Followers

Thursday, February 25, 2010

Friday, February 19, 2010

Keistimewaan Nabi SAW

Di bawah, ada beberapa maksud hadis yang berkaitan keistimewaan Nabi Muhammad saw.

1. Rasulullah saw penghulu manusia
Maksud hadis : "Daripada Abu Hurairah r.a, Nabi saw bersabda : " Akulah penghulu manusia pada hari kiamat. "(Riwayat Al-Bukhari dan Muslim)

Keterangan : Nabi saw mengatakan sebegini untuk menceritakan nikmat Allah swt. Ia juga merupakan nasihat supaya kita mengetahui hak terhadap baginda saw.

2. Rasulullah saw sebagai rahmat
Maksud hadis : Daripada Abu Hurairah r.a, Nabi saw bersabda, " Sesungguhnya aku diutus sebagai rahmat. " (Riwayat Muslim)

3. Pendidik insan berakhlak mulia
Maksudnya : Daripada Abu Hurairah r.a, Nabi saw bersabda, " Sesungguhnya aku diutuskan untuk menyempurnakan akhlak yang baik." (Riwayat Ahmad)

4. Keistimewaan pada penyampaian Rasulullah
Maksudnya : Daripada Abu Hurairah r.a, Nabi saw bersabda , " Aku diutuskan dengan perkataan-perkataan yang ringkas dan padat.(Riwat Al-Bukhari & Muslim)

Keterangan : " Perkataan-perkataan yang ringkas dan padat ", iaitu Al-Quran dan hadis Nabi saw, kerana ia mengandungi lafaz-lafaz yang ringkas dan makna yang banyak.

5. Nabi saw mendahului ummatnya
Ertinya : Daripada Jundub bin Sufyan r.a, Nabi saw bersabda: " aku mendahului kamu tiba ke kolam di syurga." (Riwayat Al-Bukhari & Muslim)

Keterangan : " Aku mendahului": Menyediakan dan memberikan apa yang kamu perlukan.

6. Jaminan kemenangan
Ertinya : Daripada Thauban r.a, Nabi saw bersabda: " Allah telah menghimpunkan bumi untuk aku sehingga aku dapat melihat timur dan baratnya. Sesungguhnya kekuasaan umatku akan meliputi keluasan bumi yang dihimpunkan kepadaku." (Riwayat Muslim)

7. Kesedaran untuk beramal
Maksudnya : Daripada Abu Hurairah r.a, Nabi saw bersabda : "Sekiranya kamu mengetahui apa yang aku ketahui, nescaya kamu kurang ketawa dan banyak menangis."
(Riwayat Al-Bukhari)

Keterangan : - Yakni mengetahui tentang keagungan Allah, balasan terhadap pelaku maksiat dan kegerunan yang berlaku pada saat nyawa dicabut, selepas mati dan keadaan di dalam kubur dan hari kiamat.
- Mengingati perkara tersebut dapat mendorong melakukan amal ibadah.

8. Bumi sebagai masjid
Ertinya: Daripada Jabir r.a, Nabi saw bersabda: "Dijadikan untukku bumi sebagai masjid
(tempat sujud) yang suci." (Riwayat al-Bukhari & Muslim)

Keterangan: Al-Khottobi mengatakan: Umat sebelum Nabi Muhammad saw diharuskan sembahyang hanya di tempat tertentu sahaja seperti rumah ibadat dan tempat pertapaan.

9. Kesempurnaan syafaat Rasulullah saw
Ertinya : Daripada Anas bin Malik r.a, Nabi saw bersabda: "Bagi setiap nabi terdapat doa (yang telah dikabulkan di dunia) untuk umatnya. Tetapi aku telah menyimpan doaku sebagai syafaat untuk umatku pada hari kiamat." (Riwayat al-Bukhari & Muslim)

Keterangan : - Maksud hadis ini ialah setiap nabi telah mendoakan agar umatnya dibinasakan, melainkan Nabi Muhammad saw, tidak mendoakan sedemikian. Ini kerana baginda akan memberikan syafaat sebagai balasan kesabaran umatnya menanggung kesusahan di dunia.

- Hadis ini menerangkan kesempurnaan syafaat Nabi saw dan belas kasihan baginda terhadap umatnya. Baginda mengambil perhatian terhadap kemaslahatan umatnya yang terpenting. Maka baginda menangguhkan doa balasan azab terhadap umatnya sehingga waktu terpenting dan amat diperlukan syafaat itu.

10. Pelbagai golongan mendapat syafaat
Maksudnya : Daripada Anas r.a, Nabi saw bersabda: " Aku boleh berikan syafaat kepada umatku yang melakukan dosa besar." (Riwayat Abu Daud & al-Tirmizi)

Keterangan : Syafaat Rasululllah saw untuk orang yang melakukan dosa besar ialah dengan menyelamatkan mereka daripada kebinasaan. Manakala syafaat baginda untuk orang yang melakukan ketaatan ialah dengan menaikkan darjat mereka.

11) Kelebihan selawat
Maksudnya: Daripada Abu HUrairahr.a, Nabi saw bersabda: " Orang yang berselawat ke atas aku sekali, Allah berselawat ke atasnya sepuluh kali." (Riwayat Muslim)

Keterangan : "Allah berselawat" : Rahmat dan gandaan ganjaran daripada Allah swt.

12) Orang yang tidak berselawat dianggap bakhil
Maksudnya : Daripada Ali bin Abu Talib r.a, Nabi saw bersabda : " Orang yang bakhil ialah orang yang mendengar namaku disebut tetapi tidak berselawat ke atasku." (Riwayat al-Tirmizi)

Keterangan
- Orang berkenaan disifatkan sebagai bakhil kerana menghalang diri sendiri daripada selawat Allah swt untuknya jika ia berselawat sekali.
- Sebahagian ulamak mengatakan wajib sekali selawat pada setiap kali disebut nama baginda. Menurut pandangan yang lain, wajib sekali selawat dalam satu selawat dalam satu majlis yang disebut nama baginda. Manakala ketika disebut nama baginda pada kali yang lain dalam majlis itu maka hukumnya adalah sunat.

13) Ucapan salam untuk Rasulullah
Ertinya : Daripada Abdullah bin Mas'ud al-Ansori ra, Nabi saw bersabda,"Sesungguhnya untuk Allah terdapat malaikat yang berlegar-legar di muka bumi. Mereka menyampaikan kepadaku salam daripada umatku." (Riwayat al-Nasa'i & Ibn Hibban)

Monday, February 8, 2010

Pembahagian Manusia Berdasarkan Taubat






Pengarang kitab Qut Al-Qulub, berkata :

Manusia terbahagi kepada 4 kumpulan di dalam kaitannya dengan taubat. Setiap golongan mempunyai kedudukannya tersendiri.

1. Orang yang bertaubat dari dosa dan berterusan berada di dalam keadaan taubat serta pasrah, tidak pernah membisikkan kepada dirinya untuk kembali melakukan maksiat walau untuk sekali dan menggantikan segala kejahatan dengan kebaikannya. Orang ini dipanggil sebagai
" yang berlumba ke arah kebaikan". Taubat jenis ini di namakan taubat nasuha.

2. Orang yang terikat dengan taubatnya, niatnya tetap, tidak berusaha melakukan dosa, tidak pernah berniat melakukan dosa, tidak inginkannya dan tidak mementingkannya. Dia kadangkala diuji dengan melakukan dosa-dosa tanpa ada niat darinya. Dia juga sentiasa diuji dengan dosa-dosa kecil. Ini adalah antara sifat orang yang beriman, yang diharapkan tetap di atas jalannya kerana dia sudah berada di atas jalan orang-orang yang beriman.

3. Orang berdosa, kemudian dia bertaubat, kemudian dia kembali melakukan dosa, kemudian dia merasa menyesal kerana niat serta tindakannya melakukan dosa. Penyesalannya tu mendorongnya untuk melakukan ketaatan. Tetapi dia menangguhkan taubat. Selalu berbisik kepada dirinya agar tetap beristiqamah. Dia sukakan orang-orang yang bertaubat serta merasa tenang terhadap kedudukan orang-orang yang benar. Namun, ia belum menjadi kenyataan, dan kedudukan tersebut belum lagi terhasil kerana dia sering didorong oleh nafsunya, kebiasaan dan kelalaian yang sentiasa mengheretnya. Dia bertaubat setelah melakukan dosa, tetapi dia kembali mengulanginya.

4. Orang yang paling buruk keadaannya, paling besar bencana terhadap dirinya serta paling sedikit kurniaan Allah ke atasnya. Inilah orang yang melakukan dosa, kemudian diikuti dengan melakukan dosa yang seumpamanya, atau lebih besar darinya. Dia tetap melakukan dosa. Dia berbisik kepada dirinya untuk melakukannya. Dia tidak pernah berniat untuk bertaubat atau beristiqamah dan tidak pernah mengharapkan kebaikan. Dia juga tidak pernah takut kepada ancaman. Kedudukannya adalah antara kesombongan dan ketakburan.
Terdapat sebuah hadis yang berkenaan dengan manusia seumpama ini yang bermaksud :
" Binasalah orang yang kakinya terus menerus melangkah menuju ke neraka. "

Wallahua'lam..


Sunday, January 31, 2010

Teman Yang Paling Baik.

Dari Ibnu Abas r.a berkata, Rasulullah ditanya : Siapakah di antara teman-teman kami yang paling baik? Rasulullah menjawab, "Seseorang yang mengingatkan kalian kepada Allah dengan melihat wajahnya, menambah ilmu kalian dengan pembicaraannya dan mengingatkan kalian dengan akhirat oleh amalanya." ( Hadis riwayat: Imam Abdu bin Humaid)

Dari Abu Said al-Khudri, beliau berkata: Dari Nabi SAW , Baginda bersabda : "Janganlah kamu berteman, kecuali dengan orang mukmin, dan jangan pula memakan makananmu kecuali dengan orang yang bertaqwa." (Hadis riwayat , Abu Daud, at Tirmizi, Ahmad dan Add-Darimi)





Monday, January 25, 2010

Ibadat Yang Tidak Sempurna

Ibnu Abbas mengatakan, ada 3 ayat di dalam al-Quran yang berpasangan di antara satu dengan yang lainnya. Tanpa ada pasangannya, maka akan cacatlah (tidak sempurna) ibadat seseorang itu.

1) Firman Allah, Taatlah Allah dan taatlah Rasulullah. Maka barangsiapa taat Allah sahaja, tidak taat kepada Rasul, maka tidak akan diterima amalannya.

2) Firman Allah, Dirikanlah solat dan tunaikan zakat. Maka barangsiapa yang solat sahaja, tetapi tidak berzakat maka ibadatnya tidak akan diterima.

3) Firman Allah, Hendaklah bersyukur kepada Ku, dan kepada kedua ibu-bapa mu. Maka barangsiapa bersyukur kepada Allah dan tidak bersyukur kepada kedua ibubapanya, nescaya tidak diterima amalan dan ibadahnya. Dan kerana inilah Nabi saw bersabda, Redha Allah pada redha kedua ibu-bapanya, dan kemurkaan Allah pada kemurkaan kedua ibu bapanya..

Wallahu a'lam..







Thursday, January 14, 2010

Persamaan Darjat dan Keturunan Di Dalam Islam

Marilah kita bersyukur kepada Allah, bahawa kita ini ditakdirkan olehnya sebagai orang Islam. Islam adalah agama benar yang diredha oleh Allah, dan kita disuruh taat kepada apa yang diperintahkan oleh Allah dan menjauhi apa yang dilarangnnya.


Tersebutlah sesuatu kisah yang terjadi pada masa Khalifah umar Ibnul-Khattab. Seorang raja terakhir dari kerajaan Ghassasinah yang bernama Jabalah Ibnul Aiham. Sesudah ia menganut agama Islam, dia datang ke Mekkah untuk mengerjakan tawaf keliling Kaabah dalam rangka melaksanakan ibadah haji.


Sewaktu mengerjakan ibadah tawaf itu tiba-tiba, hujung kainnya dengan tidak sengaja terpijak oleh seorang Arab Dusun yakni Badwi. Jabalah melihat ke belakang dengan sangat marah, lalu ditamparnya orang Arab Dusun itu dengan kerasnya. kejadian itu akhirnya diketahui oleh Khalifah Umar, yang kemudian menjatuhkan hukuman.


Orang Arab Dusun itu diberi peluang untuk membalas. Tampar dibalas dengan tampar. Ketika Jabalah menolak hukuman itu, kerana dia adalah seorang raja, sedangkan orang Arab Dusun itu hanya rakyat jelata, Khalifah Umar dengan tegas menjawab: “ Islam telah menyamakan darjat di antara kamu berdua.”


Pada masa hayat rasulullah s.a.w, pernah terjadi pula peristiwa yang hampir sama. Seorang yang bernama Abu Zar Al-Giffari yang sedang berbincang dengan orang negro

di hadapan Rasulullah. Perbicaraan antara keduanya, rupanya semakin panas sehingga Abu Zar mengeluarkan kata-kata ‘ ya-bna-saudaa,’ yang bermaksud; Hai anak keturunan kulit hitam..

Maka ketika itu juga Rasulullah memandang Abu Zar sambil berkata ;

طف الصاع! طف الصاع! ليس لابن البيضاء علي ابن السؤداء فضلا الا بعمل صالح

Ertinya; ‘’ keterlaluan, keterlaluan..tidak ada kelebihan kulit putih atas keturunan kulit hitam kecuali dengan amal yang soleh.’’


Belum lagi selesai Rasulullah mengucapkan kata-katanya ini, Abu Zar dengan sekelip mata telah turun dari singgahsana keangkuhnnya ke suasana persamaan darjat. Maka Abu zar letakkan pipinya ke atas tanah, dan berkatalah ia kepada hamba negro itu dan berkata, " berdirilah saudaraku dan pijaklah pipiku.’’


Demikianlah dua kejadian yang masing-masing terjadi pada masa Khalifah Umar dan masa hayat nabi ini . Dua kejadian ini menunjukkan bahawa keangkuhan dan kesombongan, suatu perbuatan yang tidak dapat dibenarkan oleh Islam. Dalam peristiwa ini dicontohkan, keangkuhan yang timbul kerana orang merasa dirinya lebih tinggi dari orang lain kerana kekuasaan yang ada padanya, jawatan atau kedudukan.


Dalam hubungan ini, pertama sekali perlu kita ingat ialah, prinsip persamaan yang diajarkan oleh Islam. Prinsip persamaan ini harus dijunjung tinggi oleh umat Islam dan tidak boleh digangu gugat oleh adanya perasaan-perasaan yang dirinya lebih tinggi dari orang lain kerana faktor kekayaan, kedudukan, keturunan, kepandaian dan kecantikan dan lain-lainnya. Islam telah menanamkan ajaran persamaan ini, umpamanya dalam ibadah haji.


Dalam melaksanakan ibadah haji, ada kewajipan mengenakan pakaian ihram, yang terdiri dari kain putih bersih tanpa jahitan. Maka, kaum muslimin dari mana penjuru dunia pun, tidak peduli dari bangsa apa pun, kulit hitam atau putih, lelaki atau wanita, dalam ibadah haji itu diwajibkan memakai pakaian ihram.


Juga, tidak peduli walaupun mereka yang berpangkat presiden, menteri, kaya atau miskin dan sebagainya. Ketika itu mereka wajib menanggalkan pakaian kebesaran dan segala macam bintang dan tanda pangkat, untuk diganti dengan pakaian yang sangat sederhana dan seragam dengan orang lain, iaitu putih bersih tanpa jahitan.


Ketika itu tidak ada perbezaan antara kulit hitam dan kulit putih, antara yang berpangkat dan yang tidak. Ketika itu yang ada hanyalah hamba Allah yang daif dihadapan keagungan dan kebesaran Allah. Mereka semuanya sama dalam pandangan Allah. Firman Allah:

يايها الناس اناس انا حلقنكم من ذكر وانثي وجعلنكم شعوبا وقبا ئل لتعارفواج ان اكرمكم عند الله اتقكمج ان لله عليم حبير ﴿31﴾

Ertinya: wahai manusia, sesungguhnya kami jadikan kamu dari lelaki dan wanita, dan kami jadikan kamu berbangsa-bangsa dan bersuku-suku, supaya kamu saling kenal mengenal. Sesungguhnya orang yang paling mulia dalam pandangan Allah ialah mereka yang paling takwa diantara kamu (Al-Hujurat;13)


KETELADANAN RASULULLAH S.A.W.


Contoh teladan yang baik mengenai hal ini, dapat kita lihat dalam diri Rasulullah sendiri. Di tangan Rasulullah ada dua kekuasaan iaitu, kekuasaan keagamaan dan kekuasaan keduniaan. Tetapi baginda dengan sifat yang tawaduk, enggan menunjukkan diri beliau sebagai seorang sultan, seorang raja atau kepala Negara.


Pernah baginda berkata kepada sahabat-sahabatnya; " janganlah memuji-muji dan menyanjung-nyanjungku, seperti halnya orang Nasrani menyanjung-nyanjung Isa Ibnu Maryam, sebab aku ini bukan lain hanyalah hamba Allah dan rasulnya.’’


Pada suatu hari, Rasulullah mendatangi sekumpulan sahabat-sahabatnya dengan memakai tongkat. Ketika para sahabat itu berdiri kerana kedatangnya itu, beliau berkata kepada mereka; ‘’ Tak payah kamu berdiri seperti orang-orang asing berdiri, sebahagian dari mereka memuliakan sebahagian yang lain.’’


Dalam pada itu, jika Rasulullah menghadiri majlis sahabat-sahabatnya, beliau memilih duduk di mana sahaja tanpa memilih tempat. Beliau sering pula bergurau dengan sahabat-sahabatnya, bergaul dan bercakap-cakap, serta bersenda gurau dengan anak-anak mereka dan memeluknya di pangkuan beliau. Beliau memenuhi undangan orang biasa dan hamba sahaya.

Beliau mengunjungi orang-orang sakit yang jauh di luar kota dan memaafkan orang yang minta maaf.


Beliau lebih dulu memberi salam kepada orang yang dijumpainya, dan beliau pula lebih dulu menghulurkan tangan kepada sahabat-sahabatnya untuk bersalaman. Jika ada orang mahu menghadap beliau padahal beliau sedang bersolat, beliau mempercepat solatnya lalu beliau bertanya ada hajat apa tamunya itu.

Beliaulah orang yang memiliki jiwa paling baik dan suci di antara manusia, dan paling banyak tersenyum, kecuali saat turunnya wahyu dan saat memberi nasihat dan pada waktu berkhutbah. Kemudian apabila dirumah, beliau sendiri yang menjahit pakaiannya, memerah susu kambingnya, menjahit kasutnya, menguruskan dirinya sendiri dan menambatkan untanya. Beliau makan bersama-sama khadamnya. Beliau selalu melayani hajat orang-orang yang lemah, orang –orang yang dalam kesukaran dan orang-orang miskin.


Rasulullah juga sangat suka merendahkan diri dan menjauhui dari sifat-sifat angkuh dan sombong.


Semoga kita dapat meneladani sifat-sifat baginda ini, agar kita sekalian dapat membimbing diri kita sendiri, keluarga dan masyarakat serta negara tercinta, menuju keredhaan ALLAH...

Monday, January 11, 2010

4 Perkara Penting

Di hari kiamat, setiap hamba Allah tidak akan mengorak langkah walaupun setapak ke mana-mana, selagi ia belum ditanya tentang 4 perkara penting ini :

1) Tentang umurnya, ke mana ia dipergunakan ?

2) Tentang masa mudanya, bagaimana ia menghadapinya ?

3) Tentang harta, dari mana ia diperolehi dan ke mana serta bagaimana
ia membelanjakannya ?

4) Tentang Ilmunya, apakah ia telah beramal dengannya ?

Hadis Riwayat Tirmizi dan Darami


Dapatkan Mesej Bergambar di Sini