Followers

Friday, June 19, 2009

Yakin dan Keimanan

Dua perkara ini sangat sinonim dengan agama Islam yang kita anuti ini, berdasarkan kepada hadis junjungan besar Rasulullah saw sangat menekankan betapa keyakinan dan keimanan memainkan peranan yang penting bagi mencerminkan ciri-ciri seorang hamba Allah. Bukannya hamba kepada manusia, jawatan, nafsu dan corak pemikiran yang tidak berdasarkan Islam yang diredhai.


قال رسول الله ص اليقين ايمان كله

Ertinya, yakin itu adalah iman keseluruhannya.

Daripada hadis di atas, fahamlah kita betapa pentingnya keyakinan yang membuahkan keimanan kepada Allah swt kerana keimanan terbina di atas kepercayaan iaitu bermula daripada percaya kepada Allah, para anbianya, malaikatnya, kitab yang diturunkannya, seterusnya percaya kepada hari kebangkitan dan terakhirnya percaya kepada qada’ dan qadarnya. Serta percaya kepada rukun iman yang enam ini memerlukan keyakinan.

Bagi mereka yang menghafal sahaja Rukun Iman tetapi tidak menyakininya bukanlah orang yang beriman, sekalipun mereka menunaikan tuntutan Rukun Islam dengan sebaiknya.


Dalam banyak hal yang berhubung kait dengan soal agama, orang Islam mesti yakin dengan Islam dan di antara buah keyakinan yakni hasil daripada keyakinan ialah, orang Islam hendaklah merasa mulia dengan Islam yang dianutinya samaada semasa Islam berada di puncak kejayaan dan dihormati kawan dan lawan ataupun disaat islam berada di lembah penghinaan dan tekanan.

Ambillah pengajaran daripada generasi sahabat r.a yang merupakan generasi terbaik untuk ditauladani di saat Islam dihina dan dagang para sahabat setia mempertahankanya dan di saat Islam dijulang dan menempuh kejayaan, para sahabat dengan penuh tanggung jawab dan amanah menjulang Islam dengan penuh ketaqwaaan .


Dan orang Islam juga mestilah yakin kepada janji Allah dan rasulnya. Allah berjanji kepada umat Islam, dan rasul juga berjanji di dalam hadisnya, Allah akan memberi pertolongan kepada agama Allah dan meninggikannya. Allah akan memberi kemenangan kepada Islam dan memuliakan penganutnya dan Allah akan memakmurkan dunia ini dengan pemimpin- pemimpin yang soleh. Serta akan tiba saatnya di mana golongan kufar, zalim dan fasik akan menempuh kehinaan dan kekalahan sepertimana yang berlaku kepada sejarah umat Islam di zaman Rasulullah saw.


Al-quran menceritakaan kepada kita di saat Islam ditekan dengan sehebat-hebatnya, maka para sahabat bertanya kepada Rasululah, bilakah pertolongan Allah akan sampai? Maka Rasulullah memberi jaminan dengan katanya, ketahuilah sesungguhnya pertolongan Allah sudah hampir.

Ini tidak bermakna para sahabat r.a tidak yakin dengan pertolongan Allah, tetapi cuma untuk menetapkan dan memperbaharui keyakinan yang sememangnya telah ada di sanubari umat pilihan ini. Dan tiada siapapun yang sangka seorang yang didakyah dengan berbagai gelaran dan nama yang keji seperti muhammad gila, tukang sihir, tukang tilik, pemecah belah, dan mengkufurkan berhala sembahan mereka akhirnya kini diterima oleh masyarakat dan berbondong- bondonglah manusia menerima ajaran tauhid yang dibawa baginda saw.

Andainya keyakinan berdiri di atas kepercayaan kepada janji-janji Allah dan rasul, maka begitu jugalah syakwasangka dan tidak yakin yang merupakan ciri- ciri kekufuran dan munafik. Lantas sifat mereka ini didedahkan oleh Allah dan rasulnya. Mereka ini jugalah yang meragui janji Allah dan sampai kepada peringkat menafikan hukum hakam yang termaktub di dalam Al-quran.

Sama-samalah kita renung dan bandingkan keyakinan yang ada pada para sahabat di saat mereka diuji dengan ujian getir dan bagaimanakan sifat orang-orang munafik apabila melihat ujian daripada Allah swt? Mereka menafikan janji-janji Allah,

اذ جاءوكم من فوقكم ومن اسفل منكم واذ زاغت الابصار وبلغت القلوب الحناجر وتظنون باالله الظنونا . هنالك ابتلى المؤمنون وزلزلوا زلزالا شديدا . واذ يقول المنافقون والذين فى قلوبهم مرض ما وعدنا الله ورسوله الا غرورا- الاحزاب 10-

Artinya : Ketika mereka datang kepada mu dari atas dan daripada bawah dan ketika tidak tetap lagi penglihatan mu dan hati mu menyesak naik sampai ke kerongkong dan kamu menyangka kepada Allah dengan bermacam- macam prasangka, disitulah diuji orang-orang mukmin dan digoncangkan hatinya dengan goncangan yang sangat kuat dan ingatlah, ketika orang- orang munafik dan orang-orang yang berpenyakit dalam hatinya berkata, Allah dan Rasulnya tidak menjanjikan kepada kami melainkan tipu daya . al-Ahzab ayat 10-12

Di saat umat Islam di Palestin diganyang oleh Yahudi laknatullah, wujudnya suara-suara sumbang daripada orang Islam sendiri yang mencerminkan mereka tidak yakin dengan janji Allah dan Rasul dengan nada sesal dan takut. Mereka mengatakan, umat Islam palastin tidak akan menang kerana Yahudi mempunyai angkatan senjata yang tercanggih dan lagi pula, Amerika adalah sekutu kuat bagi negara haram Yahudi. Sedangkan Rasulullah dan sahabat mengalahkan tentera musyrikin yang lengkap bersenjata dengan hanya beberapa bilah pedang. Selainnya pelepah tamar yang ditajamkan serta bilangan tentera yang sedikit, cuma seramai 313 orang sahaja .

Tentera Islam juga pernah dikalahkan sebagai satu pengajaran kepada mereka dan umat sesudahnya agar sentiasa bergantung dan menyakini pertolongan Allah. Bukannya menyakini banyaknya tentera Islam seperti yang berlaku dalam peperangan Hunain, apabila pada peringkat awal tentera Islam dikalahkan.


Dan salah satu lagi sifat manusia yang tidak yakin dengan janji Allah dan rasul ialah takutkan manusia lebih daripada takutkan Allah yang maha berkuasa. Fenomena ini didedahkan oleh Alah didalam Al- quran dengan firmannya اتخشون الناس كخشبة الله او اشد خشية

Artinya, adakah kamu takutkan manusia lebih daripada kamu takutkan Allah ataupun lebih takut lagi?

Buktinya daripada ayat tersebut ialah kepatuhan negara-negara Islam kepada telunjuk kuasa besar khususnya Amerika, tidak kurang juga yang takut menegakkan kebenaran apabila diugut oleh manusia engkar dan takut menyatakan kebenaran kerana takutkan kehilangan mata pencarian dan sebagainya yang mirip kepada contoh takutkan manusia lebih daripada takutkan Allah swt.

Dan salah satu tanda lemahnya keyakinan seseorang kepada Allah yang maha esa sebagaimana firmannya yang berbunyi,

الذين يتخذون الكافرين اولياء من دون المؤمنين ايبتغون عندهم العزة فان العزة لله جميعا- النساء 139

Artinya : Segala mereka yang mengambil orang kafir menjadi pembantu mereka selain orang mukmin. Adakah kamu mahu mencari kemuliaan disisi orang kafir? Maka sesungguhnya kemuliaan itu bagi Allah sekeliannya. Surah an-nisa ayat 139


Tidak kurang juga sikap sebahagian umat Islam yang mengagung agungkan kuasa besar barat dan membiarkan saudara seagama mereka dibunuh. Mereka seolah-olah mencari kemuliaan dan kekuatan dengan berada di bawah telunjuk kuasa besar, walhal kemuliaan yang hakiki apabila tunduk dan patuh di bawah kekuasaan Allah .

Mereka yang mempertikaikan hukum Alah seperti hudud dan qisas juga mencerminkaan ketidakyakinan mereka dengan Allah dan tidak beriman dengannya dan jika sekiranya saidina Umar masih hidup, nescaya beliau akan memancung mereka yang berani mempertikaikan hukum Allah ini.

Kata – kata seumpama negara kita tidak sesuai dilaksanakan hukum hudud kerana masyarakatnya majmuk, undang- undang Islam jika dilaksanakan negara akan mundur, jika hukuman rejam dijalankan habislah batu-batu di negara kita, ini semua perkataan yang mencerminkan tidak berimannya yang berkata dan mereka menzohirkan ketidakyakinan mereka dengan Islam itu sendiri.


Percayalah, zaman kegelapan bagi Islam telah berlalu, fajar Islam semakin menyerlah di serata pelusuk dunia sekalipun ditekan dengan barbagai-bagai tekanan hari esok dan seterusnya adalah untuk Islam dan pendokongnya. Sesiapa yang menentangnya atau menjauhkan diri daripada kebangkitannya, akan tertinggal dan terasing kebelakang. Mereka akan tenggelam dalam kehinaan sebelum menerima azab yang pedih disisi Allah swt. Marilah kita sama-sama menyemarakkan kebangkitan Islam dengan bersama-sama bantu membantu mengangkat Islam kemartabat yang sepatutnya.


Saidina Ali dalam menerangkan maksud yakin, mengatakan Islam itu ialah penyerahan dan penyerahan itu ialah keyakinan dan keyakinan itu ialah percaya dan percaya itu ialah berikrar dan ikrar itu ialah menunaikan dan menunaikan itu ialah amal, bahawasanya orang mukmin itu dikenal keimanannya dari amalnya, orang kafir dikenal kekafirannya dari keingkarannya.

No comments:

Post a Comment