiap kali melihat atau mendengar nama orang yang dibencinya, tanpa melihat samada orang itu membuat kebaikan atau sebaliknya. Orang seperti sebenarnya sedang menderita sakit jiwa.

Bagi yang membenci kerana ikut-ikutan, biasanya terjadi dalam kes kebencian bermotifkan politik dan membabitkan orang awam. Sikap ini bukan sikap islamik dan bukan ciri seorang muslim, ia mesti dijauhi..

Kebencian kepada orang yang pernah mengeluarkan ucapan atau kata-kata yang melukai perasaan atau perbuatan yang menyakiti hati kita juga harus disingkirkan.. Perkara yang remeh berubah menjadi konflik yang berpanjangan kerana ego kita. Kita enggan mengalah dan bertolak ansur, padahal sikap ini sangat digalakkan oleh agama kita.

Sedangakan di dalam sebuah hadis ada mengatakan, orang yang lebih dahulu bertolak ansur dalam persengketaan adalah petanda kebenaran sebenarnya berada dipihaknya..

Rasulullah saw bersabda yang bermaksud: " Tidak halal bagi seorang muslim menjauhi saudaranya lebih daripada tiga hari. Kedua-duanya berjumpa, namun saling berpaling daripada satu sama lain. Orang terbaik antara keduanya adalah yang terlebih dahulu mengucapkan salam." (Riwayat al-Bukhari dan Muslim daripada Abu Ayyub)

Ya Allah, kami meminta agar dapat menjaga keadilan dalam cinta dan benci. Dan jagalah mata hati kami daripada dibutakan oleh kedua-duanya. Benar, buta mata hati adalah seburuk-buruk musibah yang engkau timpakan kepada hambaMu di muka bumi ini. Amin YaRabbal Alamin..


Rujukan : Majalah solusi Isu No. 29