Followers

Thursday, June 9, 2011

Kriteria Terbaik Memilih Kawan Anak-Anak Kita

Di akhirat nanti, Allah swt akan bertanya kepada ibu-bapa akan tanggungjawab mereka terhadap anak-anak. Adakah ibu bapa telah mengenalkan anak-anak kepada Allah? Adakah didikan agama secukupnya telah diberikan? Adakah anak sudah diasuh dengan ibadah yang fardu dan wajib? Adakah anak-anak sudah dibentuk dengan acuan akhlak yang mulia ?
Ibu bapa mesti memerhatikan peribadi dan perkembangan anak, termasuklah siapa kawan-kawan mereka. Anak-anak perlu diberi garis panduan dan tunjuk ajar dengan siapa mereka perlu berkawan.
Sabda Rasulullah saw yang bermaksud : " Seseorang itu mengikut agama (cara hidup) sahabatnya, maka hendaklah setiap daripada kamu terlebih dahulu memerhatikan siapa yang dipilih sebagai sahabatmu." (Riwayat Abu Daud, al-Tirmizi dan al-Baihaqi)

Akhlak itu penting dalam pergaulan seseorang. Akhlak umpama bunga yang wangi. Sesiapa yang memiliki akhlak yang mulia akan menyebarkan keharuman kepada orang yang berada berhampiran dengannya..

Kriteria Terbaik memilih kawan anak-anak kita..

1. Bijak dan Berakal

Berakal bermaksud bijak iaitu boleh berfikir dengan baik. Galakkan anak-anak mencari kawan yang bijak dan berfikir dulu sebelum bertindak. Misalnya jika kita membuat kesilapan, mereka yang akan menegur. Jika kita terlupa sesuatu, mereka yang akan mengingatkan dan menasihati. Memang sukar sebenarnya mencari kawan-kawan yang bijak, namun memadai jika daripada kalangan kawan-kawan itu ada sikap untuk memperbaiki diri. Ini berbeza jika anak-anak berkawan dengan orang yang jahil, terutamanya jahil dalam sudut agama. Mungkin kerana tidak tahu atau kurang ilmu, mereka akan berdiam diri jika tersilap dan akan membuat andaian sendiri..

2. Berakhlak baik

Seseorang yang berakhlak baik akan menjaga hubungannya dengan Allah swt dan menjaga hubungan sesama manusia. Maksudnya, kawan-kawan anak kita ini mestilah tidak lalai daripada menunaikan solat fardu dan ibadahnya lainnya serta berakhlak baik dalam pergaulan dan menjaga adab ketika berinteraksi seperti bercakap lemah lembut, menjaga hati orang lain, mudah menolong orang lain yang dalam kesusahan dan tidak mudah bersangka buruk dengan orang lain..
Bagi anak-anak yang masih kecil, seawal usia 4 atau 5 tahun, kita boleh mengingatkan dengan konsep yang menjadi fitrah manusia, kita katakan pada mereka ini, "Jika kita tak mahu orang lain berbuat tidak baik kepada kita, kita juga jangan berbuat begitu kepada orang lain. Allah swt suka orang yang berbuat baik kepada orang lain..

3. Memiliki Peribadi Soleh dan Solehah

Bagi menilai samada mereka soleh atau tidak, lihatlah bagaimana sikap mereka dengan ibu-bapa. Adakah mereka hormat atau sering mendatangkan masalah? Atau mereka mendengar kata ataupun berkeras jika ibu-bapa menegurnya atau memberi pandangan?
Disamping itu juga adakah kawan anak kita itu menghormati dan memuliakan orang yang lebih tua? Sekiranya anak-anak ini bersikap kurang hormat kepada orang yang lebih tua, ibu-bapalah yang perlu memberi tunjuk ajar nilai-nilai murni yang perlu diamalkan oleh anak-anak kita..

Kesolehan tidak boleh diwarisi sekalipun seseorang itu anak kepada ustaz atau guru agama.
Antara kaedah membentuk anak yang soleh ialah ibu-bapa perlu mendampingi anak-anak dan menjadi pendengar setia sekiranya mereka mengadu masalah dan ibu-bapalah yang mampu menasihati dan menyelesaikan masalah.. Ambil tahu dan ambil beratlah apa yang dilakukan oleh anak-anak itu terutamanya jika mereka berjauhan daripada kita. Jika kebaikan yang dilakukan, berilah pujian dan bersyukurlah atas kebaikan mereka.
Apabila anak-anak ada masalah dengan kawan-kawannya, ibu bapa perlulah memberi bimbingan cara menghadapinya dengan kesabaran, bukan mengajarnya supaya menjadi seorang yang sombong, membenci atau berani melawan dan sebagainya..

Apa yang penting, usahakanlah agar anak-anak kita menjadi seorang yang baik. Kelak mereka ini menjadi mutiara untuk kita di dunia, lebih-lebih lagi di akhirat. InsyaAllah...


Sumber Rujukan Majalah Solusi bil 31

1 comment:

  1. Terimakasih atas entri yg menarik ni Ati..
    Memang kena tgk ngan siapa anak2 kita berkawan..:)

    ReplyDelete