Followers

Tuesday, May 11, 2010

15 Perkara Yang Mengakibatkan Datangnya Bencana

Daripada Ali bin Abu Talib berkata, Nabi Muhammad saw telah bersabda :
"Apabila umatku melakukan 15 perkara, pasti turun bencana menimpa mereka. Lima belas perkara itu adalah seperti berikut :-

1. Menganggap kekuasaan sebagai suatu perniagaan mencari keuntungan.
2. Menganggap amanah seperti ghanimah (harta rampasan perang).
3. Menganggap membayar zakat adalah merugikan.
4. Lelaki atau suami tunduk kepada isterinya.
5. Anak derhaka kepada ibunya.
6. Anak lebih taat kepada kawannya berbanding kepada orang tuanya.
7. Anak membenci ayahnya.
8. Ramai orang menjerit-jerit di dalam masjid.
9. Pemimpin adalah orang yang rendah budinya.
10.Orang ditakuti kerana kejahatannya.
11. Minuman arak berleluasa.
12. Ramai orang memakai sutera.
13. Penari wanita berleluasa.
14. Muzik dimainkan di merata-rata tempat.
15. Umat Islam pada hari ini mengutuk umat terdahulu termasuk para sahabat , tabiin dan imam.

Maka pada saat itu, tunggulah datangnya azab termasuk angin merah, gempa bumi, tanah runtuh dan kemusnahan." (Hadis Riwayat Tirmizi)

Nabi berkata, " Ada dua jenis perbuatan yang mendapat seksaan dengan segera di dunia iaitu perbuatan berzina dan menderhaka kepada ibu bapa." (Hadis Riwayat Bukhari)

Aisyah berkata, Nabi Muhammad saw berkata, "Amal kebajikan yang disegerakan balasannya di dunia adalah berbakti kepada orang tua dan menyambung tali silaturrahim. Kejahatan yang disegerakan seksaannya adalah berzina, menderhaka kepada ibu bapa dan memutuskan tali silaturrahim." (Hadis Riwayat Imam Tirmiz dan Ibnu Majah)

Monday, May 3, 2010

Islam Pada Nama Sahaja

Lagi hadis berkaitan Peristiwa akhir zaman..

Maksud Hadis

Daripada Ali bin Abi Thalib ra berkata, Telah bersabdaRasulullah saw, "Sudah hampir sampai suatu masa di mana tidak tinggal lagi daripada Islam itu kecuali hanya namanya, dan tidak tinggal daripada al-Quran itu kecuali hanya tulisannya. Masjid-masjid mereka tersergam indah, tetapi ia kosong daripada hidayah. Ulama mereka adalah sejahat-jahat makhluk yang ada di bawah kolong (naungan) langit. Dan mereka berpunca fitnah, dan kepada mereka fitnah itu akan kembali." Hadis Riwayat al-Baihaqi

Keterangan,

Kalau kita perhatikan dunia Islam pada hari ini, keadaannya tidak begitu jauh dari gambaran yang telah dinyatakan oleh Rasulullah saw ini. Kalau belum sampai pun, ianya sudah mendekati ke sana. Ulama yang dimaksudkan dalam hadis ini ialah ulama su' yang menjual agama mereka dengan mata benda dunia, bukan ulama akhirat yang mewarisi tugas para Nabi dan yang meneruskan penyebaran dakwah dari masa ke semasa.


Ulama Tidak Dipedulikan

Ertinya:
Dari Sahl bin Saad as-saaidi ra berkata : Rasulullahs aw bersabda, "Ya Allah ! Jangan kau temukan aku dan mudah-mudahan kamu (sahabat) tidak bertemu dengan suatu zaman di mana para ulama sudah tidak diikut lagi. Hati mereka seperti hati orang Ajam (pada fasiqnya), lidah mereka seperti lidah orangArab (pada fasihnya). H.R Ahmad

Keterangan

Mungkin zaman sekarang ini sudah mendekati keadaan yang digambarkan oleh Rasulullah saw ini. Masyarakat sudah agak jauh dari para ulama. Mereka takut mendekati para ulama, kerana khuatir perbuatan mereka akan ditegur. Orang tidak segan lagi membuat maksiat walau pun di hadapan orang yang tinggi akhlaknya. Terkadang, sengaja perkara maksiat itu dibuat di hadapan para ulama untuk menyatakan rasa ego dan sekaligus untuk menyinggung perasaan mereka. Golongan ini juga pandai bercakap dan sering memutarbelitkan kenyataan. Percakapan mereka begitu halus dan memikat orang lain padahal, hati mereka adalah hati harimau yang bersedia untuk menerkam mangsa atau musuhnya.

Wednesday, April 28, 2010

ZAMAN DI MANA ORANG TAK PEDULIKAN DARI MANA MENDAPATKAN HARTA

Hadis Peristiwa Akhir Zaman...

Maksud hadis.
Daripada Abu Hurairah ra berkata: Bersabda Rasulullah saw, "Akan datang suatu zaman, seseorang tidak mempedulikan dari mana ia mendapatkan harta, apakah dari yang halal atau pun haram."

Keterangan.

Di zaman sekarang ini merupakan zaman ketandusan rohani dan zaman metarialisme. Segala sesuatu adalah bernilai dengan nilai harta. Manusia cakar-mencakar untuk memperolehi sebanyak mungkin harta kekayaan. Mereka tidak mempedulikan dari mana datangnya harta yang diperolehi, apakah dari sumber yang halal atau dari sumber yang haram. Yang penting, harta dapat dikumpulkan sebanyak-banyaknya untuk memenuhi kehendak nafsu atau pun untuk melayan kehendak isteri atau anak-anak mereka.


Harta riba wujud di merata tempat

Maksud hadis
Daripada Abu Hurairah r.a berkata: Rasulullah saw bersabda, " Akan tiba suatu zaman, tidak ada seorang juga pun kecuali ia terlibat dalam memakan riba. Kalau ia tidak memakan secara langsung, ia akan terkena juga debu-debunya."

Keterangan
Hadis sabdaan Rasulullah ini sangat jelas di hadapan mata kita pada hari ini..
'Na'uzubillahiminzalik'..

Friday, April 16, 2010

Ilmu Agama Akan Beransur-ansur Hilang

Sambungan Hadis Berkaitan Peristiwa Akhir Zaman..

Ilmu Agama Akan Beransur-ansur hilang

Maksud Hadis :
Daripada Abdullah bin Amr bin 'Ash r.a berkata : Aku mendengar Rasulullah saw bersabda:
" Bahawasanya Allah swt tidak mencabut (menghilangkan) akan ilmu itu dengan sekaligus dari (dada) manusia. Tetapi Allah swt menghilangkan ilmu itu dengan mematikan alim-ulama'. Maka apabila sudah ditiadakan alim ulama', orang ramai akan memilih orang-orang yang jahil sebagai pemimpin mereka. Maka apabila pemimpin yang jahil itu ditanya, mereka akan berfatwa tanpa ilmu pengetahuan. Mereka sesat dan menyesatkan orang lain." Hadis Riwayat. Muslim

Keterangan :

Di akhir-akhir ini kita telah melihat gejala-gejala yang menunjukkan hampirnya zaman yang dinyatakan oleh Rasulullah ini. Di mana bilangan alim-ulama hanya tinggal sedikit dan usaha untuk melahirkannya pula tidak endapat perhatian sewajarnya. Pondok-pondok dan sekolah-sekolah agama kurang mendapat perhatian daripada cerdik pandai. Mereka banyak mengutamakan pengajian-pengajian di bidang urusan keduniaan yang dapat meraih keuntungan harta benda dunia. Inilah realiti masyarakat kita di hari ini. Oleh itu, perlulah kita memikirkan hal ini dan mencari jalan untuk menyelesaikannya.


Penyakit Umat-umat Dahulu

Maksud hadis
Daripada Abu Hurairah r.a katanya, Aku mendengar Rasulullah saw bersabda, " Umatku akan ditimpa penyakit-penyakit yang pernah menimpa umat-umat dahulu." Sahabta bertanya, "Apakah penyakit-penyakit umat terdahulu itu ?" Nabi saw menjawab, " Penyakit-penyakit itu ialah: 1) terlalu banyak seronok, 2) terlalu mewah, 3) menghimpun harta sebanyak mungkin, 4) tipu menipu dalam merebut harta benda dunia, 5) saling memarahi, 6) hasut-menghasut sehingga jadi zalim menzalimi." HR Hakim

Keterangan :

Penyakit-penyakit yang disebut oleh Rasulullah saw tadi, telah banyak kita lihat di kalangan kaum muslimin di hari ini. Di sana sini kita melihat penyakit ini merebak dan menjalar dalam masyarakat dengan ganasnya. Dunia Islam dilanda krisis rohani yang sangat tajam dan meruncing. Dengan kekosongan rohani itulah mereka terpaksa mencari dan menimbun harta benda sebanyak-banyaknya untuk memuaskan hawa nafsu. Maka apabila hawa nafsu diperturutkan, tentunya mereka terpaksa menggunakan segala macam cara dan tipu helah. Di saat itu, hilanglah nilai-nilai akhlak dan yang wujud hanyalah kecurangan, khianat, hasut-menghasut dan sebagainya.
Marilah kita merenung maksud hadis ini, danmarilah kita bermuhasabah !..

Wednesday, April 7, 2010

Hadis Berkaitan Peristiwa Akhir Zaman

Mulai entry kali ni, InsyaAllah Tie akan berkongsi tentang sebabahagian maksud hadis yang berkitan dengan peristiwa akhir zaman dengan merujuk buku 40 Hadis Peristiwa Akhir Zaman. Susunan Ahmad Fahmi Zamzam (Abu Ali Al-Banjari An-Nadwi Al-Maliki ). Sama-samalah kita mendapat iktibar dan ambil manfaat daripadanya..

1. Orang yang baik berkurangan, sedang yang jahat bertambah banyak

Maksud hadis
Daripada Aisyah r.a berkata : Aku mendengar Rasululllah saw bersabda, " Tidak akan berlaku hari qiamat sehingga anak seseorang menjadi punca kemaharahan (bagi ibu-bapanya) dan hujan akan menjadi panas (hujan akan berkurangan dan cuaca akan menjadi panas) dan akan bertambah ramai orang tercela dan berkurangan orang yang baik, dan anak-anak menjadi berani melawan orang-orang tua dan orang yang jahat berani melawan orang-orang yang baik. "
(Hadis Riwayat Thabrani)

Keterangan :
Di antara tanda-tanda qiamat ialah
1. Bila anak-anak merupakan punca kemarahan orang tuanya.
2. Bila hujan berkurangan, cuaca menjadi panas dan udara telah tercemar.
3.Orang jahat bertambah ramai dan galakan untuk membuat kejahatan sangat banyak.
4. Orang yang membuat kebaikan sedikit dan tidak mendapat kemudahan sewajarnya.
5. Anak-anak sudah berani melawan orang tua.
6. Orang-orang yang jahat, berani melawan orang-orang yang baik dan tidak segan terhadap mereka.


2. Rasuah berleluasa

Maksud hadis
Daripada Muaz bin Jabal ra berkata, aku telah mendengar Rasulullah saw bersabda, " Ambillah pemberian itu selama ia masih sebagai pemberian. Tetapi apabila ia telah menjadi rasuah dalam pandangan agama maka jangan kamu mengambilnya. Namun, kenyataannya kamu tidak akan dapat meninggalkan rasuah itu kerana kamu takut fakir dan kamu sangat berhajat untuk mengambilnya." (H.R At-Thabrani dan Abu Nuaim)

Keterangan .
Di akhir zaman rasuah akan menjadi-jadi pada masyarakat dan wang mempunyai kuasa untuk membeli pangkat dan kedudukan dan wang juga diperlukan untuk mendapat kemudahan dari pihak yang berpangkat dan berkuasa. Wang telah menjadi Tuhan yang disembah oleh setiap orang yang tamak dan rakus.
Dalam keadaan yang sebegini rupa, orang sudah tidak mempedulikan sesiapa. Maka musnahlah akhlak dan runtuhlah segala budi dan yang wujud hanyalah kezaliman dan penindasan dari setiap lapisan terhadap lapisan yang memerlukannya.

Wallua'lam.. Bersambung..

Sunday, March 28, 2010

Tergesa-gesa yang dibolehkan

Tergesa-gesa /gopoh-gapah (terburu-buru) adalah pembawaan syaitan, kecuali dalam 5 perkara berikut :

1. Mengahwinkan anak perempuan jika memang sudah tiba waktunya.

2. Menjelaskan hutang sesuai dengan batas waktu yang telah dijanjikan.

3. Memelihara / menguruskan jenazah.

4. Menghormati tetamu.

5. Bertaubat.




Sedangkan takut, keadaannya membawa kepada 2 jalan :

1. Takut untuk melaksanakan dan menyempurnakannya kerana tidak sebagaimana mestinya dan merasakan tidak berhak.

2. Takut tidak diterima oleh Allah.

Friday, March 12, 2010

Pesanan Nabi Muhammad saw

1. Menumpukan perhatian terhadap pengabdian diri kepada Allah

Daripada Abu Hurairah r.a, Nabi Muhammad saw bersabda: " Allah swt berfirman, " Wahai anak Adam ! Luangkanlah dirimu untuk beribadat, nescaya Aku akan penuhkan dadamu dengan kecukupan, dan Aku menutup kefakiran kamu. Jika kamu tidak melakukannya nescaya Aku membuatkan diri kamu sentiasa dalam keresahan dan Aku tidak menutup kefakiranmu. " (Riwayat alTirmizi)

2. Nafsu tidak akan kenyang

Maksud Hadis; Daripada Anasra, Nabi saw bersabda; " Seandainya anak Adam mempunyai dua lembah harta tentu dia masih menginginkan yang ketiga. Padahal yang memenuhi perut anak Adam hanyalah tanah-tanah ( kuburnya ) dan Allah tetap menerima taubat orang yang ingin bertaubat. ( Riwayat Al-Bukhari & Muslim )

3. Kekayaan yang sebenar

Maksud hadis : Daripada Abu Hurairah ra, Nabi saw bersabda: " Bukanlah kekayaan itu dengan banyaknya hartabenda, tetapi kekayaan sebenar ialah kekayaan jiwa."
(Riwaya al-Bukhari & Muslim)

4. Menghargai segala nikmat Allah

Ertinya : " Daripada Abu Hurairah ra, Nabi saw bersabda: " Lihatlah kepada orang yang lebih bawah daripada kamu, dan janganlah kamu melihat orang yang lebih tinggi daripada kamu, ianya lebih wajar, agar kamu tidak memperkecilkan nikmat Allah," (Riwayat Muslim)

5. Dua mata yang terselamat

Ertinya : Daripada Ibn Abbas ra, Nabi saw bersabda, Dua mata yang tidak disentuh oleh api neraka, mata yang menangis kerana takutkan Allah dan mata yang berjaga malam mengawal 'jalan Allah'." (Riwayat atTirmizi)

6. Berwaspada daripada terleka dengan suatu yang tidak kekal

Maksud Hadis: Daripada Abdullah bin al-Syikhir ra, Nabi saw bersabda: " Wahai anak Adam! Adakah kamu memiliki daripada harta kamu melainkan apa yang kamu makan, lalu engkau menghabiskannya, atau engkau memakainya lalu engkau melusuhkannya, atau engkau bersedekah lalu engkau kekalkannya (pada hari pembalasan)." (Riwayat Muslim)

7. Tiada ketenangan dengan kepincangan akhlak

Ertinya: Daripada al-Nawwas bin Sam'an ra, : Aku bertanya kepada Nabi saw tentang kebaikan dan dosa, lalu baginda menjawab :" Kebaikan adalah akhlak yang baik, manakala dosa ialah apa yang berbolak-balik di dalam dada engkau dan engkau tidak gemar manusia mengetahuinya." (Riwayat Muslim)