Followers

Tuesday, October 27, 2009

MISI UTUSAN RASUL

Sejak daripada Adam as diutuskan Allah ke dunia , seterusnya disambung oleh para Anbia mursalin. Tujuan utama utusan Allah yang mulia, tak lain dan tak bukan membawa maksud yang sama iaitu mengenal Allah swt sebagai tuhan yang mentadbir alam ini dan Dialah sebenar-benar tuhan yang wajib disembah, tiada tuhan selainnya .

Keduanya, tugas para rasul tersebut ialah untuk memimpin dan menunjukkan cara-cara manusia dan jin mengabdikan diri kepada Alah mengikut lunas-lunas Agama yang sebenarnya . Lantas kerana tugasan tersebut para anbia dibekalkan dengan sifat terpuji yang semestinya ada pada mereka iaitu pertamanya para rasul mesti bersifat benar; keduanya para rasul mestilah seorang yang jujur, ketiganya para rasul mesti menyampaikan setiap hukum agama untuk umatnya, dan keempatnya para rasul hendaklah dari kalangan mereka yang bijaksana.

Para rasul juga mendapat jaminan Allah daripada melakukaan dosa ataupun dipanggil 'maksum'. Para rasul dilantik di kalangan manusia biasa, pilihan Alah. Mereka makan dan minum, beranak dan beristeri sebagaimana firman Allah dalam Al- Qurannul Karim

قل انما انا بشر مثلكم يوحى الى انما الهكم اله واحد

Ertinya, Katakanlah hanya Aku ini manusia seperti kamu juga yang diwahyukan kepada ku hanyaSanya oleh tuhan kamu tuhan yang satu - al-kahfi 110

Sekalipun ayat di atas menerangkan Rasulullah saw itu sepeti manusia sebagaimana kita juga, namun demikian perlu kita fahami walaupun sama, ada beberapa perkara seperti keadaaan sifat atau fizikal nabi yang tidak serupa dengan manusia biasa. Ini kita namakan mukjizat.


Perkara luar biasa tersebut bertindak sebagai aset penting bagi Rasul alaihimussalam membuktikan kebenaran ajaran yang dibawanya.

Disamping itu juga, perkara yang di luar daripada logik aqal dan tidak ada pada manusia biasa seperti kita adalah untuk membezakan ketinggian dan kemulian mereka para anbia pilihan Allah, khususnya junjungan besar kita Nabi Muhammaad saw berbanding dengan kita manusia biasa .


Sabda Rasulullah saw di bawah ini menunjukkan Rasulullah saw tidaklah sama dengan manusia seperti kita ini. Pada keseluruhannya ada beberapa perkara menjadi khususi, yakni ketentuan bagi mereka sahaja.

انى لست كهيئتكم انى ابيت عند ربى ويطعمنى ويسقينى

Ertinya : Sesungguhnya Aku ini tiadalah seperti kejadian kamu. Sesungguhnya Aku bermalam di sisi tuhanku dan Aku diberi makan olehnya dan aku diberi minum oleh tuhanku.

Para Ulama Arifinbillah dalam mentafsirkan makna hadis ini mengatakan junjungan besar kita, Muhammad saw adalah manusia yang tidak seperti manusia, ianya diumpakan batu permata di antara batu biasa.

Allah swt mengutuskan para anbia ini mengandungi tiga misi penting yang perlu dilaksanakan oleh mereka. Secara umumnya, tugas mereka adalah untuk mengajar manusia mengenal Allah yang maha Esa dan memberi petunjuk kepada manusia tentang cara-cara beribadat kepadaNya .


Misi pertama yang perlu dilakukannya oleh manusia pilihan ini ialah تبليغ الحكم artinya menyampaikan hukum agama. Setiap perintah mahupun larangan yang berupa wahyu melalui perantaran Malaikat Jibril hendaklah disampaikan oleh baginda Rasulullah. Sekalipun perkara tersebut amat perit dan sukar untuk disampaikan.


Di dalam hadis, baginda bersabda : قل الحق ولو كان مرا Ertinya, Katakan perkataan benar sekalipun pahit.


Termasuk di dalam erti misi تبليغ الحكم ialah menyuruh kepada kebaikan dan mencegah kemungkaran.


Begitu juga kerja-kerja dakwah, samaada secara perseorangan dan jemaah telah dipraktikkan oleh Rasululah saw. Dan secara tidak langsung menjadi garis panduan bagi kita sebagai umatnya untuk dilaksanakan dalam bentuk baru, sesuai dengan peredaran zaman seperti, ceramah, kuliah, usrah, melalui saluran media cetak, mahupun elektronik, buku-buku, sebaran melalui internet dan sebagainya .

Firman Allah Taala ini adalah dalil menunjukkan misi utusan baginda sebagai Rasul telah dilaksanakan.


ابلغكم رسالات ربى وانا لكم ناصح امين

Ertinya: Aku menyampaikan kepada kamu risalah-risalah Tuhan ku dan aku penasihat yang amanah bagi kamu- al-a'raf-68


Dan firmanNya lagi, يا ايها الرسول بلغ ما انزل اليك من ربك

Ertinya; Wahai Rasul, sampaikanlah hukum yang disampaikan kepada engkau daripada Tuhan engkau -

al- Maidah, 67

Misi kedua yang perlu dilakukan oleh junjungan besar kita Rasulullah saw ialah تنجيز الحكم artinya melaksanakan secara praktikal hukum yang telah disampaikan oleh Rasululah saw. Dengan hanya menyampaikan tanpa ada usaha atau ikhtiar untuk melaksanakan, sudah tentu misi Rasululah tidak lengkap.


Jika kita kembali merenung dan mengambil sirah sebagai pengajaran, sudah tentu terserlah bagaimana tindakan Kafir Quraish dalam menggagalkan misi Rasulullah dengan memujuk dan cuba merasuah Rasululah dengan harta, pangkat dan kemasyhuran, asalkan Rasululah saw meninggalkan tugasnya sebagai rasul.


Begitu juga rentetan peristiwa hijrah Rasululah saw ke Madinah, memberi gambaran kepada kita untuk memenuhi tuntutan agama dalam melaksanakan hukum, memerlukan kekuatan sokongan masyarakat . Sebagai mana kita lihat, golongan Ansar dari Madinah telah mengikat janji setia kepada Rasululah saw untuk bersama- sama baginda mengharung kepayahan dalam melaksanakan tuntutan Agama seperti mendirikan sebuah Negara Islam dan melaksanakan tuntutan Hukum Islam yang sebelumnya gagal dilaksanakan di Mekah.


Dengan adanya perlaksanaan secara menyeluruh bermula daripada ibadat , perkahwinan, perniagaan, dan qisas serta hudud barulah lengkap dan terbukti Agama Islam, adalah agama yang syumul, berbanding agama yang lain. Ia sekali gus menjadi 'role model' atau contoh terbaik kepada generasi sesudahnya agar mengikut cara yang dilakukan oleh Rasululah saw dalam usaha menegakkan kalimatullah di bumi dan mencari keredhaan Allah swt.


Misi ketiga Rasulullah saw sebagai utusan Rabbul alamin ialah تزكية النفوس

Ertinya, membersihkan diri daripada sifat yang mazmumah yang kita namakan juga sebagai membina akhlak yang mulia.


Sesuai dengan firman Allah swt, di dalam Al-quran وانك لعلى خلق عظيم

Ertinya, Sesungguhnya engkau wahai Muhammad mempunyai akhlak yang mulia.


Dengan budi pekerti yang luhur dan akhlak yang mulia oleh penganutnya, keindahan Islam akan terserlah dan diterima oleh masyarakat bukan Islam bahawa Islam bukanlah Agama yang menganjurkan kekerasan. Islam juga bukanlah Agama yang suka kepada permusuhaan, saling laknat melaknati dan bersikap kasar terhadap saudara seagamanya.


firman Allah taala وان كنت فظا غليغ القلب لانفضوا من حولك

Ertinya; Jika engkau menunjukkan sikap kasar lagi keras hati terhadap mereka, nescaya mereka lari daripada engkau.

Dan sabda Rassulullah saw وانى لم ابعث لعانا وانما بعثت رحمة- رواه مسلم

Ertinya; Sesungguhnya aku tidak diutuskan untuk melaknat. Hanya satunya diutuskan aku untuk memberi rahmat. -riwayat muslim

Tiga kombinasi tersebut iaitu تبليغ الحكم , تنجيز الحكم , dan تزكية النفوس dapat dilaksanakan bermula dengan individu, seterusnya masyarakat dan negara. Maka akan lahirlah umat yang aman damai dan mendapat kebahagian dunia dan akhirat.

Tidak sebagaimana berlaku hari ini apabila masyarakat lari daripada petunjuk Ilahi. Maka, akan mengundang keadaan tidak tenteram dengan kadar jenayah dan keruntuhan akhlak muda – mudi yang semakin parah, akibat jiwa mereka yang lompang atau kosong daripada roh Islam. Jiwa mereka hanya diisi dengan hiburan terlarang dan dunia semata- mata. Keadaaan masih belum terlambat jika sekiranya masyarakat memilih kombinasi tiga unsur tersebut, nescaya mereka akan selamat dunia dan akhirat, InsyaAllah..


Monday, October 19, 2009

Kelebihan Khatam Al-Quran

Gambar sekadar hiasan..

Al-Quran adalah kalamullah yang sebaiknya kita jadikan wirid harian. Jika para sahabat dapat mengkhatamkannya tiga hari sekali dan ada yang sehari sekali, malahan Saiyidina Osman dapat menghabiskan kalamullah itu hanya dalam solat tahajudnya sahaja. Allaahuakbar !!


Cubalah tanya diri kita, berapa kalikah kita telah mengkhatamkan al – Quran di sepanjang usia kita sekarang? Hadis-hadis nabi banyak menerangkan kelebihan khatam al-Quran. Diantaranya ialah, turunnya rahmat Allah dan para malaikat juga bersama berdoa pada sesiapa yang selesai membaca al-Quran lantas berdoa kehadrat Allah. Kesimpulannya, doa kita adalah lebih mudah diperkenankan Allah kerana kita berada di dua keadan yang amat berharga iaitu rahmat Allah dan doa para malaikat.


Sebagaimana Hadis Riwayat Ad-Dalimi yang maksudnya :

Barang siapa membaca Al-Quran kemudian berdoa sesudahnya (khatam), nescaya turut serta mengucap aminkan doanya oleh para 4000 malaikat .


Di bawah ini antara makna doa yang selalu dibaca sesudah kita menghatamkan al- Qurannulkarim iaitu, mudah-mudahan ianya menjadi teman dan cahaya di alam barzakh nanti dan sesiapa yang membacanya akan dipermudahkan dan diterangi alam kuburnya dengan mendapat rahmat Ilahi. Nescaya mudah dan selamatlah alam akhiratnya nanti, Insyaallah..


Terdapat satu hadis Rasulullah saw, iaitu baginda telah bersabda mahfumnya, Sesiapa yang mempunyai anak yang membaca al- quran dan mengkhatamnya, nescaya Allah akan memakaikan kedua ibu bapanya dengan tanjak di akhirat nanti... Amin, Yarabbal 'alamin..

Tuesday, October 13, 2009

Sekadar Renungan

I. Jalan mendekati Allah

1. Taqwa kepada Allah zahir dan batin
2. Mengikut sunnah Nabi Muhammad saw
3. Kamu lupakan makhluk ketika menghadap Allah (beribadah) dan kamu
tidak melupakan Allah ketika menghadap makhluk.
4. Redha dengan kurniaan Allah, sedikit ataupun banyak
5. Kembali kepada Allah pada masa suka atau duka

II. Allah kasih kepada :

1. Orang yang banyak / selalu beristighfar
2. Orang yang banyak / selalu berzikir kepada Allah (al-hadis)

III. Siapa yang selamat masuk ke syurga ?

1. Orang yang selalu suka menyebarkan Islam
2. Orang yang selalu suka menjamu (memberi) makan kepada orang lain
3. Orang yang suka berhubung silaturrahim
4. Orang yang selalu sembahyang sunat tahajud di tengah malam,
sedang manusia lain sedang nyenyak tidur (al-hadis)

IV. Syurga rindu kepada 4 orang mukmin :

1. Orang yang berpuasa di bulan Ramadhan dengan baik
2. Orang yang selalu membaca al-Quran
3. Orang yang selalu memberi makan ( menjamu makan) kepada orang lain
4. Orang yang sentiasa dalam berzikir kepada Allah (Zikrullah). ( al-hadis)

V. Sabda Rasulullah saw,

1. Sesiapa yang memberi makan kepada orang yang lapar, dia akan diberi makan di hari Qiamat di Padang Mahsyar, ketika tidak ada makanan yang akan dimakan dan ketika terlalu lapar.

2. Sesiapa yang memberi pakaian kepada orang yang bertelanjang / tiada berpakaian, maka Allah akan beri pakaian kepadanya di Padang Mahsyar ketika mana tiada seorang pun yang berpakaian.

3. Sesiapa yang memimpin orang buta dengan tangan kirinya, maka dia akan dipimpin oleh orang buta dengan tangan kanannya di hari Qiamat, di Padang Mahsyar (Maksud al-hadis)

Monday, October 5, 2009

Orang Yang Bedoa, Tetapi Tidak DiMakbulkan Allah



Berdasarkan riwayat Syaqiq Al-Bakry berkata :
Adalah Ibrahim bin Adlam r.a berjalan di Pasar Basrah, maka dia dikerumuni oleh orang ramai dan mereka semua bertanya kepadanya : " Hai Abu Ishaq, Allah Taala telah berfirman di dalam kitab suci Al-Quran yang bermaksud : " Mintalah kamu sekelian kepadaKu, nescaya Aku akan kabulkan/perkenankan." Dan kami sekelian telah berdoa / minta sejak satu tahun, tetapi masih belum di makbulkan / diberi oleh Allah."

Berkata Ibrahim bin Adlam/Abu Ishaq : " Hai ahli Basrah, hati kamu sekelian telah mati / tertutup oleh 10 perkara. Bagaimana doa kamu boleh diterima oleh Allah ?

10 perkara tersebut iaitu :

1. Kamu sekelian telah mengetahui adanya Allah Taala, tetapi kamu belum tunaikan hak-hakNya.

2. Kamu sekelian telah membaca Al-Quran, tetapi kamu belum melaksanakan isinya.

3. Kamu telah mengakui syaitan sebagai musuh, akan tetapi kamu masih mentaatinya dan menyetujui ajakannya.

4. Kamu sekelian, mengatakan bahawa kamu termasuk ummat Nabi Muhammad saw, tetapi kamu tidak mengerjakan sunnah-sunnahnya.

5. Kamu mendakwakan diri akan masuk syurga, akan tetapi kamu tidak mengerjakan apa-apa untuk kepentingan syurga.

6. Kamu mendakwa diri selamat dari neraka, tetapi yang nyatanya kamu melemparkan diri ke dalamnya.

7. Kamu telah mengatakan bahawa mati itu perkara yang benar/pasti, tetapi kamu tidak bersiap-siap untuk mati itu.

8. Kamu sekelian sibuk meneliti aib atau cela teman-temanmu, akan tetapi kamu tidak melihat keaiban diri kamu sendiri.

9. Kamu sekelian telah makan dan merasakan nikmat Tuhanmu, tetapi kamu belum mahu bersyukur/berterima kasih kepadaNya.

10. Kamu sekelian telah menguburkan mayat-mayat saudara kamu, tetapi kamu tidak mengambil tamsil/ibarat contoh daripada mereka yang mati dahulu.

Demikianlah 10 ciri-ciri orang yang tidak Allah perkenankan doanya. Adakah kita seperti orang-orang Basrah tersebut yang ditutup hatinya oleh Allah dan tidak diterima doa setelah setahun memohon kepada Allah... Nauzubillah..




Wednesday, September 30, 2009

Wasiat Rasulullah SAW kepada Saidina Ali





1. Hai Ali ! Bagi orang yang celaka, 3 tandanya :
makanan yang haram, menjauhkan orang alim dan menjauhkan petunjuk yang benar

2. Hai Ali ! Bagi orang yang rosak aqalnya 3 petandanya :
meringan-ringankan apa yang difardukan Allah, banyak berkata-kata daripada berzikir kepada Allah , dan mencela Allah.

3. Hai Ali ! Bagi orang yang riak, 3 alamatnya : Menyempurnakan rukuk dan sujudnya apabila beserta manusia, dikuranginya apabila sembahyang sendirian, dan cergas terhadap orang yang memujinya, serta berzikir ia di tempat orang ramai dan tidak pada tempat yang sunyi.

4. Hai Ali ! Bagi orang yang munafik 3 tandanya : Apabila bercakap ia berbohong, bila berjanji, tidak ditepatinya, bila diamanahkan, ia mengkhianatinya, dan tidak bermanfaat padanya peringatan dan pengajaran yang diberikan.

5. Hai Ali ! bagi orang kafir, 3 petandanya : ragu-ragu pada zat Allah, benci terhadap hamba Allah yang beribadat kepada Allah, dan lalai daripada mentaati Allah.

6. Hai Ali ! Bagi orang yang bertaubat, 3 tandanya : menjauhkan yang haram, gemar menuntut ilmu agama, dan tidak kembali berbuat dosa.

Thursday, September 24, 2009

Keajaiban Al-Quran



Adalah sesuatu yang tidak perlu disangkal lagi kebenaran al-Quran dan mukjizatnya tidak ada tolok bandingnya jika dibandingkan dengan kitab samawi yang lain seperti Taurat, Injil dan juga Zabur. Apatah lagi jika dibandingkan dengan kitab rekaan yang tidak berlandaskan wahyu seperti agama Budha dan Hindu maka sudah tentu al-Quran mengungguli dalam segenap aspek kesempurnaannya berbanding dengan kitab-kitab tersebut .


Setiap para anbia dibekalkan dengan mukjizat yang bertindak sebagai sokongan akan kebenaraan rasul yang diutuskan oleh Allah swt. Junjungan besar kita nabi Muhammad saw juga tidak terkecuali dibekalkan dengan mukjizat. Namun, sesuatu yang amat beruntung bagi kita umat Nabi Muhammad saw adalah, apabila mukjizat Nabi Muhammad saw dapat dikongsi dan dimanfaatkan bersama oleh setiap makhluk di alam ini hinggalah ke akhir hayat alam ini. Jika nabi sebelum baginda dibekalkan dengan mukjizat yang bersifat hissi seperti tongkatnya bertukar menjadi ular, ada yang boleh menghidupkan orang mati , ada yang dapat melenturkan besi dengan tangan dan bermacam- macam lagi bentuk mukjizat yang diketogerikan sebagai mukjizat hissi (yang boleh dilihat dengan mata kasar)


Namun, Rasulullah lebih menonjol dengan mukjizat maknawi yang bersifat sejagat, menyeluruh dan mampu diterjemahkan dalam apa jua keadaan, masa dan suasana samaada yang bersifat ketuhanan, ibadah , kemasyarakatan ataupun unsur-unsur duniawi yang mampu ditimbal semula sebagai satu ibadah dan berpahala. Mukjizat maknawi yang dimaksudkan ialah al-Qurannulkarim yang membawa petunjuk kepada sekelian alam.

Sebagai seorang Islam, kita hendaklah menyakini al-Quran yang kita perolehi sekarang adalah kitab yang perlu kita imaninya tanpa ada ragu- ragu atau syak wasangka tentang ajarannya. Dan di awal surah al Baqarah, Allah memberi isyarat kepada manusia agar menyakini isi kandungan kitab tersebut.

ذالك الكتاب لا ريب فيه هدى للمتقين

Artinya : Demikianlah kitab al-Quran yang tidak ada syak wasangka padanya dan menjadi petunjuk bagi orang yang bertaqwa .. Al-Baqarah ayat 2

Untuk menambahkan lagi keyakinan kita kepada al-Quran, sama-samalah kita menghayati bagaimana fakta al Quran lebih mampu malahan lebih dahulu merungkai masaalah yang dihadapi oleh manusia 1400 tahun yang lampau, sebelum maknusia mengenal kemajuan sains dan teknologi di dalam surah al Zumar ayat 5 Allah Taala berfirman: خلق السماوات والارض بالحق يكوراليل على النهار ويكور النهار على اليل وسخر الشمس والقمر كل يجرى لاجل مسمى الا هو العزيزالغفر

Artinya: Allah telah menjadikan tujuh petala langit dan bumi dengan sebenar. Dia membungkus malam atas siang dan membungkus siang di atas malam dan Allah memudahkan perjalanan matahari dan bulan dan setiap sesuatu berjalan di atas ketentuannya. Ketahuilah ia sangat mulia dan pengampun ..Surah Az-zumar ayat 5 .


Dahulu kala sebelum kemajuan bidang sains, manusia percaya bumi berbentuk datar tetapi al-quran terlebih dahulu menerangkan kejadian bumi adalah bulat berdasarkan makna يكور yang berarti membungkus yang sesuai dengan makna bulat.


Al- Quran juga menceritakan tentang laluan orbit yang mana ianya merupakan tempat laluan 200 bilion galaksi dan mengandungi 200 bilion laluan bintang kesemuanya melintasi orbit masing-masing dalam keseimbangan dan susunan yang sempurna. Firman Allah swt dalam al- quran ; هو الذى خلق اليل والنهار والشمس والقمر كل فى فلك يسبحون

Artinya: Dialah Allah yang menjadikan malam dan siang matahari dan bulan setiap daripadanya berenang ditempat peredarannya . al- Anbia 33


Al-Qurannul karim juga menceritakaan kejadian langit dan bumi pada asalnya dalam satu kejadian kemudian berlaku proses letupan kuat yang mana menghasilkan berbilion planet termasuklah bumi yang kita diami pada hari ini dan seluruh alam semesta adalah hasil daripada letupan yang dinamakan istilah sainsnya 'big bang' kejadian letupan ini digambarkan oleh al- Quran dengan firmannya:


اولم يرى الذين كفروا ان السماوات والارض كانتا رتقا ففتقناهما وجعللنا من الماء كل شىء حى افلا يؤمنون

Artinya : Adakah tidak melihat orang-orang kafir, bahawasanya langit dan bumi pada asalnya padu kemudian kami pisahkan keduanya dan kami jadikan dengan sebab air itu hidupnya setiap sesuatu .Adakah kamu tidak beriman -al Anbia 30


Al –Quran juga memberi perkhabaran gembira kepada rasulullah , para sahabat dan seluruh umat islam amnya tentang kemenangan Rasulullah dan sahabat berjaya menawan kota Mekah. Walhal pada masa ayat tersebut diturunkan kedudukan umat Islam masih terlalu lemah dan jika diukur melalui pertimbangan logik akal adalah sesuatu yang mustahil kemenangan kepada Islam .

لقد صدق الله رسوله الرءيا بالحق لتدخلن المسجد الحرام ان شاء الله ءا منين محلقين

رءوسكم ومقصرين لا تخافون فعلم مالم تعلموا فجعل من دون ذاك فتحا قريبا

Artinya : Sesungguhnya Allah akan membuktikan kepada rasulnya tentang kebenaran mimpinya dengan sebenar bahawa sesunguhnya kamu pasti akan memasuki Masjidil Haram, idenganizin Allah dalam keadaan aman dengan mencukur rambut dan mengguntingnya, sedang kamu tidak berasa takut maka Allah mengetahui apa yang tidak kamu ketahui dan dia memberikan sebelum itu kemenangan yang dekat . surah al-Fath 27

Satu lagi bukti tentang kebenaran Al-Quran ialah perkhabaran tentang kemenangan kerajaan byzantin keatas kerajaan persia yang mana kedua-dua kerajaan ini adalah kuasa besar dan saling bermusuhan pada masa dahulu. Diringkaskan cerita, kerajaan Byzantin mengalami kekalahan yang teruk oleh musuhnya Persia dan negara-negara yang berada di bawah takluknya dicerobohi oleh Persia. Namun al-Quran lebih dahulu mengkhabarkan akan tiba kemenangan Byzantin ke atas Persia iaitu 7 tahun selepas turunnya ayat al- Quran dari surah Rum yang berbunyi :

غلبت الروم فى ادنى الرض وهم من بعد غلبهم سيغلبون

فى بضع سنين لله الامر من قبل ومن بعد

Artinya ; Telah dikalahkan bangsa Rumawi di negeri yang terdekat dan mereka sesudah dikalahkan itu akan menang dalam beberapa tahun lagi. Bagi Allah urusan sebelum dan sesudah mereka . surah Ar- Rum ayat 2-4

Satu lagi keajaiban pada ayat ini adalah dari segi fakta geografinya, diceritakan tentera byzantin dikalahkan di negeri yang terendah. Menurut sejarahnya tentera Byzantin dikalahkan di Wilayah Jurusalem . Kajian georafi menunjukkan Jurusalem adalah kawasan yang terendah di muka bumi iaitu 395 meter di bawah paras laut , sedangkan kemajuan dalam mengukur ketinggian bumi dari aras laut hanya muncul di abad yang terdekat ini . Sedangkan al-Qurannul Karim telah mengkhabarkan kepada kita sejak 1400 tahun yang dahulu . Ini membuktikan kebenaran dan mukjizat al-Quran adalah sangat hebat kerana ianya wahyu tuhan yang Maha Berkuasa lagi Maha Mengetahui


Cukuplah bagi hati yang beriman dan sejahtera untuk menyakini kitab al-Quran dengan hanya beberapa ayat sahaja, tidak sebagaimana hati yang kufur dan munafik yang tidak menyakini dalil al-Quran biarpun seribu ayat diperhujahkan .


Saidina Ali k.w dalam komentarnya tentang keajaiban dan keagungan al- Quran, beliau mengatakan,

Pedoman yang terbaik ialah al–Quran yang mengisahkan orang sebelum kamu , adalah berita orang sesudah kamu .

Ianya pemutus bukan senda gurau. Mana – mana pemerintah yang meninggalkannya akan diperangi Allah .

Sesiapa yang mencari petunjuk selainnya, akan disesatkan Allah.

Dengan berpadukannya nafsu tidak terbatas , lidah tidak terkeliru, pandangan tidak berkecamuk.

Para ulama tidak puas dengannya, orang warak tidak jemu dengannya .

Al-Quran tidak jemu walau dibaca berulang kali, rahsia yang tidak kunjung habis. Keajaibannya tidak akan berakhir .

Sesiapa yang dapat menguasainya akan maju ke hadapan dan sesiapa yang berhukum mengguna pakai hukumnya adalah adil .

Siapa yang beramal dengannya akan diberi pahala dan sesiapa yang menyeru ke arah beramal dengannya pasti diberi petunjuk ke jalan yang lurus.

Sunday, September 13, 2009

Mengingati Mati 2

Sambungan dari yang lepas...



KEENAM

Apabila mayat dibawa ke atas pengusung (keranda), maka menyerulah suara dari langit 3 kali :
1. Hai anak Adam ! Amat beruntunglah (bahagialah) kamu, jika kamu menjadi seorang yang bertaubat.
2. Hai anak Adam ! Amat beruntunglah (bahagialah) kamu, jika amalmu baik
3. Ha anak Adam ! Amat beruntunglah (bahagialah) kamu, jika sahabatmu dalam keredhaan Allah - dan amat rugilah (celakalah) kamu jika sahabatmu orang yang dimurkai Allah.

KETUJUH

Apabila mayat diletakkan untuk disembahyangkan, maka menyerulah suara dari langit 3 kali :
1. Wahai anak Adam, segala amalanmu yang telah kamu lakukan akan kamu lihat.
2. Wahai Anak Adam, jika amalmu itu baik, kamu akan lihat baik
3. Wahai anak Adam, jika amalmu itu buruk (tidak baik), maka kamu akan lihat buruk.

KELAPAN

Imam Anas bin Malik r.a berkata : Bahawa bumi setiap hari berkata,

1. Wahai anak Adam ! kamu berjalan di atas ku , kamu kembali ke dalam perutku (kubur).

2. Wahai anak Adam ! kamu berbuat maksiat dan dosa di atasku, dan kamu akan disiksa di dalam perutku (kubur)

3. Kamu bergurau di atasku, dan kamu akan menangis di dalam perutku (kubur)

4. Kamu makan barang yang haram di atasku, dan seluruh binatang azab akan memakan kamu di dalam perutku (kubur)

5. Kamu bersuka-ria di atasku, dan kamu akan merasa susah sengsara di dalam perutku (kubur)

6. Kamu mengumpulkan barang-barang haram di atasku, tetapi kamu hancur di dalam perutku (kubur)

7. Kamu bersikap sombong di atasku, tetapi kamu akan menjadi hina dan keji di dalam perutku (kubur)

8. Kamu berjalan dengan bersuka-ria di atasku, tetapi kamu akan bersedih dan sengsara di dalam perutku (kubur)

9. Kamu berjalan dengan sinar cahaya yang terang di atasku, tetapi kamu akan tinggal di dalam kegelapan dan gelap-gelita di dalam perutku (kubur)

10. Kamu berjalan untuk berhimpun dan berkumpul di atasku, tetapi kamu akan tinggal keseorangan di dalam perutka (kubur).

Dari Riwayat yang lain pula, bahawa kubur setiap hari menyeru manusia 5 kali :

1. Aku rumah yang terpencil, naka kamu akan senang dengan selalu membaca al-Quran
2. Aku rumah yang gelap, maka teranglah aku dengan selalu sembahyang malam (tahajud)
3. Aku rumah yang penuh dengan tanah dan debu, maka bawalah amal soleh yang menjadi hamparannya
4. Aku rumah ular berbisa, maka bawalah amalan 'Bismillahirrahmanirrahim' sebagai penawarnya.
5. Aku rumah pertanyaan Munkar dan Nakir, maka banyakkanlah amalan bacaan La Ilaha IllaAllah..Muhammadur Rasulullah.. supaya dapat jawapan kepadanya.

Cabutan dari kitab Alam Barzakh..

Semoga sama-sama mendapat manfaat dan iktibar..