Followers

Tuesday, October 18, 2011

Faedah Zikir

Pekerjaan yang paling mudah dan kebiasaan yang paling mulia adalah Zikir atau mengingati Allah..

Apabila orang itu benar-benar mengerjakan zikirnya menurut cara yang dikehendaki oleh Allah dan RasulNya, maka Allah akan menjagamu dari segala bentuk kejahatan, samada yang nampak mahupun tidak, menjaga keimananmu dan engkau tidak akan terkena penyakit gila serta tidak akan terkena musibah, InsyaAllah.

Faedah yang diperolehi oleh orang-orang yang selalu berzikir ini adalah banyak, antaranya ialah :-

1. Mendapat keredhaan Allah dan dijauhkan daripada gangguan syaitan.

Ibnu Abbas berkata, "Syaitan itu bagaikan ular berbisa yang bersemayam di dalam hati. Apabila seorang hamba mengingati Tuhannya Yang Maha Suci dan Maha Tinggi, ular itu akan menjadi jinak dan diam, apabila dia lalai mengingati Allah, maka ular itu akan terus mengganggunya.."

2. Mendapat kebaikan dan mengangkat darjat seseorang hamba.

Tidak ada yang lebih berat dalam timbangan pada hari Kiamat melainkan zikir kepada Allah.

Abu Darda' berkata, " Sesiapa yang selalu mengingati Allah, maka dia akan masuk syurga dengan tertawa."

3. Melapangkan dada dan meluaskan kuburan.

Sesungguhnya orang-orang yang berzikir itu luas dan lebar. Dada mereka tu lapang dan baik, raut muka mereka indah dan terdapat lingkaran cahaya yang terang disebabkan mereka selalu mengingati Tuhan Yang Maha Esa.

4. Menjaga dari gangguan dan bisikan syaitan yang menghasut untuk melakukan maksiat

Zikir kepada Allah dapat menjaga dirimu dari keraguan, menghalang daripada perasaan was-was dan hasutan syaitan..Kerana sedikitnya berzikir, berpaling dari solat dan tidak membaca al-Quran maka seseorang itu mudah ditimpa kegelisahan dan boleh menjadi gila.

5. Menampakkan wajah keagungan dan kemanisan

Pada hari Kiamat, wajah orang-orang yang berzikir akan bersinar putih bersih.

Allah berfirman yang bermaksud: "(Ingatlah akan) Hari Kiamat (yang padanya) ada muka (orang-orang) menjadi putih berseri dan ada muka (orang-orang) yang hitam legam." ( Surah Ali-Imran:106.)

Di dalam kehidupan, orang yang suka berzikir itu akan menampakkan ketenangan kerana zikirnya.

Dan orang yang sengsara, iaitu orang yang hanya mementingkan nyanyian-nyanyian, senda gurau, dan kekejian boleh diketahui kesengsaraannya kerana perbuatannya.

6. Melepaskan diri dari azab siksaan dan penyesalan.

7. Mendatangkan kebahagiaan dunia dan akhirat.

8. Menyebabkan terlepas dari suatu pintu fasik dan derhaka. Kerana orang yang tiada mahu menyebut Allah (berzikir) dihukum orang yang fasik.

9. Mendapat rahmat dan hidayah Allah.

10. Mendatangkan faedah yang paling besar dan dapat membantu kepada kebenaran.

Mohonlah kepada Allah agar Dia menjadikan kita termasuk orang-orang yang banyak berzikir dan menerima amal ibadah kita. Sesungguhnya Dia adalah Maha Mendengar dan Maha Mengetahui..