Allah swt menciptakan manusia berpasangan, lelaki dan perempuan. Bermula daripada datuk dan nenek yang satu iaitu Adam dan Hawa.
Pada zaman Jahiliah dahulu kala, manusia menjadikan wanita serendah rendah darjat. Mereka kaum yang lemah ini hanyalah layak sebagai satu bahan untuk memenuhkan nafsu syahwat lelaki sahaja Perbuatan yang amat kejam dengan menanam bayi perempuan secara hidup-hidup merupakan amalan kebiasaan masyarakat jahiliah pada waktu itu. Allah swt merakamkan perbuatan keji mereka itu dengan firmannya,
واذا بشر احدهم بالانثى ظل وجهه مسودا وهو كظيم
Artinya : Apabila diberitahu pada seseorang daripada mereka dengan kelahiran anak perempuan, maka menjadi pucatlah wajah mereka.
Maka, Islam datang membawa sinar cahaya serta berita gembira bagi kaum hawa, apabila hak mereka sebagai manusia dihormati dan dilindungi tanpa adanya sikap double standrad (berat sebelah). Al- quran menghormati wanita sebagai manusia, anak perempuan, isteri, sebagai ibu, bahkan sebagai salah seorang anggota masyarakat yang perlu dihormati hak mereka. Dan Rasulullah saw bersabda yang maksudnya, Wanita adalah saudara bagi lelaki. Perempuan juga mempunyai peluang yang sama rata sebagaimana lelaki dalam mencapai keredoan Allah swt.
Firman Allah dalam Al-Quranul qarim menyatakan , Sesungguhnya lelaki dan perempuan yang muslim, lelaki dan perempuan yang mukmin, lelaki dan perempuan yang tetap dalam ketaatan , lelaki dan perempuan yang benar, lelaki dan perempuan yang sabar, lelaki dan perempuan yang khusyuk , lelaki dan perempuan yang bersedekah, lelaki dan perempuan yang berpuasa , lelaki dan perempuan yang memelihara kehormatannya, lelaki dan perempuan yang banyak menyebut nama Allah, Allah telah menyediakan bagi mereka keampunan dan pahala yang besar( Al- ahzab 35)
Renungkanlah bersama, bagaimana Allah swt merangkaikan kedua-dua golongan lelaki dan perempuan dalam suatu ayat yang panjang sebagai penghargaan kepada kedua golongan ini yang melaksanakan tuntutan sebagai seorang hamba yang soleh dan solehah.
Di dalam al-quran ada satu surah yang dinamakan an-Nisa, artinya perempuan. Dan surah an-Nisa adalah surah yang kedua panjang selepas surah al-Baqarah, iaitu sebanyak 176 ayat. Di dalamnya banyak menceritakan hukum yang berkaitan dengan wanita seperti poligami, pembahagian harta pusaka , anak yatim, dan perempuan yang di haramkan berkahwin.
Manakala dalam surah yang lain juga, Allah memeberi pengiktirafan kedua-dua golongan ini dengan firmannya,
من عمل صالحا من ذكر او انثى وهو مؤمن فلنحيينهم حياة طيبة ولنجزينهم اجرهم باحسن ما كا نوا يعملون
Artinya :- Barang siapa beramal dengan amalan yang soleh daripada lelaki atau perempuan, walhal dia dalam keadaan beriman, maka kami ( Allah ) akan memberi penghidupan yang baik dan kami akan membalasnya akan pahala mereka dengan lebih baik daripada sesuatu yang mereka amalkan-
an-Nahli 97
Sebagaimana kita tahu, kedudukan anak perempuan di zaman Jahiliah amatlah menyedihkan. Maka kelangsungan daripada itu, Rasulullah saw memberi khabar gembira kepada ibu bapa yang mendapat anak perempuan dengan sabdanya,
من عال جاريتين حتى تبلغا جاء يوم القيامة وانا وهو ( وضم اصابعه)
Artinya:- Sesiapa yang memelihara dua orang anak perempuan hingga keduanya mencapai usia baligh, maka orang tersebut akan datang pada hari qiamat dalam keadaan Aku dan dia (seperti dua jari ini). Riwayat Muslim
Wanita juga dipanggil seorang ibu. Islam telah meletakkan kedudukan ibu lebih tinggi berbanding ayah, Dalam surah Lukman misalnya, Allah menegaskan dengan firmanNya, Dan kami perintahkan kepada manusia berbuat baik kepada kedua orang ibu bapanya. Ibunya telah mengandungkannya dalam keadaan lemah yang bertambah-tambah dan menyusukannya selama dua tahun. Bersyukurlah kepada Ku dan kepada kedua ibu bapa engkau. Hanya kepada Aku, akan dikembalikan- Surah Luqman - 14
Pada suatu ketika, Rasulullah saw pernah ditanya, Wahai Rasulullah, siapakah di antara manusia yang paling berhak untuk aku berbuat baik kepadanya? Rasulullah saw menjawab Ibumu . Kemudian siapa ? Rasulullah menjawab Ibu mu orang itu bertanya lagi kemudian siapa ? jawabnya lagi Ibumu kata Rasulullah saw, kemudian siapa tanya orang itu lagi? Kemudian ayahmu. Jawab Rasulullah saw – Bukhari dan Muslim.
Islam amat menghormati hak seorang ibu. Pernah berlaku di zaman Rasulullah saw, seorang lelaki datang berjumpa Rasulullah saw, " Ya Rasululah, saya ingin ikut berperang dan saya ingin meminta nasihat anda". Baginda Rasululah saw bertanya, " Apakah kamu masih mempunyai seorang ibu?" Lelaki itu menjawab, "Ya". Rasululah saw bersabda, Jangan tinggalkan dia, kerana syurga di bawah tapak kaki ibu. Dalam melakukan kebaikan kepada ibu, Islam tidak meletakkan syarat kepada ibu yang Islam sahaja, malahan ibu yang bukan Islam juga, hendaklah seorang anak tersebut berbuat baik kepadanya.
Dan jika sekiranya berlaku perceraian diantara pasangan suami isteri, maka hak penjagaan seorang anak hendaklah diserahkan kepada seorang Ibu. Disebabkan ibunyalah yang terlebih layak dalam mendidik dan memelihara anak tersebut berbanding dengan ayahnya. Malahan kasih sayang anak, secara lumrahnya, lebih hampir kepada pihak ibu. Kecualilah jika ibu tersebut mempunyai sifat-sifat yang di anggap negatif dari sudut agamanya, seperti berkelakuan tidak senonoh atau seorang yang amat jahil dengan hukum Agama. Maka hak penjagaan ke atas anak tersebut hendaklah diserahkan kepada pihak bapa. Maka selayaknyalah seorang Ibu menerima ungkapan ini, Tangan yang menghayun buaian dapat menggoncang sebuah dunia. Apa tidaknya, bermula daripada dalam kandungan, hinggalah dewasa tugas seorang ibu dalam memelihara kesihatan anak dan memberi pendidikan tidak ada tolok bandingnya .
Dalam kita bersemangat untuk memperjuangkan hak wanita, janganlah pula berlebih-lebihan pula, sehingga meletakkan kaum Hawa itu sama kedudukannya dengan kaum Adam. Walhal Allah menjadikan lelaki sesuai dengan sifat lelakinya dan perempuan sesuai dengan sifat wanitanya. Samada dari sudut tubuh badan, cara berpakaian, pergaulan dan hukum-hakam seperti hak wanita dalam pembahagian harta pusaka. Adalah selayaknya, perempuan mendapat separuh daripada lelaki dalam pembahagian harta pusaka kerana tangung-jawab lelaki dalam menyara keluarga, sedangkan perempuan menerima nafkah daripada suaminya .
Dalam menutup aurat pula adalah kerana aurat perempuan, lebih seni dan menarik minat berbanding dengan aurat lelaki, dan begitu juga dari segi kekuataan, lelaki lebih kuat berbanding wanita. Maka tidak layaklah perempuan melakukan bidang kerja atau pergaulan yang tidak layak dengan sifat kewanitaannya.
Ini tidak bermakna perempuan hanya layak tinggal di rumah semata-mata tanpa melakukan aktiviti yang berfaedah dari sudut akhirat mahupun dunia. Di zaman Rasulullah saw contohnya, seorang Sohabiah Ummu Athiyah berkata, Aku mengikuti tujuh ekspedisi jihad bersama Rasulullah saw. Aku akan menolong para pejuang dengan menyediakan perbekalan, membuat makanan bagi mereka dan merawat orang-orang yang terluka. Malahan Anas meriwayatkan katanya, menjadi penyebab kemenangan peperangan Uhud. Kisah Aisyah dan Ummu Salim menyingsing lengan baju mereka, untuk mengambil air di atas kulit yang ada pada mereka untuk memberikan kepada tentera. Maka dengan hadis ini, tertolaklah mereka yang mengatakan hanya wanita- wanita tua sahaja yang layak ke medan perang. kerana Saidanatina Aisyah pada masa itu berumur belasan tahun.
Dalam hukum perceraian pula, Islam meletakkan kuasa talak ditangan suami, kerana suami lebih layak dan mampu menahan perasaan berbanding wanita. Ini tidak berarti wanita tidak ada hak dalam menuntut keadilan. Mereka dibenarkan Khuluk, yakni tebus tolak dan meminta Faskh jika mereka merasakan hak – hak mereka sebagai isteri tidak ditunaikan.
Janganlah kita termakan hasutan dan terpedaya dengan satu golongan yang dinamakan gerakan mereka dengan nama Sister In Islam ( SIS ). Mereka ini kononnya kuat memperjuangkan hak golongan wanita, namun tujuan mereka jauh tersasar daripada kehendak Islam yang sebenar. Mereka mengharamkan poligami dan memperkenalkan monogami. Mereka juga membenarkan mana-mana orang Islam untuk menukar agama mereka dengan alasan hak kemanusiaan dan kebebasan beragama.
Kita hendaklah berhati-hati dengan golongan sedemikian dan semestinya kita perlu menambahkan pengetahuan beragama kita. Dengan itu, kita lebih mengetahui mana yang sebenar dan mana yang menyeleweng.
Kaum suami pula, perlulah sedar tangungjawab yang telah mereka pikul sebagai suami. Mereka telah menerima amanah untuk memelihara dan menjaga isteri mereka sebagai amanah yang telah mereka persetujui semasa akad nikah dahulunya. Mereka yang terbaik disisi Allah swt adalah mereka yang menggauli isterinya dengan cara yang baik. Sebagaimana sabda junjungan Rasulullah bersabda,
اكمل المؤمنين ايمانا احسنهم خلقا وخباركم خياركم لنسائهم- الترمزى
Artinya ;- Yang paling sempurna keimanan seorang mukmin ialah, yang terbaik akhlaknya dan yang terpilih di antara kamu ialah yang terbaik di kalangan isterinya.- Riwayat Muslim
Wanita solehah adalah kunci kebahagian bagi sebuah bahtera rumah tangga. Sebagaimana sabda junjungan, Mahukah engkau, aku beritahu harta apa yang paling berharga bagi suami ? Dia adalah isteri yang solehah. Jika suami memandang isterinya, dia menyenangkan. Jika suami memberi perintah, dia menuruti dan jika suaminya jauh darinya, dia menjaga kehormatan suami - riwayat Abu Daud
Dan sabda Baginda lagi, Dunia adalah perhiasan dan sebaik- baik perhiasan adalah wanita solehah - Riwayat Muslim
No comments:
Post a Comment