Followers

Thursday, June 25, 2009

INSAN YANG BERKUALITI

Kualiti dari segi makna menurut kamus Dewan Bahasa ialah sesuatu yang tinggi nilai dan mutunya . Dalam Islam pun Allah swt dan Rasulnya menggalakkan umat Islam melakukan sesuatu perkara samada pekerjaan di dunia, lebih-lebih lagi urusan Akhirat dengan sebaik mungkin. Ini digambarkan oleh Allah dalam Al-qurannulkarim.

Dengan firmanNya di dalam surah al-Mulk yang berbunyi,
تبارك الذى بيدك الملك وهو على كل شيء قدير . الذى خلق الموت الحياة ليبلوكم ايكم احسن عملا وهو العزيز الغفور
Ertinya :
Maha suci Allah yang ditangannya lah segala kerajaan dan dia maha kuasa atas segala sesuatu. Ialah Allah yang menjadikan mati dan hidup supaya dia menguji kamu, siapa di antara kamu yang paling baik amalannya dan dia maha perkasa
lagi maha pengampun – surah almulk 1-2

Daripada keterangan ayat di atas, jelaslah kepada kita sesungguhnya Allah menjadikan kita hidup. Sampai ketikannya, dimatikannya pula sebagai ujian kepada kita sejauh mana kehidupan kita di atas muka bumi Allah. Adakah benar- benar menjadi hambanya yang beriman dan beramal soleh dan apakah kita cuma berlakon dan bersandiwara?. Sekiranya manusia kagum dan memuji kita, namun pada hakikatnya disisi Allah, amalan kita tiada nilainya seperti debu yang diterbangkan angin.

Antara salah satu syarat agar amalan kita berkualiti dan diterima Allah adalah dengan
mengikhlaskan ibadat kita kepada Allah swt dan berkualitinya sesuatu ibadat yang kita lakukan tidaklah memadai dengan berbekalkan ikhlas semata-mata, ianya perlulah mengikut prosidur atau syarat dan rukun sesuatu ibadat yang hendak kita lakukan agar ianya benar-benar mengikut kehendak Allah dan Rasulnya. Semuanya ini tidak akan kita ketahui jalan dan caranya melainkan setelah kita terjun ke medan belajar ilmu agama dan menghayatinya.

Manusia yang berkualiti menurut acuan agama adalah insan yang dapat
menggabungkan urusan dunia dan akhiratnya menurut kehendak agama. Ungkapaan yang biasa kita dengar iaitu ,
حبل من الله وحبل من الناس artinya,
Hubungan kita dengan Allah dan hubungan kita sesama manusia.

Malahan, Islam sangat menitik beratkan soal hubungan sesama Islam sebagaimana amaran daripada junjungan besar kita Nabi Muhammad saw terhadap sesiapa yang tidak ambil peduli nasib saudara seagamanya dengan sabdanya,
من لم يهتم بامر المسلمين فليس منهم
Ertinya,
Barang siapa yang tidak mengambil berat tentang urusan kaum muslimin, maka tiadalah dia daripada golongan mereka.

Malahan hikmah difardukan solat jumaat, seminggu sekali dalam keadaan berjamaah adalah untuk mencernakan dua hubungan , pertamanya hubungan kita dengan Allah di dalam solat jumaat tersebut dan juga hubungan sesama Islam, apabila dilakukan secara berjemaah.

Di dalam hadis yang lain pula, Rasulullah ada bersabda افضل الناس
انفعهم للناس
Ertinya,
Sebaik-baik manusia ialah mereka yang terlebih banyak memberi kemanfaatan kepada manusia yang lain.

Perhatikanlah maksud daripada hadis ini ialah, Islam
mengiktiraf sumbangan seseorang itu samaada dari segi material, buah fikiran, seperti buku-buku yang bermanfaat, pendidikan yang melahirkan insan bertaqwa dan apa jua gerak kerja yang menbawa kepada pembangunan insan samaada rohani mahupun jasmani.
Berbanding dengan amalan ibadat yang tertentu kepada kepentingan individu, adakalanya hendaklah ditinggalkan apabila ianya bertembung dengan kepentingan umum seperti tuntutan jihad apabila musuh telah menyerang sesebuah negara Islam. Maka di saat itu ibadat sunat seperti berzikir, iktiqaf di masjid dan sebagainya hendaklah wajib ditinggalkan untuk sama-sama mempertahankan negara daripada pencerobohan musuh.

Dan apabila kita membicarakan tajuk insan berkualiti, tentu sekali kita tidak dapat lari daripada membicarakaan
konsep modal insan ataupun dalam arti kata yang lain manusia yang berkemahiran, berketerampilan dan menghayati tuntutan nilai-nilai agamanya seperti ikhlas, benar, jujur dan bersunguh-sungguh dalam melaksanakan sesuatu pekerjaan dalam keadaan istiqamah.
Modal insan yang melahirkan insan berkualiti ini bukanlah perkara baru dalam Agama kita. Ianya telah diterajui oleh junjungan besar kita Nabi Muhammad saw dengan sabdanya yang berbunyi,
ان الله يحب احدكم اذا عمل ان يتقنه
Ertinya:
Sesunguhnya Allah kasih kepada seorang kamu, apabila ia melakukan sesuatu pekerjaan, ia melakukannya dengan penuh kemahiran.

Namun realiti yang berlaku, tidak sebagaimana anjuran daripada hadis diatas. Umat Islam
masih ketinggalan dari sudut kemahiran dan kepakaran. Kita masih lagi bergantung keadaan negara-negara bukan Islam dan tidak kurang juga urusan kerja yang dikendalikan orang Islam tidak bermutu dan sambil lewa, yang akhirnya permintaan masyarakat beralih angin kepada syarikat bukan Islam.

Jika di kedai-kedai, lain pula ceritanya. Kerap kali kita dengar ada segelintir sikap peniaga Islam yang sombong dan layanan yang ‘hendak tak hendak’ kepada pelangannya.
Berbeza dengan cara layanan kedai bukan Islam yang memuaskan hati pelangan. Inilah beberapa contoh kegagalan umat Islam dalam memahami tuntutan nilai agama Islam. Tetapi nilai tersebut diambil pakai oleh orang-orang bukan Islam. Amatlah rugi, pusaka yang ditinggalkan oleh junjungan besar kita nabi muhaammad saw tidak dipraktikkan di dalam kehidupan kita umat Islam.

Amatilah corak kepimpinan khalifah Umar bin Abdul Aziz, walupun beliau memerintah cuma dua tahun lima bulan sahaja namun
keagungan dan kemasyhuran beliau tidak ada tolok bandingnya selepas keagungan khulafa Arrasyidin yang empat.

Diceritakan daripada beberapa tokoh ulama semasa pemerintahan Umar Abdul Aziz, serigala tidak mengganggu kambing ternakan. Tetapi apabila berlaku suatu malam, segerombolan kambing diterkam oleh serigala, maka tahulah mereka yang khalifah telah mati melalui tanda-tanda bahawa serigala telah mengganggu ternakan mereka.

Cerita tentang
keadilan dan kejujuran beliau ialah pada suatu malam, beliau didatangi oleh seseorang di atas suatu urusan kenegaraan. Maka beliau menghidupkan lilin daripada harta kerajaan namun apabila beliau ditanya tentang urusan peribadi, beliau memadamkan lilin tersebut dan menggunakan lilin yang lain, apabila ditanyakan kepada beliau, mengapa dilakukan sedemikian rupa? Katanya, “Sebentar tadi engkau menanyakan urusan kerajaan, maka aku gunakaan lilin daripada harta kerajaan. Tetapi apabila engkau bertanya urusan peribadi, haram bagiku untuk mengunakan lilin daripada harta kerajaan.

Untuk melahirkan pasukan tentera yang kuat, bukan sahaja jumlah ramai yang menjadi ukuran dan persenjataan yang moden. Tetapi, tentera yang
terlatih dan berdisiplin juga adalah penting. Dalam erti kata yang lain, tentera yang berkualiti sebagaimana pemimpin agung Salahuddin al-Ayubi, memastikan tentera yang di hantar ke medan jihad adalah mereka yang istiqamah mengerjakan solat tahajud. Ini bermakna untuk meraih kemenangan, tentera Islam memerlukan kekuatan rohani dan jasmani serta pendampingan yang kuat dengan pertolongan daripada Allah swt. Jumlah yang ramai belum tentu menjamin kemenangan kepada sesebuah pasukan tentera.

Demikianlah serba sedikit tentang maksud insan yang berkualiti dalam Islam. Sama-samalah kita terapkan dalam diri dan jiwa kita dengan nilai-nilai mulia dan terpuji serta istiqamah dalam semua amal ibadah kita, agar menjadi muslim sejati serta berkualiti.








No comments:

Post a Comment