Followers

Saturday, May 30, 2009

PERTIMBANGAN KEHIDUPAN MANUSIA MENURUT SYARAK

Allah swt mencipta manusia pertamanya diatas dasar ubudiah artinya sifat kehambaan dan tujuan Allah mencipta makhluk yang bergelar manusia dinyatakan didalam Alquran – karim dengan firmannya
وما خلقت الجن والانس الا ليعبدون -الذاريات 56

Artinya;
Tidak aku jadikan jin dan manusia melainkan supaya mereka beribadat kepada ku – Azzariyat 56

Mengikut tafsiran Ibnu Jarih maknanya ialah, manusia perlu mengenal siapa yang menjadikan dia, iaitu tuhan sekelian alam ini. Kemudian barulah ia perlu melakukan ibadat kepada penciptanya iaitu Allah swt.

Perkara utama sebelum kita melakukan ibadat kepada Allah ialah mengenal sifat-sifat Allah dan perbuatannya.

Keduanya, Allah mencipta manusia dan seluruh alam semesta ini bukanlah dengan tujuan bermain-main sahaja atau sia-sia . Segalanya ada hikmah disisi Allah samaada hikmah tersebut yang dapat dilihat oleh pancaindera kita atau pun yang tersembunyi, hanya Allah sahaja yang mengetahuinya firman Allah swt

ربنا ما خلقت هاذا باطلا سبحانك فقنا عذاب النار

Artinya:
Wahai tuhan kami, tidaklah engkau menjadikan segala sesuatu ini dengan sia- sia. Maha suci engkau peliharalah kami daripada azab siksa api neraka.

Oleh kerana tujuan manusia dicipta dan dilahirkan ke dunia adalah untuk mengenal Allah dan melakukan amal ibadat kepadanya. Justeru itu manusia perlukan tunjuk ajar serta dustur atau undang- undang untuk memimpin manusia mengenal Allah dan cara atau kaedah yang mana dengannya manusia dapat menjalani kehidupan seharian di bawah keredhaan Allah swt . Lantas kerana itulah diperturunkan Rasul- rasulnya untuk memimpin dan menunjuk ajar manusia. Dan tunjuk ajar daripada rasul dengan berpandukan wahyu Ilahi itulah dinamakan hukum syarak.

Hukum Syarak ialah hukum dan peraturan daripada Allah untuk membimbing manusia mengenal penciptanya dan cara bagaimana untuk melakukan ibadat dan apakah perkara yang menjadi larangannya.

firman Allah swt,

شرع لكم من الدين ما وصى كم به نوحا والذى اوحينا اليك وما وصينا به ابراهبم وموسى

وعيسى ان اقيموا الدين ولا تتفرقوا فيه-الشورى 13

Artinya:
Dia telah mensyariatkan bagi kamu tentang agama apa yang telah diwasiatkan kepada Nuh dan apa yang telah kami wahyukan kepada kamu dan apa yang telah kami wasiatkan bagi Ibrahim , Musa dan Isa, iaitu tegakkan agama dan janganlah kamu berpecah belah. Assyura- ayat13.

Maka sesuai dengan tujuan hukum syarak diturunkan untuk menjamin kebahagian kehidupan manusia di dunia mahupun akhirat. Adalah baik jika kita mengetahui fungsi hukum syarak yang mengandungi tiga perkara pokok :-

Pertamanya ialah dinamakan Dharuriyyat:-

Perkara dharuriy ialah perkara
keutamaan atau pokok dalam kehidupan seorang hamba. Ianya perlulah diberi keutamaan untuk dilaksanakan termasuklah perkara dharuriy ini seperti mengenal Allah, dan cara beribadat kepadanya juga tersemasuk didalamnya perkara yang menjadi asas keperluan kehidupan seorang manusia seperti makan, minum dan tempat tinggal.

Tidak ketinggalan juga ialah
lima prinsip hukum syarak yang menjadi kemestian bagi seseorang memeliharanya.

Prinsip tersebut ialah,
memelihara agama , memelihara jiwa, memelihara keturunan, akal dan harta benda.

Keduanya ialah Perkara Hajiyat

Ertinya,
keperluan seseorang. Tanpanya, kehidupan seseorang menjadi amat sukar. Ini termasuklah hubungan manusia sesama manusia, iaitu alat perhubungan samada yang berbentuk elektronik atau pun perhubungan manusia yang berbentuk jentera seperti kereta, motor dan sebagainya . Keperluan seseorang hamba berubah mengikut keadaaan zaman dan tempat. Jika di zaman dahulu, kereta, motor tidaklah penting sangat tetapi sekarang keadaan sebaliknya. Begitu juga telefon telah menjadi kemestian bagi seseorang.

Rasulullah telah pun meletakkan asas kebahagiaan seseorang dengan sabdanya:-

اربع من السعادة المراة الصالحة والمسكن الواسع والجار الصالح والمركب الهنى
واربع من الشقاء الجار السؤ والمراة السؤ والمركب السؤ والمسكن الضيق- رواه اابن حبان

Artinya;
Empat perkara asas yang menjadi kebahagian seseorang iaitu pertamanya ialah isteri yang solehah, keduanya tempat kediaman yang selesa, ketiganya jiran yang baik dan keempatnya ialah kenderaan yang baik . Dan empat perkala pula yang menyusahkan kehidupan seseorang ialah jiran yang jahat , isteri yang jahat , kenderaan yang meragam , dan rumah yang tidak selesa. Hadis Riwayat Ibnu Hibban

Perkara ketiga dinamakan Tahsiniyyat.

Arti tahsiniyyat ialah
pelengkap atau memperelokkan .
Islam menganjurkan umatnya melakukan sesuatu pekerjaan samaada ibadat kita dengan Allah atau pun hubungan kita sesama manusia dengan
sebaik mungkin. Dalam pekerjaan kita seharian contohnya, kita digalakkan mempertingkatkan kemahiran dan kesungguhan. Dengan itu, produktiviti akan bertambah dan kehidupan kita semakin baik.
Sabda Rasulullah saw dalam sebuah hadisnya yang bermaksud,
Sesunguhnya Allah swt kasih kepada seorang hamba apabila ia melakukan sesuatu pekerjaan dilakukannya dengan sebaik mungkin .

Inilah tiga asas yang merupakan fungsi bagi hukum syarak. Jika kita dapat melaksanakan ketiga- tiga fungsi ini dengan baik InsyaAllah kehidupan kita di Dunia dan Akhirat akan bahagia. Memadailah dangan ketiga-tiga syarat tersebut dan cuba elakkan daripada berlebih-lebihan atau pembaziran.

Kita semua amat arif , sesunguhnya
pembaziran adalah sesuatu yang ditegah dalam agama. Dan kita juga sudah selalu mendengar ayat al-quran yang dibaca oleh para ustaz-ustaz tentang larangan membazir iaitu daripada firman Allah Taala dalam surah al-Israk : 26-27 yang berbunyi,

وءا ت ذاالقربى حقه والمسكين وابن السبيل ولاتبذر تبذيرا. ان المبذرين كانوا اخوان الشياطين
وكان الشيطان لربه كفورا

Artinya :
Dan berikanlah kepada kaum keluargamu dan orang miskin serta orang musafir akan haknya masing-masing dan janganlah engkau membazir dengan pembaziran yang melampau . Sesunguhnya orang yang membazir itu adalah saudara syaitan sedangkan syaitan itu sangat kufur kepada tuhannya.

Ayat ini amat sesuai dengan suasana kenaikan harga minyak yang mendadak seterusnya berjangkit kepada barang keperluan harian maka berbagai saranan dan langkah-langkah untuk berjimat cermat diwawarkan. Hakikatnya, kesemua langkah –langkah tersebut untuk rakyat yang sememangnya telah lama hidup dibelenggu kemiskinan, seolah-olah anjuran supaya berjimat daripada ayat al-quran tersebut hanyalah sesuai untuk rakyat bawahan sahaja tidak kepada pemimpin dan golongan kaya raya.

Masakan tidak, sedang rakyat bergelut untuk hidup, para menteri dan pembesar negara bersenang-lenang dengan wang rakyat seperti jamuan negara, hiburan dan melancong keluar negara. Bersenang lenang bersama keluarga di luar negara sedangkan rakyat jelata terpaksa mengikat perut kelaparan atas nama jangan membazir. Makanan yang dijamu untuk majlis rasmi satu meja menyamai harganya dengan hidangan puluhan rakyat. Bawaan kapet dan persembahaan untuk menyambut para pembesar dan golongan raja-raja menyamai harga tiga buah rumah penduduk miskin. Adakah ini tidak dinamakan pembaziran ?

Kita menyorot kembali pemimpin berjiwa rakyat saidina Umar al-khatab semasa di zaman pemerintahannya, berlaku kemarau yang panjang mengakibatkan rakyat jelata kekurangan makanan dan barangan menjadi mahal. Ibnu Jarir al-thabaari meriwayatkan , Umar pada tahun itu tidak memakan lemak haiwan, susu dan daging hinggalah orang ramai dapat memakannya.
Diriwayatkan juga umar menghadiri satu jamuan rakyat. Disembelihkan unta lalu dicedukkan bagi beliau bahagian belakangnya dan hati unta tersebut lalu Umar berkata, oh alangkah buruknya aku sebagai pemimpin jika aku memakan bahagian yang baik sedangkan rakyat memakan bahagian yang tidak baik dari sisa makanan.

Ulama mujtahid terkenal Imam Nawawi yang hidup di zaman pemerintahan raja alMalik alZahir telah mengarahkan agar Imam Nawawi mengeluarkan fatwa kepada masyarakat umum
keharusan pemerintah mengambil harta rakyat dengan kekerasan atas jalan dharurat. Bagi memerangi tentera Tatar yang menceroboh wilayah negara Islam pada masa itu.
Namun Imam Nawawi dengan ketinggian ilmu yang ada padanya, serta keberanian
menentang saranan raja tersebut, dengan katanya aku dengar engkau memiliki seribu hamba lelaki, setiap mereka memiliki tali pinggang daripada emas dan engkau memiliki dua ratus hamba perempuan, setiap seorangnya memiliki seberkas perhiasan daripada emas dan jika engkau belanjakan emas yang ada pada hamba-hamba mu itu dan engkau pakaikan mereka tali pingang daripada kain serta hamba-hamba perempuan mu hanya memakai baju tanpa perhiasaan dan juga baitul mal telah kering daripada simpanan, disaat itu barulah hukumnya boleh mengambil harta rakyat dengan kekerasan dan ketahuilah sesungguhnya yang menolong jihad dan lainnya ialah penyerahan diri kepada Allah dan mengikut jalan para nabinya.

Maka fahamlah kita pengorbanan dan tanggung- jawab pemerintah dalam menghadapi situasi seperti sekarang . Seperti kata seorang tokoh politik barat, kuasailah Dunia dengan minyak dan kuasailah rakyat dengan makanan . Artinya, apabila rakyat berada dalam kesusahan barang naik menggila, kehidupan dicengkam kesusahan, maka itu salah satu tanda kejatuhan sesuatu pemerintahan. Wallahu a’lam…

No comments:

Post a Comment