Followers

Tuesday, December 22, 2009

Sifat Amanah

Perkataan amanah bermaksud kejujuran, kepercayaan. Dengan kata-kata lain, ia bererti : menyampai atau melaksanakan mandat atau tugas menurut kebenaran atau lunas-lunas yang digariskan tanpa menyeleweng atau mengikut kehendak selera sendiri. Ia adalah sifat kedua yang wajib ada pada setiap para rasul selepas sifit Sidiq (benar)

Rasulullah saw pernah bersabda yang bermaksud :
" Sembahyang itu amanah, wuduk itu suatu amanah, timbangan itu suatu amanah dan sukatan itu suatu amanah. Dan beberapa perkara termasuk amanah dan yang paling berat ialah pertaruhan."
Hadis Riwayat Ahmad dan al-Baihaqi

" Amanah itu suatu kekayaan" .

Hadis ini bermaksud bahawa keadaan seseorang itu apabila dia dikenal dengan sifat amanah, maka ramailah orang yang akan membuat hubungan dengannya dan di kala itu dia akan menjadi senang dan kaya.

" Amanah itu menarikkan rezeki, sedangkan khianat itu menarikkan kepapaan".
Dalam hadis sepakat Imam al-Bukhari dan Muslim, Rasulullah menyifatkan orang yang tiada amanh itu sebagai munafiq.

Amanah itu sangat besar ertinya dalam perusahaan dan perniagaan, di mana dengan wujud amanahlah maka sesuatu perniagaan atau syarikat (firma) mula dilancarkan dan dengan amanah juga maka dia boleh bertahan lama dan seterusnya maju dan berjaya.

Seterusnya, marilah kita sama-sama mengambil pengajaran daripada sebuah hadis al-Qudsi di mana Rasulullah saw bersabda :
Maksudnya, Allah telah berfirman: " Aku menjadi (orang) ketiga pada dua orang yang bersyarikat selama salah seorangnya tidak berkhianat. Maka apabila seorangnya berkhianat, maka Aku pun keluar daripada keduanya ( tidak akan lagi membantunya )."

Muadz bin Jabal r.a memberitakan Nabi saw pernah bersabda yang bermaksud :
" Sesungguhnya sebagus-bagus usaha itu ialah usaha para peniaga (usahawan) dimana, Apabila bercakap mereka tidak berdusta, apabila mereka diamanahkan, mereka tidak khianati, apabila mereka berjanji, mereka tidak mungkiri, apabila mereka membeli, mereka tidak mencela (barangan, sebagai helah menurunkan harga ) apabila mereka menjual, mereka tidaklah memuji, apabila mereka menanggung hutang, mereka tidak menangguh (untuk membayarnya), dan apabila mereka memberi hutang, mereka tidak menyusahkan (menagih kekerasan )."
Hadis Riwayat al-Baihaqi dan as-Sayuti dalam al-Jami'asshaghir.


No comments:

Post a Comment