Selang beberapa hari lagi umat Islam akan menyambut Ramadhan Al-Mubarak. Bulan yang penuh dengan keberkatan dan kurniaan yang tidak terhingga dari yang Maha Esa kepada umat junjungan besar kita Nabi Muhammad saw.
Masa begitu cepat berlalu, kini Ramadhan muncul kembali. Bagi golongan orang-orang yang soleh, Ramadhan ditunggu dengan penuh rindu dan kegembiraan, sepertimana kekasih yang akan bertemu setelah setahun menghilang. Dan kita sewajarnya merasa sedemikian juga sekalipun tidak sepenuhnya.
Marilah kita kuatkan semangat dan azam agar puasa kita pada tahun ini lebih baik daripada yang sebelumnya. Di samping itu juga, keikhlasan dan harapan yang tingi agar Ramadhan pada tahun ini benar-benar menjadikan kita mukmin yang bertaqwa hasil daripada madrasah Ramadhan yang akan kita lalui nanti.
Disamping itu juga, Ramadhan yang akan kita raikan memerlukan penghayatan. Ianya sebagai satu ibadah yang menghimpunkan hubungan kita dengan Allah swt. Dengan mengikhlaskan puasa kita semata-mata keranaNya , kita bersolat tarawikh keranaNya dan ibadat puasa juga menyingkap hubungan kita sesama manusia. Natijah daripada menahan lapar dan dahaga, kita dapat berkongsi rasa kesusahan orang lain yang lebih susah dari kita. Maka terbitlah rasa bersyukur dengan apa yang ada.
Amalan bersedekah di bulan puasa juga adalah contoh ibadat yang memperhubungkan manusia dengan manusia yang lain. Janganlah hendaknya puasa hanya menjadi adat atau kebiasaan sahaja. Ini kerap berlaku di kalangan kita pada awal Ramadhan, masjid dan surau penuh sesak. Apabila pertengahan dan akhir puasa menjadi lengang. Jika puasa yang akan kita lakukan adalah ibadat bukannya adat, nescaya keadaan menjadi sebaliknya iaitu pertengahan puasa dan akhir puasa, kehadiran jemaah makin bertambah ...
Puasa merupakan salah satu daripada Rukun Islam yang
Begitu jugalah setiap satu daripada Rukun Islam yang lima perkara dan Rukun Iman yang enam perkara adalah menjadi kewajipan kita menerimanya dengan sepenuh keyakinan tanpa was- was. Jika sekiranya kita menolak satu bahagian sahaja daripada Rukun Iman, contohnya tidak percaya kepada kitab maka, seluruh bahagian yang lain seperti Percaya Kepada Allah dan Malaikat akan turut tertolak dan terjejas keimanan kita.
Soal agama, lebih- lebih lagi perkara asas Rukun Iman dan Islam tidak boleh disamakan dengan perkara dunia. Adapun perkara dunia jika seseorang menjalani ujian bertulis contohnya, jika lima soalan yang dijawab tetapi kita berjaya menjawab empat daripadanya dan hanya satu yang salah, maka kita dianggap lulus dan cemerlang. Tetapi dalam Islam, jika empat daripada Rukun Islam kita terima. Satu daripadanya, kita tolak maka kita dianggap oleh Allah swt seorang yang gagal dan tidak lulus dalam ujiannya. Dengan itu, kita bukan tergolong daripada orang Islam.
Begitu juga ibadat puasa yang akan kita jalani nanti, ianya merupakan kefardhuan yang dituntut oleh Allah bagi hambanya yang beragama Islam, beraqal dan baligh. Ianya merupakan ibadat yang dikategorikan sebagai bentuk tinggalkan seperti meninggalkan makan, minum dan apa sahaja yang ditegah semasa kita berpuasa sedangkan pada masa yang lain atau bukan bulan puasa, ianya adalah dibenarkan.
Adapun ibadat seperti Solat dan Haji, ianya termasuk dalam ibadat yang perlu kita buat, sepertimana Solat ianya merupakan beberapa gerakan yang dipanggil Rukun Fekliah dan juga bacaan yang perlu dibaca yang dinamakan ia Rukun Qauliah. Firman Allah swt dalam al-quranul qarim,
يا ايها الذين امنوا كتب عليكم الصيام كما كتب على الذين من قبلكم لعلكم تتقون-183 البقرة
Artinya : Wahai segala orang yang beriman diwajibkan keatas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan ke atas umat sebelum kamu mudah- mudahan kamu termasuk dalam golongan orang yang bertaqwa Surah al-Baqarah ayat 18 .
Kemudian mari kita bersama merenung ayat daripada surah yang sama juga yang berbunyi,
يا ايها الذين امنوا كتب عليكم القصاص فى القتلى الحر بالحر والعبد بالعبد والانثى بالانثى فمن
عفى له من اخيه شىء فاتباع بالمعروف واداء اليه باحسان
Artinya : Wahai segala orang yang beriman, diwajibkan keatas kamu hukum qisas pada pembunuhan, orang merdeka dengan orang merdeka, hamba dengan hamba, wanita dengan wanita. Maka barang siapa yang mendapat satu pemaafan daripada saudaranya hendaklah yang memaafkan mengikut dengan baik dan mereka yang diberi kemaafan membayar diat .
Surah al- Baqarah ayat 178
Lihatlah tuntutan daripada ayat Allah di atas kefardhuan untuk melaksanakan Hukum Qisas, didahulukan daripada tuntutan kefardhuan melaksanakan ibadat puasa, ini kerana kemaslahatan umat dan ketenteraman masyarakat dengan tertegaknya hukum Islam lebih Allah utamakan daripada ibadat yang berkaitan dengan individu sepeti ibadat puasa .
Persoalannya, mengapakah sesetengah umat Islam yang beriman dengan ayat al-Quran yang mewajibkan puasa di Bulan Ramadhan, tetapi tidak beriman dengan kewajipan tuntutan menegakkan Hukum Islam seperti Qisas ?. Adakah dibolehkan kita beriman dengan sebahagian ayat al- Quran dan engkar dengan sebahagiannya yang lain ? Sedangkan jika seseorang menolak salah satu Rukun Iman atau Islam, maka yang lainnya akan tertolak juga . Ataupun mereka ini termasuk di dalam golongan yang dinyatakan Allah di dalam kitab sucinya,
افتؤمنون ببعض الكتاب وتكفرون ببعض
Artinya ; Adakah kamu beriman dengan sebahagia kitab dan kamu engkar dengan sebahagian yang lain?
Inilah perkara utama yang perlu bagi seseorang untuk memasuki latihan Ramadhan iaitu, penyucian jiwa raga dan pemikiran daripada unsur-unsur yang boleh merosakkan keIslaman atau Aqidah. Perlunya penyucian Aqidah dan persepsi kita terhadap Islam itu sendiri, kerana Islam itu mempunyai rantaian yang tidak boleh dipisahkan dan dinafikan diantara satu sama yang lainnya. Janganlah kita menguraikan simpulan Islam tersebut kerana dibimbangkan nanti, kita bersungguh dalam memelihara sah dan menjauhkan perkara yang membatalkan puasa, tetapi tanpa disedari mengabaikan tuntutan Islam yang lain seperti menerima hukum qisas, menyebabkan puasa turut sekali terlerai daripada simpulannya. Dan kita bermohon kepada Alah tidak termasuk di dalam golongan yang Allah tidak terima ibadat puasanya sebagaimana sabdanya كم من صائم ليس من صومه الا الجوع والعطش
Ertinya, Berapa ramai yang berpuasa tiadalah daripada puasanya itu melainkan lapar dan dahaga sahaja (artinya tidak diterima Allah swt) Riwayat Nasa'i dan Ibnu Majah
Selain daripada persediaan rohani seperti yang dinyatakan di atas, kita juga memerlukan persedian dari sudut jasmani. Kita hendaklah memastikan kesihatan badan berada dalam keadaan baik agar kita dapat berpuasa penuh sebulan pada tahun ini
Masyarakat kita khususnya menjadi kebiasaan apabila masuknya bulan Ramadhan mulalah pada masa itu sibuk mencari baju raya untuk anak- anak, sibuk juga untuk menghias rumah dan berbagai-bagai lagi urusan duniawi yang sepatutnya boleh diselesaikan sebelum Ramadhan.
Bersihkan diri daripada dosa dengan Allah mahupun manusia. Banyakkan Istighfar dan taubat, pulangkan hak manusia jika terambil dan memohon maaf kepadanya. Mudah – mudahan dengan kurniaan Alah kita beroleh kejayan daripada latihan Ramadhan yang akan kita tempuhi nanti. Dan marilah kita sama-sama menghisab atau muhasabah diri kita, adakah Ramadhan tahun lalu kita beroleh kejayaan .
Dan ketahuilah, kejayaan latihan Ramadhan tidak seperti kejayan dunia yang boleh dinilai dengan sijil dan anugerah berupa wang ringgit dan sebagainya. Tetapi kejayaannya, dinilai melalui perubahan diri seseorang yang semakin tekun dan tunduk mengabdikan diri kepada Allah swt .
Anggaplah Ramadhan pada tahun ini adalah Ramadhan yang terakhir bagi kita. Apabila ajal datang menjemput, sudah tentu tidak bertemu lagi Ramadhan yang akan datang. Sama-samalah kita amati kata-kata hikmah sebagai bekalan Ramadhan pada tahun ini,
واعمل لدنياك كانك تعيش ابدا واعمل للاخرتك كانك تموت غدا
Artinya : Bekerjalah kamu bagi duniamu seolah –olahnya kamu hidup selama-lamanya dan beribadatlah bagi akhirat kamu seolah-olahnya kamu mati esok hari.
No comments:
Post a Comment