Followers

Saturday, August 11, 2012

Puasa dan hubungannya dengan nafsu


Allah swt menganugerah kepada umat nabi muhammad saw dengan bermacam – macam kelebihan berbanding dengan umat sebelumnya ,diantara kelebihan tersebut ialah kedatangan bulan ramadhan dan ganjaran serta kelebihan yang ada didalam bulan ramadhan ini.
Umat-umat  sebelum nabi kita saw juga adalah difardukan berpuasa sebagaimana yang dinyatakan dalam firman Allah swt dalam surah al- baqarah ayat 183,

Maksudnya :
"Wahai orang-orang Yang beriman! kamu Diwajibkan berpuasa sebagaimana Diwajibkan atas orang-orang Yang dahulu daripada kamu, supaya kamu bertaqwa. "

Namun demikian kelebihan sebagaimana yang dinyatakan oleh junjungan besar rasulullah saw tentang bulan yang berkat ini tidak diperolehi sebagaimana kita umat pilihan , alangkah bertuahnya kita menjadi umat Rasulullah saw sehinggakan nabi Musa dan Isa  Alaihimussalam sendiri bermohon untuk menjadi umat nabi Muhammad saw , tetapi ditolak dengan lembut oleh junjungan kita kerana sabdanya kita sama-sama berkedudukan rasul pilihan , sudah tentu dilarang menjadi umat kepada rasul yang lainnya.

Daripada ayat dari surah Al- Baqarah di atas yang mana Allah menatijahkan pada akhirnya dengan kalimah لعلكم تتقون memberi isyarat bahawa taqwa adalah tujuan utama dalam kita menjalani ibadat puasa, kerana taqwa menjadi benteng kepada empunya diri dalam menghadapi setiap pancaroba hidup di dunia ini. Dalam alam rumah tangga contohnya. Taqwa juga menjadi benteng kejayaan dalam perniagaan. Ini dinyatakan di dalam Surah At-Talak ayat 5 yang bermaksud :

" Peraturan-peraturan yang demikian adalah hukum-hukum Allah Yang diturunkan dan diterangkanNya kepada kamu; dan (ingatlah), sesiapa Yang bertaqwa kepada Allah, nescaya Allah menghapuskan kesalahan-kesalahannya, dan akan membesarkan pahala balasannya."

Maka kerana itulah Rasulullah mengisyaratkan jarinya ke dada baginda yang mulia dengan ucapan التقوى ههنا  bermaksud taqwa di dalam dadamu.

Ramadhan kerap dikaitkan dengan bulan tarbiah , selama sebelas bulan kita menjalani liku-liku kehidupan sudah pasti banyak kekurangan dan dosa yang telah kita lalui. Jika diupamakan sebuah kenderaan telah banyak kilometer yang telah diharunginya maka tibalah masanya untuk diservis. Maka demikianlah tarbiah ramadhan. Ini merupakan peluang untuk kita servis semula hati sanubari kita selama sebelas bulan sebelumnya, agar ianya bersinar dan lancar sepertimana kenderaan kita yang telah diservis memberi keselesaan dalam perjalana. Maka taqwa yang dipupuk selama sebulan memberi roh kekuatan kepada empunya diri di bulan-bulan berikutnya menjalani penghidupan sebagai seorang insan yang bertaqwa.

Pasukan tentera yang kuat sudah pasti memerlukan tranning yang kuat dari komandernya untuk menghadapi serangan musuh yang tidak diingini.
Seperti juga ahli sukan yang berkaliber memerlukan latihan yang secukupnya untuk menjamin kejayaan mereka.
 Maka, Ramadhan adalah satu bulan untuk menyediakan tetamunya agar berjaya ditarbiah menjadi insan yang bertaqwa dan mendapat kejayaan di Akhirat kelak.

Ketahuilah wahai peserta tarbiah ramadhan, manusia dibekalkan dengan dua unsur. Iaitu unsur kebaikan dan unsur kejahatan. Masing-masing mempunyai regunya sebagaimana ketentuan Allah swt bagi setiap alam ciptaannya. Hanya Allah sahaja tidak mempunyai regu, sebagaimana telah ditegaskan dengan jelas dalam al-Quran,

قل هو الله احد  “ katakanlah Allah itu adalah satu”.

Syaitan dan nafsu kejahatan menjadi regu yang akrab untuk menggelincirkan manusia. Sebagaimana Firman Allah swt dalam surah Al-Baqarah ayat 268,

الشيطان يعدكم الفقر ويامركم بالفحشاء 

Artinya : Sesungguhnya syaitan menjanjikan kepada kamu kefakiran dan menyuruh kamu melakukan kejahatan dan kekejian.

Manakala malaikat dan aqal menjadi agen kebaikan untuk memimpin manusia ke arah kebaikan dan kebenaran. Malaikat juga membantu manusia menghampirkan diri kepada Allah swt dan memimpin kita dalam menuju kepada Allah swt.
Firman Allah Taala dalam surah As-Syura ayat 5 yang bermaksud:

  " Dan Malaikat bertasbih Dengan memuji Tuhannya serta memohon ampun bagi makhluk-makhluk yang ada di bumi. Ingatlah! Sesungguhnya Allah, Dia lah Yang Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani."

  Ibnu Masud telah meriwayatkan satu hadis, Malaikat yang ditugasi mendampingi manusia berbisik kepada hati anak adam sebagaimana syaitan juga mempunyai bisikan. Bisikan malaikat mengajak kepada kebaikan, membenarkan yang benar dan mengharapkan  pahala.  Sedangkan bisikan syaitan adalah menyuruh membuat kejahatan, mendustakan kebenaran dan putus asa. Jika kamu mendapat bisikan malaikat, pujilah Allah dan mintalah kurniaanNya.  Dan kalau kamu menjumpai bisikan syaitan, maka berlindunglah kepada Allah dan mohon ampunlah kepadanya ( riwayat Ahmad )

 Nafsu lebih degil daripada syaitan

 Nafsu pernah berinteraksi dengan Allah swt , Allah bertanya kepada nafsu jahat siapakah aku ini? Jawab nafsu, aku adalah aku dan engkau (Allah) adalah engkau.

Maka Allah menyeksa nafsu agar tunduk kepada tuhannya dengan memasukkan ke dalam neraka selama 300 tahun. Kali kedua demikian juga apabila ditanya, nafsu dengan angkuh menjawab aku adalah aku dan engkau adalah engkau.
 Kali ketiga nafsu dipenjarakan ke dalam neraka lapar barulah keangkuhan dan kedegilan nafsu mengaku kewujudan tuhannya adalah Allah swt.

Daripada kisah di atas kita boleh mengambil iktibar daripadanya,

Pertama : Nafsu adalah makhluk Allah yang degil berbanding iblis yang  mana sekalipun iblis termasuk golongan dilaknat dan kufur tetapi masih mengaku Allah adalah tuhan.

Dalilnya daripada firman ALLAH dalam surah Ibrahim ayat 22 :

 "Dan berkatalah pula Syaitan setelah selesai perkara itu: "Sesungguhnya Allah telah menjanjikan kamu (manusia) dengan janji yang benar dan Aku (syaitan) telah menjanjikan kamu lalu aku (syaitan) mungkiri janji ku itu kepada kamu (manusia)."

Kedua : Nafsu dapat ditundukkan dengan mujahadah lapar , maka puasa sebaik- baik terapi untuk menundukkan nafsu.

 Di bulan Ramadhan ini sebagaimana yang diketahui dalam hadis Rasulullah saw, Para syaitan dibelenggu dengan rantai. Ertinya, regu kejahatan kini hanya tinggal satu sahaja yaitulah nafsu yang menyeru manusia kepada kejahatan. Ini merupakan kredit kepada umat Islam yang sedang melalui proses tarbiah Ramadhan , mengambil peluang agar melipat gandakan kesungguhannya dalam latihan mengerjakan ibadat dan pengabdian kepada Allah swt.

Hadis tersebut berbunyi,
اذا جاء رمضان  فتحت ابواب الجنة وغلقت ابواب النار وصدفت الشياطين- رواه مسلم 

Artinya : Apabila datangnya bulan Ramadhan, dibukakan pintu syurga dan ditutup pintu neraka dan dibelenggu syaitan – riwayat muslim

Namun realitinya, pada bulan Ramadhan maksiat dan kejahatan masih berlaku. Apakah makna yang tersirat disebalik hadis Rasulullah saw mengenai Syaitan dirantai pada bulan puasa ?

Tafsiran ulama tentang hadis tersebut :

Pertama : dirantai dengan maksud majaz (kiasan) berarti kekuasaan syaitan terhadap manusia terbatas pada bulan Ramadhan.

Kedua : Hanya syaitan yang tertentu sahaja yang diikat. Ini berdasarkan kepada hadis riwayat An-Nasa’i dengan penambahan lafaz  تصفد مردة الشياطين  artinya diikat kalangan syaitan yang degil. Ini memberi faham kepada kita yang ada cuma syaitan peringkat bawahan sahaja pada bulan ramdhan ini.

Ketiga : Sememangnya syaitan dirantai, cuma kejahatan yang berlaku pada bulan Ramadhan adalah kerana pengaruh kebiasaan nafsu yang menyeru kepada kejahatan.


Darjat nafsu di dalam diri hamba

Nafsu selalu dikaitkan dengan kejahatan sahaja , malahan sudah sinonim dengan kefahaman umum apabila dikatakan nafsu sudah tentu ianya menyeru ke arah kejahatan sahaja. Sebenarnya nafsu kita seperti binatang tunggangan. Seperti seekor kuda contohnya,  ia menjadi tunggangan bagi manusia. Jika sekiranya kita gagal mengawalnya dan kuda tersebut belum mampu kita tundukkan dengan asuhan tuannya, nescaya ia akan meronta dan  sukar untuk ditunggangi .
Demikian diumpamakan nafsu yang jahat, tentu sukar bagi tuannya . Tetapi jika kuda tersebut jinak dan mahu mendengar kata, sudah pasti tidak ada masalah ia mengikuti kemahuan tuannya. Demikianlah nafsu yang baik menjadi bekalan bagi tuannya menuju perjalanan menemui tuhannya dengan tenang.  

  Pembahagian nafsu menurut ulama

Pertama:  Nafsu Amarah.

Ini adalah bahagian nafsu yang paling jahat sekali bak kata pepatah, bersultan di mata beraja dihati. Ianya menjadi milik bagi orang kafir, munafik dan orang Islam yang jauh daripada taufik dah hidayahAllah swt yang sentiasa mengerjakan kejahatan dan tidak ada terlintas dihatinya untuk menjadi hamba yang taat.  

Firman Allah swt dalam surah Yusuf ayat 53

 "Dan tiadalah Aku berani membersihkan diriku; Sesungguhnya nafsu manusia itu sangat menyuruh melakukan kejahatan, kecuali orang-orang yang telah diberi rahmat oleh Tuhanku (maka terselamatlah ia dari hasutan nafsu itu). Sesungguhnya Tuhanku Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani."

Kedua : Nafsu Lawwamah:  Ini adalah nafsu peringkat kedua yang telah mempunyai kesedaran untuk berubah namun bisikan kejahatan dan syaitan mengatasinya untuk melakukan kebaikan. Empunnya nafsu ini terkadang menang dan terkadang kalah dalam usahanya menuju ke jalan yang benar.

Firman Allah swt dalam surah al-qiyamah ayat 2 yang bermaksud,

"Dan Aku bersumpah Dengan "Nafsul Lawwaamah" (bahawa kamu akan dibangkitkan sesudah mati)!"

 Ketiga:  Nafsu mutmainnah . Nafsu inilah yang diiktiraf oleh Allah sebagai nafsu yang tunduk kepada tuhannya dan mendapat ganjaran syurga daripda Allah swt .

Firman Allah swt dalam surah Al-Fajr ayat 27 hingga 30,

27. (Setelah menerangkan akibat orang-orang Yang tidak menghiraukan akhirat, Tuhan menyatakan Bahawa orang-orang Yang beriman dan beramal soleh akan disambut Dengan kata-kata): "Wahai orang Yang mempunyai jiwa Yang sentiasa tenang tetap Dengan kepercayaan dan bawaan baiknya! -
28. "Kembalilah kepada Tuhanmu Dengan keadaan Engkau berpuas hati (dengan Segala nikmat Yang diberikan) lagi diredhai (di sisi Tuhanmu) ! -
29. "Serta masuklah Engkau Dalam kumpulan hamba-hambaKu Yang berbahagia -
30. "Dan masuklah ke Dalam SyurgaKu! "

Untuk makluman pembaca , kategori nafsu kesemuanya ada tujuh Cuma secara ringkas  untuk tatapan pembaca hanya tiga jenis nafsu sahaja yang dinyatakan.

Mudah – mudahan dengan keberkatan Ramadhan tahun ini kita berjaya mentarbiah nafsu kita kepada nafsu mutmainnah.  Amin Ya Rabbal alamin 

Al –Fakir ila Rahmatillah,

Ustaz  Zulkifli bin Mat Arof

1 comment:

  1. Оцените:) проститутки Москва индивидуалки дешево yg dari honkong tentan MBAH KABOIREN yg telah membantu dia menjadi sukses dan akhirnya juga saya mencoba menghubungi beliau dan alhamdulillah beliau mau membantu saya untuk memberikan nomor toto 6D dan alhamdulillah
    Привлекательная и всегда ненасытная девочка, которая имеет при себе отменную фигуру и гладкую кожу, приглашает на нескромное рандеву состоявшихся в жизни джентльменов.

    ReplyDelete