Followers

Friday, February 19, 2010

Keistimewaan Nabi SAW

Di bawah, ada beberapa maksud hadis yang berkaitan keistimewaan Nabi Muhammad saw.

1. Rasulullah saw penghulu manusia
Maksud hadis : "Daripada Abu Hurairah r.a, Nabi saw bersabda : " Akulah penghulu manusia pada hari kiamat. "(Riwayat Al-Bukhari dan Muslim)

Keterangan : Nabi saw mengatakan sebegini untuk menceritakan nikmat Allah swt. Ia juga merupakan nasihat supaya kita mengetahui hak terhadap baginda saw.

2. Rasulullah saw sebagai rahmat
Maksud hadis : Daripada Abu Hurairah r.a, Nabi saw bersabda, " Sesungguhnya aku diutus sebagai rahmat. " (Riwayat Muslim)

3. Pendidik insan berakhlak mulia
Maksudnya : Daripada Abu Hurairah r.a, Nabi saw bersabda, " Sesungguhnya aku diutuskan untuk menyempurnakan akhlak yang baik." (Riwayat Ahmad)

4. Keistimewaan pada penyampaian Rasulullah
Maksudnya : Daripada Abu Hurairah r.a, Nabi saw bersabda , " Aku diutuskan dengan perkataan-perkataan yang ringkas dan padat.(Riwat Al-Bukhari & Muslim)

Keterangan : " Perkataan-perkataan yang ringkas dan padat ", iaitu Al-Quran dan hadis Nabi saw, kerana ia mengandungi lafaz-lafaz yang ringkas dan makna yang banyak.

5. Nabi saw mendahului ummatnya
Ertinya : Daripada Jundub bin Sufyan r.a, Nabi saw bersabda: " aku mendahului kamu tiba ke kolam di syurga." (Riwayat Al-Bukhari & Muslim)

Keterangan : " Aku mendahului": Menyediakan dan memberikan apa yang kamu perlukan.

6. Jaminan kemenangan
Ertinya : Daripada Thauban r.a, Nabi saw bersabda: " Allah telah menghimpunkan bumi untuk aku sehingga aku dapat melihat timur dan baratnya. Sesungguhnya kekuasaan umatku akan meliputi keluasan bumi yang dihimpunkan kepadaku." (Riwayat Muslim)

7. Kesedaran untuk beramal
Maksudnya : Daripada Abu Hurairah r.a, Nabi saw bersabda : "Sekiranya kamu mengetahui apa yang aku ketahui, nescaya kamu kurang ketawa dan banyak menangis."
(Riwayat Al-Bukhari)

Keterangan : - Yakni mengetahui tentang keagungan Allah, balasan terhadap pelaku maksiat dan kegerunan yang berlaku pada saat nyawa dicabut, selepas mati dan keadaan di dalam kubur dan hari kiamat.
- Mengingati perkara tersebut dapat mendorong melakukan amal ibadah.

8. Bumi sebagai masjid
Ertinya: Daripada Jabir r.a, Nabi saw bersabda: "Dijadikan untukku bumi sebagai masjid
(tempat sujud) yang suci." (Riwayat al-Bukhari & Muslim)

Keterangan: Al-Khottobi mengatakan: Umat sebelum Nabi Muhammad saw diharuskan sembahyang hanya di tempat tertentu sahaja seperti rumah ibadat dan tempat pertapaan.

9. Kesempurnaan syafaat Rasulullah saw
Ertinya : Daripada Anas bin Malik r.a, Nabi saw bersabda: "Bagi setiap nabi terdapat doa (yang telah dikabulkan di dunia) untuk umatnya. Tetapi aku telah menyimpan doaku sebagai syafaat untuk umatku pada hari kiamat." (Riwayat al-Bukhari & Muslim)

Keterangan : - Maksud hadis ini ialah setiap nabi telah mendoakan agar umatnya dibinasakan, melainkan Nabi Muhammad saw, tidak mendoakan sedemikian. Ini kerana baginda akan memberikan syafaat sebagai balasan kesabaran umatnya menanggung kesusahan di dunia.

- Hadis ini menerangkan kesempurnaan syafaat Nabi saw dan belas kasihan baginda terhadap umatnya. Baginda mengambil perhatian terhadap kemaslahatan umatnya yang terpenting. Maka baginda menangguhkan doa balasan azab terhadap umatnya sehingga waktu terpenting dan amat diperlukan syafaat itu.

10. Pelbagai golongan mendapat syafaat
Maksudnya : Daripada Anas r.a, Nabi saw bersabda: " Aku boleh berikan syafaat kepada umatku yang melakukan dosa besar." (Riwayat Abu Daud & al-Tirmizi)

Keterangan : Syafaat Rasululllah saw untuk orang yang melakukan dosa besar ialah dengan menyelamatkan mereka daripada kebinasaan. Manakala syafaat baginda untuk orang yang melakukan ketaatan ialah dengan menaikkan darjat mereka.

11) Kelebihan selawat
Maksudnya: Daripada Abu HUrairahr.a, Nabi saw bersabda: " Orang yang berselawat ke atas aku sekali, Allah berselawat ke atasnya sepuluh kali." (Riwayat Muslim)

Keterangan : "Allah berselawat" : Rahmat dan gandaan ganjaran daripada Allah swt.

12) Orang yang tidak berselawat dianggap bakhil
Maksudnya : Daripada Ali bin Abu Talib r.a, Nabi saw bersabda : " Orang yang bakhil ialah orang yang mendengar namaku disebut tetapi tidak berselawat ke atasku." (Riwayat al-Tirmizi)

Keterangan
- Orang berkenaan disifatkan sebagai bakhil kerana menghalang diri sendiri daripada selawat Allah swt untuknya jika ia berselawat sekali.
- Sebahagian ulamak mengatakan wajib sekali selawat pada setiap kali disebut nama baginda. Menurut pandangan yang lain, wajib sekali selawat dalam satu selawat dalam satu majlis yang disebut nama baginda. Manakala ketika disebut nama baginda pada kali yang lain dalam majlis itu maka hukumnya adalah sunat.

13) Ucapan salam untuk Rasulullah
Ertinya : Daripada Abdullah bin Mas'ud al-Ansori ra, Nabi saw bersabda,"Sesungguhnya untuk Allah terdapat malaikat yang berlegar-legar di muka bumi. Mereka menyampaikan kepadaku salam daripada umatku." (Riwayat al-Nasa'i & Ibn Hibban)

No comments:

Post a Comment