Followers

Tuesday, October 27, 2009

MISI UTUSAN RASUL

Sejak daripada Adam as diutuskan Allah ke dunia , seterusnya disambung oleh para Anbia mursalin. Tujuan utama utusan Allah yang mulia, tak lain dan tak bukan membawa maksud yang sama iaitu mengenal Allah swt sebagai tuhan yang mentadbir alam ini dan Dialah sebenar-benar tuhan yang wajib disembah, tiada tuhan selainnya .

Keduanya, tugas para rasul tersebut ialah untuk memimpin dan menunjukkan cara-cara manusia dan jin mengabdikan diri kepada Alah mengikut lunas-lunas Agama yang sebenarnya . Lantas kerana tugasan tersebut para anbia dibekalkan dengan sifat terpuji yang semestinya ada pada mereka iaitu pertamanya para rasul mesti bersifat benar; keduanya para rasul mestilah seorang yang jujur, ketiganya para rasul mesti menyampaikan setiap hukum agama untuk umatnya, dan keempatnya para rasul hendaklah dari kalangan mereka yang bijaksana.

Para rasul juga mendapat jaminan Allah daripada melakukaan dosa ataupun dipanggil 'maksum'. Para rasul dilantik di kalangan manusia biasa, pilihan Alah. Mereka makan dan minum, beranak dan beristeri sebagaimana firman Allah dalam Al- Qurannul Karim

قل انما انا بشر مثلكم يوحى الى انما الهكم اله واحد

Ertinya, Katakanlah hanya Aku ini manusia seperti kamu juga yang diwahyukan kepada ku hanyaSanya oleh tuhan kamu tuhan yang satu - al-kahfi 110

Sekalipun ayat di atas menerangkan Rasulullah saw itu sepeti manusia sebagaimana kita juga, namun demikian perlu kita fahami walaupun sama, ada beberapa perkara seperti keadaaan sifat atau fizikal nabi yang tidak serupa dengan manusia biasa. Ini kita namakan mukjizat.


Perkara luar biasa tersebut bertindak sebagai aset penting bagi Rasul alaihimussalam membuktikan kebenaran ajaran yang dibawanya.

Disamping itu juga, perkara yang di luar daripada logik aqal dan tidak ada pada manusia biasa seperti kita adalah untuk membezakan ketinggian dan kemulian mereka para anbia pilihan Allah, khususnya junjungan besar kita Nabi Muhammaad saw berbanding dengan kita manusia biasa .


Sabda Rasulullah saw di bawah ini menunjukkan Rasulullah saw tidaklah sama dengan manusia seperti kita ini. Pada keseluruhannya ada beberapa perkara menjadi khususi, yakni ketentuan bagi mereka sahaja.

انى لست كهيئتكم انى ابيت عند ربى ويطعمنى ويسقينى

Ertinya : Sesungguhnya Aku ini tiadalah seperti kejadian kamu. Sesungguhnya Aku bermalam di sisi tuhanku dan Aku diberi makan olehnya dan aku diberi minum oleh tuhanku.

Para Ulama Arifinbillah dalam mentafsirkan makna hadis ini mengatakan junjungan besar kita, Muhammad saw adalah manusia yang tidak seperti manusia, ianya diumpakan batu permata di antara batu biasa.

Allah swt mengutuskan para anbia ini mengandungi tiga misi penting yang perlu dilaksanakan oleh mereka. Secara umumnya, tugas mereka adalah untuk mengajar manusia mengenal Allah yang maha Esa dan memberi petunjuk kepada manusia tentang cara-cara beribadat kepadaNya .


Misi pertama yang perlu dilakukannya oleh manusia pilihan ini ialah تبليغ الحكم artinya menyampaikan hukum agama. Setiap perintah mahupun larangan yang berupa wahyu melalui perantaran Malaikat Jibril hendaklah disampaikan oleh baginda Rasulullah. Sekalipun perkara tersebut amat perit dan sukar untuk disampaikan.


Di dalam hadis, baginda bersabda : قل الحق ولو كان مرا Ertinya, Katakan perkataan benar sekalipun pahit.


Termasuk di dalam erti misi تبليغ الحكم ialah menyuruh kepada kebaikan dan mencegah kemungkaran.


Begitu juga kerja-kerja dakwah, samaada secara perseorangan dan jemaah telah dipraktikkan oleh Rasululah saw. Dan secara tidak langsung menjadi garis panduan bagi kita sebagai umatnya untuk dilaksanakan dalam bentuk baru, sesuai dengan peredaran zaman seperti, ceramah, kuliah, usrah, melalui saluran media cetak, mahupun elektronik, buku-buku, sebaran melalui internet dan sebagainya .

Firman Allah Taala ini adalah dalil menunjukkan misi utusan baginda sebagai Rasul telah dilaksanakan.


ابلغكم رسالات ربى وانا لكم ناصح امين

Ertinya: Aku menyampaikan kepada kamu risalah-risalah Tuhan ku dan aku penasihat yang amanah bagi kamu- al-a'raf-68


Dan firmanNya lagi, يا ايها الرسول بلغ ما انزل اليك من ربك

Ertinya; Wahai Rasul, sampaikanlah hukum yang disampaikan kepada engkau daripada Tuhan engkau -

al- Maidah, 67

Misi kedua yang perlu dilakukan oleh junjungan besar kita Rasulullah saw ialah تنجيز الحكم artinya melaksanakan secara praktikal hukum yang telah disampaikan oleh Rasululah saw. Dengan hanya menyampaikan tanpa ada usaha atau ikhtiar untuk melaksanakan, sudah tentu misi Rasululah tidak lengkap.


Jika kita kembali merenung dan mengambil sirah sebagai pengajaran, sudah tentu terserlah bagaimana tindakan Kafir Quraish dalam menggagalkan misi Rasulullah dengan memujuk dan cuba merasuah Rasululah dengan harta, pangkat dan kemasyhuran, asalkan Rasululah saw meninggalkan tugasnya sebagai rasul.


Begitu juga rentetan peristiwa hijrah Rasululah saw ke Madinah, memberi gambaran kepada kita untuk memenuhi tuntutan agama dalam melaksanakan hukum, memerlukan kekuatan sokongan masyarakat . Sebagai mana kita lihat, golongan Ansar dari Madinah telah mengikat janji setia kepada Rasululah saw untuk bersama- sama baginda mengharung kepayahan dalam melaksanakan tuntutan Agama seperti mendirikan sebuah Negara Islam dan melaksanakan tuntutan Hukum Islam yang sebelumnya gagal dilaksanakan di Mekah.


Dengan adanya perlaksanaan secara menyeluruh bermula daripada ibadat , perkahwinan, perniagaan, dan qisas serta hudud barulah lengkap dan terbukti Agama Islam, adalah agama yang syumul, berbanding agama yang lain. Ia sekali gus menjadi 'role model' atau contoh terbaik kepada generasi sesudahnya agar mengikut cara yang dilakukan oleh Rasululah saw dalam usaha menegakkan kalimatullah di bumi dan mencari keredhaan Allah swt.


Misi ketiga Rasulullah saw sebagai utusan Rabbul alamin ialah تزكية النفوس

Ertinya, membersihkan diri daripada sifat yang mazmumah yang kita namakan juga sebagai membina akhlak yang mulia.


Sesuai dengan firman Allah swt, di dalam Al-quran وانك لعلى خلق عظيم

Ertinya, Sesungguhnya engkau wahai Muhammad mempunyai akhlak yang mulia.


Dengan budi pekerti yang luhur dan akhlak yang mulia oleh penganutnya, keindahan Islam akan terserlah dan diterima oleh masyarakat bukan Islam bahawa Islam bukanlah Agama yang menganjurkan kekerasan. Islam juga bukanlah Agama yang suka kepada permusuhaan, saling laknat melaknati dan bersikap kasar terhadap saudara seagamanya.


firman Allah taala وان كنت فظا غليغ القلب لانفضوا من حولك

Ertinya; Jika engkau menunjukkan sikap kasar lagi keras hati terhadap mereka, nescaya mereka lari daripada engkau.

Dan sabda Rassulullah saw وانى لم ابعث لعانا وانما بعثت رحمة- رواه مسلم

Ertinya; Sesungguhnya aku tidak diutuskan untuk melaknat. Hanya satunya diutuskan aku untuk memberi rahmat. -riwayat muslim

Tiga kombinasi tersebut iaitu تبليغ الحكم , تنجيز الحكم , dan تزكية النفوس dapat dilaksanakan bermula dengan individu, seterusnya masyarakat dan negara. Maka akan lahirlah umat yang aman damai dan mendapat kebahagian dunia dan akhirat.

Tidak sebagaimana berlaku hari ini apabila masyarakat lari daripada petunjuk Ilahi. Maka, akan mengundang keadaan tidak tenteram dengan kadar jenayah dan keruntuhan akhlak muda – mudi yang semakin parah, akibat jiwa mereka yang lompang atau kosong daripada roh Islam. Jiwa mereka hanya diisi dengan hiburan terlarang dan dunia semata- mata. Keadaaan masih belum terlambat jika sekiranya masyarakat memilih kombinasi tiga unsur tersebut, nescaya mereka akan selamat dunia dan akhirat, InsyaAllah..


3 comments:

  1. salam kak,
    harap sentiasa sihat dan gembira selalu

    terima kasih atas maklumat bermanfaat ini.

    "Dan sesungguhnya Kami telah mengutus rasul pada tiap-tiap umat (untuk menyerukan): "Sembahlah Allah (saja), dan jauhilah Thaghut itu", maka di antara umat itu ada orang-orang yang diberi petunjuk oleh Allah dan ada pula di antaranya orang-orang yang telah pasti kesesatan baginya. Maka berjalanlah kamu di muka bumi dan perhatikanlah bagaimana kesudahan orang-orang yang mendustakan (rasul-rasul)." (16:36)

    ReplyDelete
  2. Salam Atie,

    Alhamdulillah, N3 yang bermanfaat.. Surah al-akhraf ke surah al-A'raf? ayat 68 mungkin tersilap taip kut.. Atie dtg ke blog tolong jawab kemusykilan kak.. terima kasih.

    ReplyDelete
  3. Werdah terima kasih atas teguran.. tersalah taiplah tu.

    ReplyDelete